JOHOR BAHRU: Sesiapa sahaja yang layak dan memenuhi kriteria di sesuatu kawasan boleh menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, semua orang atau ahli parti berpeluang menjadi calon memandangkan Johor ada cara tersendiri dalam menentukan perkara itu.
Beliau berkata, tidak semestinya mereka yang berkelulusan atau memegang jawatan selaku ketua bahagian sahaja layak atau mesti menjadi calon tetapi kriteria ditetapkan berbeza mengikut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita tak boleh calonkan semata-mata kerana dia berjawatan, semata-mata kerana dia dicadangkan. Tetapi, kita perlu lihat kawasan demi kawasan untuk kita letak calon yang sesuai di kawasan tersebut.
“Semua orang berpeluang. Cuma yang pasti adalah semua calon yang bertanding bukan calon (pilihan) menteri besar atau calon (orang) presiden atau calon yang dikehendaki Perdana Menteri, itu tiada. Tak menjadi kriteria langsung tapi sebaliknya Johor ada cara Johor,” katanya ketika ditemui di Saujana, Kediaman Rasmi Menteri Besar, baru-baru ini.
Tambah Hasni, beliau lebih senang jika seseorang calon itu mempunyai pengalaman atau rekod berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira platform yang menjadi faktor utama kebolehmenangan mereka.
Beliau berpendapat, membariskan sehingga 80 peratus muka baharu dalam senarai calon juga bukan jaminan terbaik kerana pengalaman adalah kriteria utama yang ditekankan dan perlu berada di kedudukan teratas untuk faktor pemilihan.
“Pengalaman calon penting dan yang selebihnya adalah nilai tambah kepada kekuatan calon-calon yang nak dipilih. Kalau dia graduan Universiti Oxford, kerja di firma besar yang menjadikan tiga suku masa berharga dia dengan syarikat sahaja tanpa bercampur masyarakat, saya tak fikir mereka calon sesuai.
“Kita nak calon ada pengalaman dengan masyarakat, selalu berdamping dengan masyarakat. Banyak kriteria atau faktor-faktor yang mempengaruhi penetapan calon,” katanya yang akan memuktamadkan senarai calon BN minggu depan pada 22 atau 23 Februari.
Mengulas lanjut, Hasni yakin tidak akan berlaku suasana tidak berpuas hati atau merajuk sekiranya seseorang itu tidak terpilih sebagai calon PRN Johor kali ini kerana masing-masing menyedari misi BN perlu menang besar. – UTUSAN











