PETALING JAYA: Rang undang-undang (RUU) antilompat parti perlu dilaksanakan segera tanpa kompromi seperti mana yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) bagi mengelakkan sebarang persepsi buruk terhadap negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, RUU itu perlu diluluskan berikutan MoU itu adalah perjanjian hitam putih.
Oleh itu pihaknya berharap ia dapat dilaksanakan pada Mac ini seperti mana yang dijanjikan dalam MoU yang ditandatangani kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Kerajaan kena laksanakan apa yang dijanjikan dan tiada kompromi. Itu perjanjian yang ditandatangani oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
“Jika (perjanjian yang sudah) ditandatangani hitam putih itu tidak dilaksanakan, habislah kita punya nama dan maruah, siapa lagi nak datang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan dan PH pada 13 September 2021, antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Bagaimanapun, PH boleh menarik semula sokongan terhadap MoU itu sekiranya RUU tersebut tidak diluluskan pada sesi parlimen Mac ini.
Kerajaan sebelum ini bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU antilompat parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH pada 20 Januari lalu.
Menurut Guan Eng, RUU itu juga perlu dilaksanakan bagi membolehkan tindakan tertentu dapat diambil terhadap mana-mana ahli politik yang melompat parti.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menolak RUU antilompat parti dijangka dilaksanakan seperti mana yang dimeterai dalam MoU sebelum ini.
“Setakat ini kita ikut apa yang dipersetujui dan jadual ditetapkan dipatuhi setakat ini.
“Maka yang tinggal adalah langkah terakhir (kelulusan RUU antilompat parti) dan jika melangkaui ini, kita boleh pastikan tindakan diambil kepada ahli politik ‘katak’ dan tindakan dikembalikan kepada rakyat untuk menilai ‘katak’ itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, terserah kepada PH sama ada untuk menarik semula sokongan terhadap MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan sekiranya RUU antilompat parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen Mac ini.
“Tarik sokongan itu (hanya) memenuhi kehendak pihak tertentu untuk adakan Pilihan Raya Umum (PRU), jadi setiap pihak mesti rasional untuk pertimbangkan perkara ini.
“Walau apa pun terserah kepada PH kerana MoU itu adalah satu perjanjian dan memang amalannya begitu, tetapi tak perlu disebut (tarik sokongan) kerana jadi gertakan dan jangan buat gesakan berikutan proses buat undang-undang bukan perkara mudah,” katanya.
Namun katanya, pihaknya optimis menyasarkan RUU tersebut dapat dibentang pada persidangan Parlimen, Mac ini.
“RUU masih banyak perkara belum disiapkan kerana apabila draf undang-undang dibuat dahulu sejak tahun lepas, kita sudah buat sesi engagement dan libat urus bersama beberapa ahli Parlimen,” ujarnya. – UTUSAN










