Muhammad Shafee dakwa RM9.5 juta adalah pinjaman

Muhammad Shafee dakwa RM9.5 juta adalah pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semalam menyatakan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa dua keping cek berjumlah RM9.5 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu pinjaman.

Oleh kerana ia merupakan pinjaman, maka jumlah tersebut tidak layak untuk dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ketujuh dalam kes pengubahan wang haram dan gagal lapor pendapatan yang dihadapi Muhammad Shafee tidak bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh peguam, Harvinderjit Singh itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan dokumen dan fakta yang saya perolehi sewaktu siasatan, saya putuskan ia (RM9.5 juta) bukanlah satu pinjaman tetapi bayaran pendahuluan bagi perkhidmatan yang diberikan oleh pembayar cukai (Muhammad Shafee) dengan Datuk Seri Najib.

“Untuk mengatakan ia adalah satu pinjaman adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan ramai akan menukar invois masing-masing kepada pinjaman bagi elak bayar cukai,”kata bekas Ketua Penolong Pengarah (Eksekutif Hasil Kanan I), Bahagian Perancangan Cukai Agresif, Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Terdahulu, Harvinder merujuk kepada saksi berkenaan surat di antara Muhammad Shafee dan Najib yang menyatakan bahawa bayaran upah guaman hanya akan ditentukan selepas semua kes berkaitan petisyen pilihanraya selesai di semua peringkat mahkamah.

Berdasarkan surat bertarikh 12 September 2013, RM9.5 juta merupakan bil guaman yang dikenakan oleh firma tersebut bagi 46 kes kebanyakannya membabitkan petisyen pilihanraya membabitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Cek berjumlah RM9.5 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Muhammad Shafee dan merupakan jumlah selepas potongan jumlah bayaran asal RM11.5 juta.

Surat tersebut turut menunjukkan bahawa Muhammad Shafee memohon Najib untuk mengeluarkan cek bernilai RM4.3 juta atas namanya sebagai pendahuluan atau pinjaman sebelum bil akhir dikeluarkan untuk kegunaan segera tertuduh.

Muhammad Shafee turut memohon sekeping lagi cek bernilai RM5.2 juta dikeluarkan bagi tujuan serupa.

Saksi itu bagaimanapun bersetuju dengan soalan Harvinderjit bahawa RM9.5 juta tidak perlu dilaporkan sebagai pendapatan untuk dikenakan cukai sekiranya ia merupakan pinjaman.

Muhammad Shafee yang juga peguam bela utama bagi kes-kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Ahli Parlimen Pekan yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa atas melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul yang bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Berdasarkan pernyataan saksi, Syed Nasrul Fahmi berkata Muhammad Shafee tidak pernah melaporkan penerimaan RM9.5 juta itu atau melaporkan pendapatan tersebut.

“Tan Sri Shafee telah ingkar mengemukakan borang tersebut mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan hanya mengemukakannya lebih kurang sembilan bulan daripada tarikh 30 Jun 2014 dan beliau hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,173,007 dan membayar cukai sebanyak RM264,720.10 bagi Tahun Taksiran 2013 itu.

“Beliau (Muhammad Shafee) hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,391,108 dan membayar cukai sebanyak RM319,959.96 bagi Tahun Taksiran 2014,” katanya.

Menurut Syed Nasrul Fahmi, berdasarkan peruntukan undang-undang dan dokumen berkaitan RM9.5 juta itu, ia merupakan suatu pendapatan yang diterima hasil perkhidmatan guaman yang diberikan.

“Pendapatan tersebut adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah Seksyen 4(a) ACP 1967 dan terakru pada Tahun Taksiran 2013. Tan Sri Shafee telah gagal melaporkan pendapatan tersebut dalam tahun taksiran berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadamkan 33 daripada 51 perenggan penyataan saksi Syed Nasrul Fahmi.

Mahkamah memutuskan demikian atas alasan 33 perenggan yang dimohon agar dipadamkan adalah relevan dalam membuktikan pertuduhan-pertuduhan terhadap Muhammad Shafee.

Perbicaraan kes itu bersambung 22 Februari ini.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini