SPRM tidak boleh bergerak sendirian - Utusan Malaysia

SPRM tidak boleh bergerak sendirian

KHAIRUL Izwan Karim (dua kiri) menyerahkan cenderahati kepada seorang peserta Seminar Anti Rasuah, Kempen Perangi Pemberi Rasuah dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Daerah Sabak Bernam di Institut Perakaunan Negara (IPN) Sungai Lang, Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh bergerak secara bersendirian dan memerlukan kerjasama berterusan semua pihak bagi membanteras isu rasuah. 

Timbalan Pengarah Operasi SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim berkata, perjuangan memerangi rasuah bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab suruhanjaya itu semata-mata.

Katanya, SPRM percaya keyakinan dalam kalangan rakyat akan meningkat sekali gus membawa integriti negara ke tahap yang lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“SPRM tidak boleh bergerak sendirian bagi menangani isu berkenaan namun ia memerlukan kerjasama semua pihak. Penglibatan sesebuah agensi bukan saja memberi imej baik kepada kita malah ia mampu mengekang ketirisan akibat rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Anti Rasuah, Kempen Perangi Pemberi Rasuah dan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Daerah Sabak Bernam di Institut Perakaunan Negara (IPN) Sungai Lang di sini hari ini.

Jelas Khairul Izwan, kerajaan sudah melancarkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) pada 2019 bagi menunjukkan harapan rakyat untuk sebuah negara bebas rasuah dan mengamalkan ketelusan, bertanggungjawab serta integriti.

“Kerangka dasar dan strategi pelan itu terhasil menerusi siri perbincangan dengan sektor awam dan swasta selain media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik. Ia menjadi rujukan utama bagi semua agensi kerajaan dan entiti berkaitan dalam membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, IBR bukan hanya sekadar ikrar namun penekanan kepada janji yang dibuat oleh sesebuah agensi atau organisasi.

“Sesebuah organisasi memerlukan warga berintegriti bagi memastikan ketelusan pelaksanaan urusan hariannya dan mengurangkan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Bagi peringkat individu, seseorang itu perlu jujur dan sanggup berikrar dengan hati dan lisan untuk bebas daripada sebarang pengaruh buruk berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini