PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa Kementerian Sumber Manusia memberikan perhatian serius membanteras sebarang kegiatan sindiket yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.
Setiausaha Agungnya, Dr. N. Sukumaran berkata, gesaan itu sebagai menyokong penuh desakan serupa dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) kelmarin untuk melindungi pekerja dari negara mereka daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, agensi pengambilan pekerja asing berdaftar dari kedua-dua negara amat bertegas kepada mod pasaran terbuka dan bebas apatah lagi Malaysia kini berada di tier 3 di bawah pengawasan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan organisasi antarabangsa anti migran lain.
“PAPSMA menggesa Kementerian Sumber Manusia memberi perhatian teliti terhadap status buruh antarabangsa terkini negara dan perlu bertindak tegas membasmi sindiket ini.
“Kegiatan ini boleh mencemarkan proses pengambilan pekerja asing mengikut sistem yang sah di bawah Akta Kerja 1955 dan Akta Persaingan Malaysia 2010,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam satu sidang akhbar BAIRA di Bangladesh kelmarin, kerajaan negara itu mengambil pendirian tegas untuk melindungi rakyat mereka yang mencari kerja di luar negara daripada ‘gangguan’ pihak tertentu untuk mengeksploitasi mereka dan mengenakan perbelanjaan tinggi.
BAIRA mendakwa, ia susulan satu surat dari Kerajaan Malaysia yang meminta agar negara berkenaan membenarkan penghijrahan pekerja melalui satu sindiket dengan menetapkan hanya 25 syarikat terlibat dalam proses itu.
Dalam pada itu, Sukumaran berkata, sekiranya kerajaan memutuskan untuk membenarkan sindiket 25 syarikat terlibat, ini bermakna negara mengulangi semula kegiatan sama yang pernah berlaku pada 2016-2018.
Kata beliau, modus operandi sindiket sebelum ini mengaut jutaan ringgit dikutip daripada pekerja asing tidak bersalah yang terpaksa menjual tanah, barang kemas dan meminjam sejumlah wang untuk memasuki Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan.
Beliau berkata, ia dikendalikan satu badan swasta yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan pihak berkuasa kerajaan yang meluluskan kemasukan pekerja dari mana-mana negara sumber mengatasi pihak Imigresen Malaysia dan Kedutaan Malaysia di negara asal itu.
“Kerajaan Bangladesh juga mematuhi Akta Persaingan 2012 negara itu yang menyebabkan kumpulan yang diluluskan bersindiket itu kalah di mahkamah selepas beberapa ahli BAIRA membawa kes berkenaan ke mahkamah pada 2016.
“Justeru, langkah kerajaan Bangladesh mengambil langkah tegas untuk menangani sindiket penyaluran pekerja asing negara itu dipercayai akan mempercepatkan proses penyerahan dan kelulusan pekerja melalui sistem yang masih belum disahkan setakat ini,” katanya. – UTUSAN











