Mareva ‘senjata undang-undang’

Mareva ‘senjata undang-undang’

MENERUSI injunksi Mareva, Najib dilarang melupuskan dan mengalihkan aset miliknya yang ada dalam bank atau mana-mana institusi kewangan tempatan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEDIA tempatan melaporkan minggu lalu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya berjaya mendapatkan injunksi Mareva terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melarang beliau melupuskan dan mengalihkan aset miliknya yang ada dalam bank atau mana-mana institusi kewangan tempatan. Laporan itu selanjutnya menyatakan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melarang Najib daripada mengalihkan, melupuskan, mengendalikan atau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara sehingga AS$681,000,000 (RM2.9 bilion). Najib juga tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Injunksi Mareva itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Atan Mustaffa Yussof Ahmad dalam prosiding Zoom yang berlangsung pada hari tersebut. Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi Mareva sebelah pihak (ex parte) yang dipohon oleh 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

Mengikut perintah itu, jika Najib memerlukan lebih daripada RM100,000 sebulan, beliau hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited yang bertindak sebagai plaintif pertama dan kelima dalam saman itu. Sekiranya kebenaran bertulis tidak diberikan, Najib boleh memohon dan mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

Injunksi Mareva itu juga menyatakan, antara lain Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000 sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Dalam laporannya mengenai perkara sama, sebuah portal berita menyatakan, antara sebab 1MDB dan subsidiarinya membuat permohonan tersebut adalah berikutan sabitan terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International Sdn. Bhd. (anak syarikat 1MDB) berjumlah RM42 juta, baru-baru ini.

Pada Julai 2020, Najib dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan kesalahan atas tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn. Bhd. Berikutnya, pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan itu. Kes itu kini masih menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Farhan Muhammad Shafee, salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan Najib segera memberitahu wartawan bahawa anak guamnya akan mencabar injunksi Mareva itu atas beberapa alasan termasuklah isu ‘kelewatan yang ketara dalam memfailkan injunksi tersebut.’

“Pemfailan injunksi ex parte itu juga pelik dan mencurigakan,” tambahnya.

SEJARAH AWAL INJUKSI MAREVA

Injunksi Mareva mendapat nama asal daripada sebuah kes lama, Mareva Compania Naviera SA lwn. International Bulkcarriers SA (1980) 1 All ER 213. Plaintif dalam kes itu adalah pemilik sebuah kapal bernama Mareva. Kapal itu disewakan di bawah satu perjanjian charterparty kepada defendan.

Malangnya hubungan perniagaan kedua-dua pihak tidak dapat diteruskan dengan baik dan berakhir dengan pertikaian di mahkamah. Semasa kes di dengar di peringkat pendengaran dan rayuan, mahkamah mendapati ada risiko atau bahaya bahawa defendan mungkin melupuskan atau mengalihkan aset mereka kepada pihak lain.

BANK BUMIPUTRA

Dan jika ini dibiarkan berlaku, ia akan mendatangkan padah kepada plaintif nanti sekalipun plaintif menang di mahkamah.

Mengikut Lord Denning MR, “pada masa ini ada duit dalam bank di London, atas nama penyewa (charterers) ini. Mereka ada kawalan penuh terhadapnya. Mereka boleh pada bila-bila masa melupuskan atau mengalihkannya keluar dari negara ini. Sekiranya mereka berbuat demikian, pemilik kapal tidak akan berpeluang mendapatkan duit sewaan kapal mereka.

“Oleh itu, berdepan dengan bahaya ini, saya fikir mahkamah ini wajar memberi satu injunksi untuk melarang penyewa (charterers) daripada melupuskan duit mereka ini yang sekarang ada dalam bank di London sehinggalah tarikh perbicaraan dan keputusan kes ini.”

Dalam tahun-tahun berikutnya, mahkamah terus menggariskan dengan lebih sempurna lagi syarat-syarat perlu dipatuhi oleh pemohon yang inginkan satu injunksi Mareva dikeluarkan. Antara syarat-syarat penting ini adalah seperti berikut:

Plaintif mesti ada kes yang kuat terhadap defendan. Dalam lain perkataan, peluang untuk menang adalah cerah.

Plaintif mesti dapat buktikan ada risiko sebenar aset akan dialihkan, dibawa keluar atau disusutkan. Plaintif mesti kemukakan keterangan ada risiko defendan akan menyusutkan asetnya dengan niat untuk menghalang atau menyusahkan pelaksanaan satu keputusan yang nanti akan berpihak kepada plaintif.

Plaintif mesti membuktikan kepada mahkamah bahawa adalah adil dan sesuai bagi mahkamah mengeluarkan injunksi Mareva itu. Mahkamah mesti berpuas hati pengeluaran injunksi Mareva akan meningkatkan keadilan dan bukan sebaliknya.

Mahkamah di negara ini mula mengeluarkan injunksi Mareva pada 1980-an, termasuklah dalam kes yang masyhur, Bank Bumiputra Malaysia Berhad & Lain lwn. Lorrain Osman & Lain-lain (1985) 2 MLJ 236. Plaintif dalam kes ini adalah sebuah bank di Malaysia manakala defendan adalah salah seorang ahli lembaga pengarahnya.

Plaintif telah memohon injunksi Mareva terhadap defendan dan mahkamah putuskan adalah wajar injunksi dikeluarkan setelah mendapati plaintif ada kes yang kuat, defendan ada aset dalam negara ini dan ada risiko aset itu akan dialihkan sebelum penghakiman mahkamah nanti sempat disempurnakan atau ditunaikan.

Injunksi Mareva pernah dianggap sebagai salah satu daripada dua ‘senjata nuklear undang-undang.’ Mengikut Donaldson LJ dalam kes Bank Mellat lwn. Nikpour (1985) FSR 87, dua senjata nuklear undang-undang adalah injunksi Mareva dan Perintah Anton Piller.

Perintah Anton Piller ada kalanya dilihat sebagai satu waran geledah sivil yang membenarkan pihak plaintif memasuki premis defendan untuk menyiasat, menyalin dan mendapatkan keterangan bagi kegunaan prosiding di mahkamah nanti. Jika tidak kerana perintah sedemikian, kemungkinan besar segala dokumen berkenaan akan dimusnahkan oleh defendan.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×