MUKADIMAH
“HANYA satu sahaja saya mahu ingatkan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah, agar berlaku jujur dan tidak mengalihkan kebenaran berhubung isu pembalakan yang dikatakan baik untuk populasi harimau.”
Itu amaran tegas aktivis alam sekitar, MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN ketika ditanya sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut yang memberi perspektif berbeza dalam memelihara dan memulihara hidupan liar seperti harimau.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan INTAN SUHANA CHE OMAR serta jurufoto, SHIDDIQIN ZON, Meor Razak melihat kenyataan Abdul Halim tersebut bercanggah dengan realiti sebenar aktiviti pembalakan di negeri itu yang menyebabkan berlakunya konflik di perkampungan Orang Asli.
Ikuti luahan, ketidakpuasan dan pendedahan beliau mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan hutan simpan kekal (HSK) yang meninggalkan kesan negatif terhadap hidupan liar.
UTUSAN: Pandangan mengenai penerokaan hutan di negara ini?
MEOR RAZAK: Pada tahap membimbangkan. Berdasarkan statistik Jabatan Perhutanan, terdapat 48 peratus HSK tetapi isunya, bukan semua tanahnya berhutan.
Di Perak, Kelantan dan Pahang, status tanah HSK tetapi ada lombong, ada ladang dalam hutan. Walaupun bukan semuanya haram. Ini kerana pemaju dapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti perlombongan dalam HSK. Ini yang kita tak setuju.
Adakah ini bermakna aktiviti perlombongan semakin menjadi-jadi?
Baru-baru ini kita dengar aktiviti perlombongan unsur nadir bumi di Perak dalam HSK. Mesyuarat Majlis Tanah Negara peringkat Persekutuan ke-70 pada 2014 telah membuat satu ketetapan iaitu semua pihak berkuasa negeri digesa mengambil inisiatif untuk mengawal atau sebolehnya mengelakkan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.
Bermakna setiap negeri sudah maklum mengenai perkara ini tetapi sayang ketetapan ini tidak diikuti. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, hutan, tanah dan sumber asli adalah di bawah bidang kuasa negeri. Persekutuan boleh nasihat melalui kementerian tetapi kerajaan negeri buat keputusan setelah penilaian teknikal yang mengatakan tiada halangan. Maka permohonan itu akan diangkat ke mesyuarat jawatankuasa perhutanan yang dipengerusikan menteri besar untuk membuat keputusan.
Jadi, ini punca berlaku banjir besar luar biasa baru-baru ini?
Salah satu sebab tapi perlu lihat dari segi tempat dan persekitaraan. Contoh, di Lembah Klang yang mana kerajaan negeri sudah buat moratorium selama 30 tahun untuk tidak meluluskan aktiviti pembalakan di HSK. Sejak 2008 sehingga hari ini tiada aktiviti pembalakan tapi ada faktor lain yang mempengaruhi banjir.
Hulu Langat dikaitkan dengan pembalakan. Ia mustahil sebab Selangor sudah tiada aktiviti pembalakan. Saya lihat kemungkinan besar ada faktor lain seperti kerja-kerja tanah berhampiran sungai untuk pembangunan tetapi tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Contohnya, saya tebang pokok dan tolak sisa kayu di tepi sungai, malah saya teroka lagi sungai sehingga tebing (reserve zone). Jika ikut garis panduan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ia salah tetapi kebetulan pula tiada pemantauan oleh penguat kuasa.
Tindakan ini tanpa mempedulikan sekiranya berlaku hujan lebat yang boleh mengakibatkan fenomena kepala air. Bila berlaku hujan, air akan menolak apa sahaja yang ada dan menghakis tebing sungai yang menyebabkan kerosakan dan mendapan. Bila air sungai cetek dan tidak mampu menampung air, maka terjadilah banjir.
Patut ada peruntukan undang-undang dalam Akta Perhutanan Negara. Agensi penguat kuasa boleh ambil tindakan jika saya teroka sehingga tebing sungai sebab kawasan itu perlu dikekalkan (reserve). Ini antara contoh yang banyak berlaku di Selangor selain pembinaan rumah.
Bagaimana negeri-negeri lain?
Tidak keterlaluan jika saya katakan banjir yang berlaku di Pahang dan Kelantan disebabkan aktiviti pembalakan. Pihak berkuasa kata tidak keluar lesen tapi bagaimana sebelum ini? Mungkin ia berlaku setahun lalu tapi kesannya dilihat hari ini.
Bagaimana pula aktiviti ladang hutan atau monokultur?
Statistik Jabatan Perhutanan Kelantan (2017) melaporkan hampir 28 peratus daripada HSK diluluskan untuk zon ladang hutan atau ladang monokultur. Ini bermakna mereka memusnahkan hutan untuk menanam satu spesies pokok sahaja.
Di Kelantan, keluasan HSK sebanyak 613,275 hektar dan daripada jumlah itu sebanyak 169,133 hektar adalah kawasan yang dizonkan untuk ladang hutan. Itu belum ambil kira lombong. Jadi, bayangkan memang tiada hutan sedangkan status kata sebaliknya. Yang kita nampak ladang hutan, ladang akasia sedangkan status masih HSK.
Malangnya Jabatan Perhutanan negeri itu tidak mahu beri data. Jadi, mana kata hutan yang sebenar?
Nampaknya wujud kelompangan di peringkat kerajaan negeri?
Pihak berkuasa terutama Jabatan Perhutanan mengatakan perkara itu berdasarkan peruntukan Akta Hutan Negara Seksyen 10(1)(A) iaitu hutan pengeluaran di bawah perolehan kayu secara berkekalan. Patutnya kalau rujuk akta itu, bukan tebang habis macam ini atau jadikan lombong. Itu yang membolehkan terjadinya ladang hutan.
Maksudnya, tiada ketegasan daripada pihak berkuasa?
Itu satu. Semua projek ladang hutan telah mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Sebagai contoh, saya sebagai pemaju mahu buat projek ladang hutan untuk tanam pokok getah. Bila kerajaan negeri sudah luluskan (projek), saya harus sediakan laporan EIA untuk dihantar ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana projek ini tertakluk kepada keperluan EIA.
Sepatutnya JAS dan Jabatan Perhutanan negeri memantau kerja-kerja selepas dapat kelulusan dan pastikan mengikut syarat EIA selain pastikan ia dilaksanakan di HSK.
PEMAJU TAMAK, KERAJAAN NEGERI PENTINGKAN EKONOMI
Kelemahan penguatkuasaan membuka ruang kepada pemaju untuk mengambil kesempatan. Komen?
Betul kerana mereka rasa penguat kuasa lemah dari segi kawalan. Pemaju ambil kesempatan sebab mereka nak tingkatkan keuntungan dan mengurangkan kos. Kalau ada peluang, mereka akan buat kerana kalau mereka ikut sahaja (syarat ditetapkan) mungkin agak sukar kerana terbatas, banyak pantang larang, ini tak boleh, itu tak boleh.
Selagi ada ruang mereka akan elak daripada mematuhi syarat.
Banyak kes sebegini dan terbaharu di HSK Sungai Durian, Kelantan yang menyebabkan penduduk hilang sabar kerana mereka terpaksa menanggung kesan seperti banjir lumpur akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Ada kemungkinan wujud eksploitasi terhadap cara pemerolehan kayu?
Ia lebih kepada kelemahan dari segi dasar dan akta perhutanan sedia ada.
Walaupun dasar baharu dikuatkuasakan tetapi masih ada kelemahan kerana menggalakkan aktiviti pembangunan di HSK. Saya tidak halang pembangunan tetapi tidak setuju ia dilaksanakan di HSK. Lagipun ia bercanggah dengan Dasar Pencapaian Hutan Secara Berkekalan dan akan menyebabkan dasar itu gagal.
Adakah kerajaan negeri hanya pentingkan ekonomi semata-mata?
Ya, kerana akta itu lebih memberi penekanan kepada ekonomi. Contoh, mengapa penyahwartaan HSK Langat Utara dibolehkan? Dalam Seksyen 11, jika HSK boleh memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi daripada guna tanah sedia ada, maka boleh dinyahwartakan. Inilah yang disalah guna. Jadi, Seksyen 11 ini perlu diperhalusi semula kerana hutan bukan merangkumi ekonomi semata-mata tetapi perlu mengambil kira biodiversiti, kepelbagaian hayat dan hubung kait dengan persekitaraan.
Kawasan itu paya gambut yang berkepentingan untuk mengimbangi serapan air ketika hujan bagi mengelak banjir. Bila tebus guna tanah untuk pelbagai pembangunan, air nak lalu mana?
Perlu ada keseimbangan dari segi pembangunan dan alam sekitar di Lembah Klang. Jangan fikir ekonomi sahaja sedangkan Lembah Klang sudah terlebih pembangunan. Bangunkanlah kawasan yang terbiar seperti Hulu Selangor atau Bukit Beruntung.
ALIH ISU SEBENAR
UTUSAN: Boleh ulas kenyataan Abdul Khalim berkaitan isu pembalakan yang dikatakan baik untuk populasi harimau selain dakwaan ia selari dengan kajian pakar Tabung Alam Sedunia (WWF)?
MEOR RAZAK: WWF tidak kata sokong cuma Abdul Khalim memetik nama WWF berdasarkan kajian yang dibuat 20 tahun lalu di HSK Basor. Kajian itu bagi menyiapkan tesis tentang populasi harimau di Kelantan tetapi kajian itu hanya tertumpu di kawasan hutan tersebut yang menguna pakai sistem penebangan milik (SMS), bukannya secara tebang habis.
Kami lihat kenyataan pengarah itu hanya untuk alihkan fokus masyarakat daripada isu sebenar yang menyebabkan hidupan liar pupus serta konflik antara manusia dan hidupan liar.
Boleh jelaskan lagi?
Pengarah memberi jawapan sedemikian bagi mengelak wartawan bertanya mengenai ladang hutan dan perlombongan dalam HSK.
Kami tidak persoal atau nafikan kajian itu tetapi adakah ia dilakukan menyeluruh di semua HSK di Kelantan? Ia hanya dibuat di Gunung Basor yang ketika itu tiada isu berkaitan ladang hutan, hanya pembalakan secara SMS. Ketika itu juga tidak timbul kes harimau sesat atau masuk perkampungan Orang Asli. Cuma ia terjadi beberapa tahun ini.
Ada unsur-unsur penipuan?
Kenyataan beliau boleh disalah guna. Beliau cakap kalau lepas membalak, pokok baharu naik, memudahkan haiwan makan, nanti ada orang cadangkan pembalakan dalam Taman Negara pula. Nanti mereka sangka cara ini akan meningkatkan hasil kerajaan dan dalam masa sama populasi harimau. Orang akan salah faham dan ambil kesempatan untuk membalak di Taman Negara.
Kenyataan beliau boleh dipertikaikan?
Kenyataan itu tidak boleh pakai. Buatlah kajian ditempat yang terganggu atau musnah, barulah hasil kajian adil dan tepat, Jika buat di tempat elok, mestilah keputusannya bagus dan positif.
Nasihat kepada kerajaan negeri Kelantan?
Teliti dan kajilah semula kelulusan ladang hutan. Kita pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan menolak pembalakan tetapi ia perlu berlandaskan sistem tebangan milik berdasarkan kuota catuan penebangan tahunan.
Pengarah tidak pula bercakap jujur mengenai Pensijilan Pengurusan Hutan Secara Mampan yang digantung sejak 2016 oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) selepas kerajaan negeri tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus hasil sumber hutan secara mampan.
Tidak pula beliau bercerita mengenai kerajaan negeri yang meluluskan lebihan kuota Catuan Penebangan Tahunan. Tidak pula cerita mengenai pembukaan zon ladang hutan di kawasan SMS. Tindakan-tindakan inilah menyebabkan pensijilan digantung.
Mereka diberi peluang untuk tambah baik tetapi menolak. Kerajaan negeri tidak akur pada arahan. Mereka tidak nampak bagaimana mahu pelbagaikan hasil negeri dengan memaksimumkan sumber sedia ada.
Mereka boleh bina kilang papan, kayu di negeri sendiri yang boleh mewujudkan peluang perniagaan. Mereka juga boleh buat produk hiliran seperti perabot. Inilah peranan Exco pelaburan kerajaan negeri
Kelantan dikenali dengan sumber alam semula jadi, budaya dan makanan, itulah yang harus ditekankan.










