PARIS: Seorang guru maut dipenggal lehernya dalam satu kejadian di pinggir ibu kota Perancis semalam, selepas menunjukkan karikatur yang merujuk sebagai Nabi Muhammad SAW di dalam kelas.
Lapor Al Jazeera, menurut sumber dari Jabatan Kehakiman, individu disyaki membunuh guru itu merupakan seorang lelaki berusia 18 tahun yang dilahirkan di Moscow dan berasal dari wilayah selatan Chechnya.
Katanya, lima lagi individu ditahan berkaitan pembunuhan itu termasuk ibu bapa pelajar di sekolah terbabit, menjadikan jumlah sembilan suspek dalam penahanan setakat ini.
Jelas sumber itu lagi, dua ibu bapa yang ditahan dikatakan pernah tidak bersetuju dengan tindakan guru menunjukkan karikatur berkenaan.
Katanya, individu lain yang ditahan untuk membantu soal siasat adalah dalam kalangan orang dikenali suspek namun bukan ahli keluarganya.
Menurut polis, penyerang ditembak ketika mereka cuba menahannya dan kemudian meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Terdahulu, sumber dari Jabatan Kehakiman memberitahu AFP bahawa empat individu termasuk seorang daripadanya dibawah umur, telah ditahan berkaitan serangan itu yang berlaku di pinggir bandar Conflans Sainte-Honorine, barat laut Paris.
Kesemua individu ditahan mempunyai kaitan dengan penyerang.
Menurut seorang pegawai polis yang enggan dikenali, suspek bersenjatakan pisau dan pistol angin `airsoft’, ditembak mati oleh polis kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian guru lelaki itu terbunuh.
Katanya, mangsa merupakan seorang guru mengajar subjek sejarah dan ketika kejadian beliau membincangkan mengenai karikatur Nabi Muhammad.
Tambahnya, guru tersebut menerima ancaman selepas membuka sesi perdebatan berhubung karikatur berkenaan kira-kira 10 hari lalu.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri, Jean Castex melawat tempat kejadian beberapa jam selepas serangan itu berlaku.
Macron menyifatkan insiden itu sebagai serangan keganasan.
Pendakwa raya anti keganasan Perancis berkata, mereka menganggap serangan itu sebagai ‘kes pembunuhan yang berkaitan dengan organisasi pengganas’.
Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan siri serangan berdarah termasuk insiden pengeboman dan tembakan pada November 2015 di teater Bataclan dan sekitar Paris sehingga mengorbankan 130 orang.
Bulan lalu, seorang lelaki dari Pakistan yang berhijrah ke Perancis bertindak menyerang dan mencederakan dua orang di luar pejabat akhbar satira, Charlie Hebdo yang sebelum ini pernah diserang pada 2015 sehingga menyebabkan beberapa kakitangan terbunuh.
Isu karikatur kembali tercetus apabila Charlie Hebdo membuat keputusan untuk menerbitkan semula karikatur kontroversi yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Beberapa pihak menyifatkannya sebagai provokasi baharu yang dicetuskan oleh syarikat akhbar yang sudah lama menimbulkan kontroversi dengan serangan satira terhadap agama.
Karikatur yang diterbitkan semula sebelum ini pernah dicetak oleh akhbar Denmark, Jyllands Posten pada 2006 sehingga mencetuskan bantahan dalam kalangan komuniti Islam yang menyifatkan gambar itu menghina agama Islam.










