Risiko jika laksana PKP - Utusan Malaysia

Risiko jika laksana PKP

Petugas kesihatan yang diambil khas ketika pandemik Covid-19 melanda negara kini berhadapan masa depan tidak menentu apabila ramai ditamatkan kontrak mereka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara berisiko mengalami kerugian Keluaran Da­lam Negara Kasar (KDNK) RM600 juta sehari sekiranya Sekatan Pergerakan Penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula be­rikutan peningkatan menda­dak kes jangkitan Covid-19.

Kerajaan sebelum ini me­nang­gung kerugian dalam anggaran RM1.4 billion sehari semasa pelaksanaan PKP 1.0 dan RM600 juta sehari sepanjang PKP 3.0, malah kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 pe­ratus sehingga 826,000 rakyat hilang pekerjaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah penutupan sektor ekonomi dan kawalan pergerakan menyumbang kepada kerugian tersebut.

Menurutnya, peningkatan kes jangkitan varian Omicron di­jang­ka kerana negara lain turut mengalami si­tuasi yang sama.

“Indikator yang ha­rus diberi perhatian ialah penggunaan katil dan ventilator serta kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Pada masa ini, hanya 33 pe­ratus ventilator, 53 peratus wad ICU dan 65 peratus katil digunakan seluruh negara yang me­nunjukkan situasi pada ketika ini masih lagi terkawal.

“Oleh itu, saya tidak melihat situasi ekonomi sekarang akan terjejas kecuali apabila sistem kesihatan kita kembali tertekan akibat kemasukan pesakit yang ramai mengalami simptom yang serius, akhirnya membawa kepada penutupan sektor ekonomi dan kawalan pergerakan.

“Namun jika ia dilaksanakan, kadar kerugian dianggarkan sekitar RM600 juta sehari jika berlaku total lockdown,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerugian kepada KDNK jika kerajaan terus melaksanakan PKP tahun ini di saat rakyat berhadapan kenaikan kos sara hidup dan belum pulih sepenuhnya akibat dua tahun rakyat dikurung sebelum ini.

Kementerian Kesihatan menjangkakan jangkitan Co­vid-19 boleh mencecah sehingga 22,000 kes menjelang akhir Mac ini apabila nilai kebolehjangkitan Rt negara ketika ini menca­tatkan 1.20.

Menurut Ahmed Razman, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilihat berjaya juga tidak membawa kepada kemungkinan sekatan pergerakan buat masa ini.

“Kita telah melihat kejayaan suntikan vaksinasi apabila hanya satu peratus daripada 10,000 kes semalam yang memerlukan rawatan rapi.

“Saya tidak melihat kerajaan akan menutup sektor ekonomi sekali lagi kerana suntikan vaksinasi memastikan mereka yang dijangkiti mendapat simptom yang teruk adalah rendah.
“Malah, ramai individu dan peniaga tidak mampu untuk menampung sara hidup jika penutupan sektor ekonomi dan kawalan pergerakan dilaksanakan sekali lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan tidak mungkin melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau penutupan beberapa sektor terutama ekonomi meskipun angka kes Covid-19 kembali meningkat.

Beliau berkata, jaminan itu juga diberikan kepada pemain Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selepas melihat kepada impak penutupan sebelum ini.

Katanya, kerajaan turut mengambil kira kesan negatif terhadap ekonomi dan kadar pengangguran rentetan pelaksanaan PKP pada tahun 2020.

“Kerajaan umum tak akan PKP kerana kesan ekonomi dan pengangguran negara pada awal 2020 meningkat kepada 5.3 peratus sehingga 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan,” katanya dalam majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina bersama IKS di Tangkak, Johor, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×