KUALA TERENGGANU: Semua pengusaha pelancongan terutama di pulau-pulau peranginan diarah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan bagi mengelak kejadian kemalangan bot berhampiran jeti Kuala Besut di Besut berulang.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu dan berharap siasatan lanjut dapat dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, soal keselamatan dan keselesaan pelancong merupakan keutamaan kerajaan negeri, justeru perkara itu tidak sepatutnya dipandang ringan oleh mana-mana pengusaha semata-mata untuk mengaut keuntungan.
“Jika tidak dibendung, kejadian ini boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap industri pelancongan di Terengganu kerana pengunjung akan mempertikaikan isu keselamatan.
“Pemakaian jaket keselamatan di samping kapasiti bot yang tidak melebihi muatan adalah peraturan wajib. Saya hairan bagaimana kemalangan boleh berlaku di muara sungai yang luas dan jika disebabkan kecuaian pemandu, maka tindakan perlu diambil sebagai iktibar kepada semua pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin, bot yang membawa 29 pelancong bersama dua awak-awak dari Pulau Perhentian itu terbalik selepas melanggar bot nelayan di muara Sungai Besut.
Seramai tujuh pelancong yang berusia antara empat hingga 70 tahun kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat lemas dengan lima merupakan mangsa kanak-kanak manakala dua lagi dewasa, bagaimanapun kesemua mereka dilaporkan stabil.
Ariffin berkata, urusan siasatan kemalangan bot itu diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Jabatan Laut Malaysia memaklumkan bot pelancong berkenaan membawa penumpang berlebihan berbanding 12 orang yang dibenarkan.
Sementara itu, hasil siasatan awal yang dijalankan Jabatan Laut Malaysia (JLM) membongkar sikap tamak pengusaha yang mengabaikan aspek keselamatan di laut.
“Ketika kejadian, bot Salzan Perhentian membawa seramai 29 penumpang, iaitu melebihi had dibenarkan JLM hanya 12 orang,” kata agensi tersebut lagi menerusi kenyataan di sini semalam.
Bot penumpang dengan nombor pendaftarannya TKB 00465P itu dilaporkan mengangkut 15 orang dewasa, 13 orang kanak-kanak dan seorang bayi bersama-sama dengan dua kru dewasa.
Mengulas lanjut, agensi tersebut menerusi siasatan secara lisan dilakukan oleh JLM Wilayah Timur mendapati penumpang juga tidak memakai jaket keselamatan sewaktu kejadian.
“Penumpang berkenaan turut dilaporkan menaiki bot itu di jeti pendaratan persendirian tidak sah yang bukan di bawah seliaan atau kawalan pihak JLM,” jelas agensi tersebut lagi.
Siasatan awal juga mendapati, nakhoda bot penumpang itu yang didaftarkan di lesen adalah berbeza dengan nakhoda ketika insiden dan lesen bot sudah tamat tempoh pada 10 Jun lalu.
Pemilik bot tersebut juga didapati telah mengalihkan bot berkenaan yang terlibat kemalangan dan menanggalkan nombor pendaftaran bagi mengelirukan pihak Pejabat JLM Kuala Besut.
Agensi itu turut mengesan jeti persendirian tidak sah yang sering digunakan pelancong untuk ke Pulau Perhentian dan Pulau Redang antaranya di Bukit Kluang dan Sungai Kampung Raja.
Sedangkan kesemua jeti penumpang JLM masih lagi ditutup ekoran Fasa Monsun Timur Laut 2021/2022 yang bermula 3 November tahun lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac ini. – UTUSAN










