KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) disaran mengambil tindakan berkecuali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, saranan itu wajar selepas mengambil kira keputusan PRN Melaka yang menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru telah mengakibatkan PH dan PN kalah kepada BN.
“Kalau hendak lihat UMNO dan BN dapat dikalahkan, saya mengajak PN untuk belajar apa yang berlaku di PRN Melaka dan kita pun sudah tahu hasilnya.
“Untuk di Johor, kalau nak lihat perubahan lebih besar, kalau nak tengok kluster mahkamah dihukum, biar kami (PH) yang bertanding menghadapi BN tanpa pihak ketiga.
“Biar PN ambil tindakan berkecuali, selepas itu kita lihat apa yang berlaku. Cuba PN kali ini duduk, tengok sahaja. Selepas itu kita bincang bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Daripada PN kalah, PH kalah sama seperti di Melaka, lebih baik PN duduk dulu atau kami berlawan dengan BN,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS serta parti komponen lain dilaporkan akan kekal bersama dalam pakatan PN untuk menghadapi PRN Johor seperti mana di Melaka, November lalu. – UTUSAN










