BN miliki kelebihan di PRN Johor - Utusan Malaysia

BN miliki kelebihan di PRN Johor

PRN Johor, jumlah borang pencalonan dijual melonjak hari ini,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dianggap mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan pembangkang yang tidak konsisten dan belum menemui rentak untuk bangkit daripada siri kekalahan pilihan raya sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, sebaliknya jika pembangkang berjaya bersatu di bawah satu khemah besar, situasi tersebut akan berubah dan membawa natijah buruk kepada BN.

Jelasnya, UMNO sebagai parti utama dalam komponen BN masih miliki kelebihan jika diukur daripada aspek kekuatan undi teras dalam kalangan pengundi Johor sendiri.

“Bagi segmen pengundi atas pagar yang biasanya mengikut pilihan rasional, kumpulan ini akan menjadi rebutan bagi parti-parti selain BN. Mudahnya, segmen ini akan mencapah kepada banyak sudut jika berlaku pertandingan banyak penjuru kali ini.

“Maka dengan kukuhnya undi teras ditambah pula de­ngan sedikit pertambahan undi segmen lain memberikan ke­lebihan kepada BN untuk tampil sebagai pemenang.

“Sebaliknya menjadi cabaran buat BN jika pembangkang bersatu sesama mereka, peratusan keluar mengundi tinggi seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan pengundi muda pertama kali keluar mengundi,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PKR akan bertanding menggunakan logonya sendiri manakala dua sekutunya, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo gabungan parti pembangkang berkenaan.

Anwar berkata, perbinca­ngan pakatan pembangkang berhubung pengagihan kerusi juga sudah selesai dan PH akan bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun masih terbuka untuk perbincangan dengan parti pembangkang lain di luar gabungan terbabit.

Mengulas lanjut, Hisomuddin memberitahu, pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi juga dijangka rendah kerana PRN diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina apabila kaum Cina di perantauan mungkin tidak lagi bersemangat pulang setelah mereka baharu saja kembali ketika pe­rayaan mereka tempoh hari.

Sementara Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, kehadiran

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Muda tidak memberikan kesan kepada BN kerana kedua-dua parti itu tidak mencukupi atau besar untuk memenangi PRN.

Jelasnya, penyokong Pejuang dan Muda yang ada pada ketika ini adalah pengundi yang pernah menyaksikan pentadbiran semasa PH dan PN yang didakwa gagal selepas PRU-14.

“Malah pengundi Muda ini turut melihat dan menyaksikan kesan pentadbiran PH dan PN ke atas keluarga masing-masing yang akan mempengaruhi undi dan tidak akan memperjudikan nasib buat kali kedua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×