'Muhyiddin jangan angkuh' - Utusan Malaysia

‘Muhyiddin jangan angkuh’

MAZLAN BUJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tebrau, Mazlan Bujang menyifatkan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu sedar diri selepas mempersoal maruahnya ekoran keluar Bersatu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mazlan berkata, Muhyiddin seharusnya sedar kerana beliau antara individu yang terlibat dalam Langkah Sheraton sehingga kerajaan yang ada ketika itu tumbang.

“Pesan kepada Muhyiddin, jangan angkuh dan cermin diri. Kata tulang paku serpih, mengata orang tidak ada maruah, sendiri yang lebih.

“Dia khianat Langkah Sheraton, dia lupakah? Yang dia pancing orang UMNO masuk Bersatu, Warisan (Parti Warisan Sabah) masuk Bersatu, bukankah dia yang tidak ada maruah?” soalnya ketika dihubungi, semalam.

MUHYIDDIN YASSIN

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menyifatkan tindakan Mazlan yang mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN), tidak menjejaskan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah jelasnya, langkah berkenaan tidak memberi kesan apa-apa kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun terbubar.

“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin. Dia nak (masuk) UMNO? Dia fikir UMNO akan lantik (calonkan) dia,” ujar Muhyiddin.

Ditanya sama ada berhasrat menjadi calon mana-mana parti pada PRN Johor, Mazlan berkata, setakat ini fokus hanya diberi kepada kerja-kerja Exco kerajaan negeri sementara yang masih ada.
“Tiada komen, tunggu dan lihat. Saya nak berehat sekejap tenangkan fikiran.

“Saya nak fokus kerja-kerja Exco kerajaan sementara. Jadi calon, tidak tahu lagi sebab politik pun kita tidak tahu bagaimana keadaannya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×