Di mana hutan yang sebenarnya? - Utusan Malaysia

Di mana hutan yang sebenarnya?

HSK di Kelantan yang dibotakkan untuk tujuan ladang hutan sehingga mengganggu habitat hidupan liar. – Sumber gambar/Meor Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemunculan aktiviti perlombongan dan ladang hutan berskala besar di kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) dilihat antara faktor utama ancaman habitat hidupan liar, sekali gus membawa kepada kepupusan spesies.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman mendedahkan, biarpun statistik Jabatan Perhutanan merekodkan masih terdapat 48 peratus HSK di semenanjung , namun bukan semua tanah berhutan.

Misalnya, HSK di beberapa negeri seperti Perak, Kelantan dan Pahang menjalankan aktiviti perlombongan dan ladang hutan atau juga dikenali sebagai ladang monokultur.

Ladang hutan memerlukan hutan digondol atau ‘dibotakkan’ terlebih dahulu sebelum penanaman satu jenis pokok terpilih dibangunkan.

Bagaimana pun, katanya, aktiviti itu dijalankan secara sah dan sememangnya mendapat kelulusan pihak berkuasa untuk menjalankan perlombongan dan perladangan di kawasan berkenaan.

“Ini yang kita tidak setuju. Dalam mesyuarat Majlis Tanah Negara di peringkat persekutuan ke-70 pada 2014 telah buat satu ketetapan iaitu kerajaan negeri digesa mengambil satu inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

“Ini bermakna semua negeri sudah maklum mengenai perkara ini. Tapi sayang ketetapan ini tidak diikuti,” jelasnya.

Mengambil contoh terbesar di Kelantan, Meor Razak memaklumkan hampir 28 peratus daripada keluasan HSK telah diluluskan untuk zon ladang hutan.

“Di Kelantan keluasan hutan simpan adalah 613,275 hektar dan daripada jumlah itu sebanyak 169,133 hektar adalah kawasan yang dizon untuk ladang hutan.

“Itu kita belum ambil kira lombong. Jadi bayangkan memang tak ada hutan sedangkan status kata sebaliknya. Mana hutan yang sebenarnya?” soalnya.

KELOMPONGAN AKTA
Tambah Meor Razak, aktiviti penerokaan HSK ‘dihalalkan’ berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 10 Akta Hutan Negara yang membahagikan HSK kepada dua iaitu hutan perlindungan dan hutan pengeluaran.

“Namun hutan pengeluaran di bawah subseksyen 10(1)(A) memperuntukkan perolehan kayu secara berkekalan.

“Patutnya kalau rujuk balik akta itu perolehan kayu secara berkekalan bukanlah dengan cara melombong atau tebang habis untuk dijadikan ladang hutan,” ujarnya.

Oleh itu, tegasnya, dia melihat ada kelemahan daripada segi Akta Perhutanan yang lebih menekankan kepada kepentingan ekonomi.

Terutamanya Seksyen 11 akta berkenaan yang membolehkan kawasan HSK dinyahwartakan sekiranya ia mampu memberi pulangan ekonomi lebih tinggi daripada guna tanah sedia ada.

“Ini yang disalah guna. Jadi, seksyen ini perlu diperhalusi semula sebab hutan bukan merangkumi ekonomi sahaja tapi ambil kira juga biodiversiti, kepelbagaian hayat dan hubungkait persekitaran.

“Jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, kawasan simpanan akan terus berkurang di Semenanjung dan tidak mustahil bencana alam akan terus berlaku dan mungkin lebih dahsyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, walaupun dasar Perhutanan Malaysia 2021 telah dikuatkuasakan, ia dilihat masih mempunyai kelemahan kerana menggalakkan aktiviti pembangunan di HSK.

“Saya tidak halang pembangunan ladang tapi kita tidak setuju ia di laksanakan di HSK. Bila jadikan hutan asli sebagai ladang, hutan ‘dibotakkan’. Itu kami tidak setuju sebab bercanggah dengan dasar perhutanan itu sendiri. Dasar pencapaian hutan secara berkekalan yang menjadi dasar negara tidak dicapai.

“Mungkin boleh buat di tanah individu. Daripada tanah terbiar tiada hasil lebih baik jadikan ladang hutan untuk tingkatkan produktiviti tanah,” cadangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×