MUKADIMAH
TINDAKAN kerajaan mengehadkan transshipment (pemindahan) rokok di pelabuhan khusus, mengenakan cukai ke atas rokok import yang tidak dibenarkan untuk eksport semula dan tidak membenarkan pengeksportan semula rokok menggunakan bot kecil dilihat memberi impak positif dalam mengawal kemasukan rokok tidak sah ke negara ini.
Perkara ini terbukti apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merekodkan peningkatan hasil rokok pada tahun lalu berbanding 2020 dengan kutipan RM3.43 bilion berbanding RM3.27 bilion tahun sebelumnya.
Selain itu, berdasarkan Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS) oleh Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) mendapati aktiviti penyeludupan rokok menurun enam peratus susulan dasar-dasar untuk menghentikan dagangan rokok seludup diumumkan dalam Bajet 2021.
Meskipun begitu, JKDM tidak boleh berlapang dada kerana tidak dinafikan aktiviti penyeludupan rokok masih berlaku kerana sindiket penjenayah kini menukar strategi dengan menumpukan kawasan pesisir pantai, bukan lagi pelabuhan.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN dan jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON, Ketua Pengarah JKDM, DATUK SERI ABDUL LATIF ABDUL KADIR mengulas lanjut trend penyeludupan khususnya membabitkan rokok di pelabuhan di seluruh negara.
UTUSAN: Trend penyeludupan menerusi transshipment masih berlaku?
ABDUL LATIF: Rokok merupakan salah satu komoditi yang dikenakan syarat permit bukan sahaja bagi aktiviti mengimport, malah transshipment dan in-transit. Namun begitu, dalam pengumuman belanjawan tahun 2021 oleh Menteri Kewangan, rokok-rokok berstatus perlu dibayar duti import terlebih dahulu dan 90 peratus daripada bayaran berkenaan boleh dituntut semula apabila transshipment disahkan telah dieksport ke luar negara.
Dasar ini sedikit sebanyak menghalang aktiviti penyeludupan dalam Zon Bebas. Bagaimanapun, tidak dinafikan masih berlaku aktiviti penyeludupan rokok berstatus transshipment kerana sindiket bijak mengatur strategi untuk meneruskan aktiviti mereka.
Malah keadaan ini menambah cabaran kepada JKDM untuk mengesan rokok-rokok seludup dalam Zon Bebas ini.
Modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan ini?
Jika sebelum ini, rokok-rokok ini diikrar sebagai status transshipment, namun dengan dasar baharu, ia tidak lagi diikrar sebagai rokok tetapi barangan komoditi lain.
Perkara ini sekali gus menyebabkan JKDM perlu meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan di pelabuhan bagi mengesan aktiviti seumpama ini.
Sebagai contoh, kalau di Gelang Patah sama ada mahu membawa barangan ini keluar atau masuk, sindiket meletakkannya dalam lori simen untuk mengaburi pihak berkuasa. Ada juga ikrar bawa perabot tetapi bila kita periksa dalam almari, penuh rokok. Begitu juga kerusi penuh dengan rokok.
Kita juga kesan, sindiket ada informer. Sebagai contoh, kita buat operasi di Gelang Patah, sindiket tahu ‘lubang’ itu dah kena tutup, mereka masuk ikut pantai pula sebab rokok ini memang mempunyai permintaan tinggi dan kalau ikut teori ekonomi, memang good businesslah.
Ada taktik lain lagi digunakan?
Melalui bot, persisiran pantai dan tempat-tempat yang jarang dikawal oleh JKDM. Contohnya, kalau di Semenanjung, dahulu tidak ada sindiket seludup melalui Pantai Timur kerana keadaan ombak kuat. Tapi sekarang laluan itu sudah menjadi kebiasaan buat sindiket ini.
Begitu juga di pantai seperti Rompin, Pekan, ada kes-kes kita berjaya tangkap. Dahulu mereka tidak lalu situ kerana ombak yang besar. Perkara ini berlaku selepas laluan-laluan utama masuk ke negara ini ditutup melalui Op Benteng dan sempadan negara belum dibuka.
Kesan lain terhadap aktiviti penyeludupan rokok selepas dasar baharu diperkenalkan?
Langkah yang digariskan dalam Bajet 2021 juga mencapai matlamat apabila kadar cukai berjaya dikutip JKDM terhadap aktiviti penyeludupan rokok tidak sah menurun. Hasil sebanyak RM268.26 juta berjaya diperoleh pada tahun lalu berbanding RM661.6 juta tahun 2020.
Pada masa sama, kes penyeludupan rokok pada tahun lalu juga menurun apabila dengan rampasan bernilai RM11.30 juta dengan nilai cukai RM123.69 juta berbanding RM38.05 juta dengan nilai cukai RM137.67 pada 2020.
Jumlah penyeludup didakwa?
Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 198 pertuduhan dibuat ke atas sindiket rokok ini yang mana 134 individu disabitkan kesalahan, diikuti minuman keras sebanyak 82 orang dituduh dengan 50 daripadanya didakwa.
Begitu juga penyeludupan rokok dan minuman keras, iaitu sebanyak 14 pertuduhan yang mana lima disabitkan kesalahan dan bagi kes-kes lain sebanyak 128 pertuduhan dibuat dan 74 daripadanya dituduh.
Barangan komoditi baharu yang menjadi sasaran penyeludup?
Komoditi atau jenis barangan baharu yang dikenal pasti menjadi sasaran penyeludup adalah alternatif kepada rokok konvensional seperti heet stick, peranti vape dan perisa vape. Semua barangan ini melibatkan permit import dan kadar duti atau cukai yang tinggi.
Sebanyak 16 kes diperoleh dengan nilai barangan RM1.2 juta dan nilai cukai RM228,589.91 berjaya dirampas pada tahun lalu berbanding lima kes tahun 2020 dengan nilai rampasan RM248,203 dengan nilai cukai RM2,071 berjaya diselamatkan.
Bagaimana pula kegiatan sindiket penyeludupan menggunakan ‘kontena terbang’?
Isu kontena terbang ini bukan isu baharu. Perkara ini telah lama wujud. Pelbagai tindakan diambil bagi memperkemaskan prosedur kerja melibatkan borang atau kontena terbang ini.
Antaranya menukar proses kerja manual kepada elektronik. Sebagai contoh, semua pintu keluar sempadan dilengkapi dengan gate control system (GCS) yang membolehkan pegawai dan anggota JKDM menyemak kesahihan dokumen yang dikemukakan oleh ejen penghantaran sebelum sesuatu konsainmen diluluskan untuk pelepasan.
Malah, tidak dinafikan dengan hasil berbilion yang diperoleh sindiket penyeludupan ini, mereka gunakan untuk merasuah anggota JKDM agar melindungi kegiatan mereka.
Isu rasuah dalam kalangan warga JKDM. Jadi ada ‘orang dalam’ bersekongkol dengan sindiket?
JKDM tidak menafikan perkara ini masih berlaku malah rekod Cawangan Integriti menunjukkan ada pegawai yang disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. Malah ada sebilangan kecil pegawai dan anggota yang terlibat disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Boleh dapatkan statistik mereka yang dikenakan tindakan tatatertib?
Dalam tempoh tiga tahun sejak 2019, sebanyak 12 orang didakwa di mahkamah, iaitu masing-masing lima kes direkodkan pada 2019 dan 2020 diikuti dua orang didakwa di mahkamah pada tahun lalu.
Bagi kes tatatertib, sebanyak 48 pegawai dan anggota diambil tindakan yang mana 23 kes direkodkan pada 2020 diikuti 2019 (19) dan 2021 (6).
Kesalahan paling banyak direkodkan?
Antara kesalahan terlibat adalah rasuah atau salah guna kuasa, penyalahgunaan dadah, tidak mematuhi prosedur, tata kelakuan dan tidak hadir bertugas.
Kesemua kesalahan ini kita ambil tindakan mengikut Seksyen 137 Akta Kastam 1967 Penalti kerana menawarkan atau menerima rasuah iaitu pegawai atau anggota telah meminta dan menerima ganjaran untuk tidak mengambil tindakan semasa aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan. Aduan pihak awam dan siasatan yang segera oleh CSK berjaya menuduh pihak terlibat di mahkamah.
Jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie dan semua mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan. Untuk rekod, terdapat kes pertama JKDM berjaya tuduh serta mensabitkan pegawai dan anggota kerana terlibat kesalahan seumpama ini.
Selain itu, tindakan boleh juga diambil mengikut Seksyen 136 Akta Kastam 1967 Penalti kerana menyerang atau menghalang pegawai kastam dan membebaskan barang-barang selain tindakan pegawai dan anggota menyebabkan barang dagangan yang telah disita dilepaskan kepada pihak lain.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya.
Begitu juga tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 Penalti yang berhubungan dengan kesalahan penyeludupan, pengelakan duti, fraud dan sebagainya. Bagi kesalahan ini, mereka terlibat dalam mengimport barang-barang secara tidak sah boleh dikenakan hukuman denda atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Amaran Datuk Seri kepada mereka yang terlibat dengan sindiket?
Jadikan keputusan mahkamah ke atas empat anggota yang didapati bersalah kerana kesalahan di bawah Seksyen 137 Akta Kastam 1967 sebagai pengajaran.
Jabatan amat tegas dalam isu integriti dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Terdapat isu yang mana sistem uCustoms oleh JKDM bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan. Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD). Komen?
Kontrak uCustoms bermula pada 25 Oktober 2013 sehingga 24 Oktober 2015. Lanjutan masa EOT 1 hingga EOT 5 adalah bagi tempoh 25 Oktober 2015 sehingga 31 Disember 2020.
Namun, pada Julai 2015 iaitu kira-kira tiga bulan sebelum tamat tempoh kontrak pada 24 Oktober 2015, kontraktor telah membuat pengakuan bahawa kadar customization yang perlu dibuat ke atas produk adalah jauh lebih tinggi daripada peratusan yang dinyatakan dalam penyediaan proposal tender di mana pihak principal product telah tersilap jangka keperluan sebenar JKDM. Sehubungan itu, mereka menghadapi cabaran besar dalam menyiapkan keperluan pengguna dalam tempoh dirancang dan dengan demikian mereka (kontraktor) memohon EOT untuk menyiapkan projek.
Apa perkembangan siasatan?
Untuk hasil siasatan, JKDM telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh siasatan. Bagaimanapun, JKDM belum mendapat sebarang maklum balas rasmi daripada agensi yang menyiasat.
Seiring sambutan Hari Kastam Sedunia hari ini, apa matlamat dan perancangan JKDM?
JKDM sentiasa mempergiatkan aktiviti dan tindakan penguatkuasaan, walaupun negara dan dunia masih lagi berhadapan dengan isu pandemik Covid-19.
Antara usaha berterusan yang dilaksanakan oleh JKDM adalah dengan mempertingkatkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan seperti serbuan, rondaan darat dan air selain melakukan sekatan jalan raya dan pemeriksaan kapal, bot dan kenderaan serta melakukan operasi-operasi khas dan outlet bagi rokok dan minuman keras.
Kita juga akan memperketatkan kawalan dari segi dasar dan perundangan jabatan selain kerjasama daripada agensi keselamatan lain dan pihak industri iaitu dengan mengadakan perkongsian maklumat operasi bersepadu sepadu. Contohnya, penglibatan dalam Op Benteng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan 19 agensi kerajaan lain.
Perkongsian maklumat perisikan antarabangsa dan operasi antarabangsa berkaitan antaranya ialah dengan menjalinkan hubungan antarabangsa merangkumi rantau Asia Pasifik dan ASEAN selain menjalankan operasi penguatkuasaan bersama anjuran World Customs Organization (WCO), Regional Intelligence Liaison Office Asia Pacific (RILO AP), Interpol dan sebagainya.
Bagi mengukuhkan lagi penguatkuasaan, kita juga ada menyertai bengkel, seminar dan latihan antarabangsa anjuran WCO, Regional Office for Capacity Building Asia Pacific (ROCB AP), Interpol dan sebagainya selain terlibat sama menghadiri mesyuarat peringkat antarabangsa anjuran RILO AP, ASEAN, United Nation (UN), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), US-ASEAN Business Council (USABC), EU-ASEAN Business Council (EUABC).
Dalam pada itu, kita juga akan mewujudkan National Contact Points (NCP) dan Unit Risikan Antarabangsa (URA) bagi mentadbir dan menyelia penyaluran maklumat risikan di peringkat antarabangsa dan mengadakan komunikasi antara NCP melibatkan pelbagai negara bagi mengkaji best practice dan weakness factors yang dialami oleh negara lain untuk proses penambahbaikan perundangan dan aktiviti penguatkuasaan yang boleh diaplikasi oleh JKDM.
Di samping itu, perolehan aset berteknologi tinggi seperti mesin pengimbas, kargo, mesin pengimbas bagasi, mesin pengimbas badan, dron, body worn camera dan lain-lain aset berkaitan.










