DIGITAL Nasional Berhad (DNB) adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan telah diberi mandat untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara.
DNB akan membolehkan keupayaan utama 5G, iaitu jalur lebar mudah alih yang dipertingkatkan (eMBB), komunikasi jenis mesin besar (mMTC), komunikasi latensi rendah kebolehpercayaan tinggi (uRLLC) dan pembahagian rangkaian (network slicing).
Dana yang digunakan oleh DNB bersama Ericsson adalah daripada sumber pelaburan yang tidak menggunakan dana kerajaan. Ini bermakna kerajaan tidak menanggung sebarang risiko sekiranya berlaku ‘keilatan’ pada projek ini. Kita belajar daripada kegagalan projek 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dengan senarai teknologi baharu yang diperkenal DNB, projek ini memerlukan sumber tenaga manusia secara mega sehingga 750,000 pekerjaan baharu menjelang 2030.
Menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia, bilangan penganggur adalah sebanyak 729,600 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilonggarkan. Negara menjangkakan projek DNB ini mampu menyelesaikan isu pengangguran yang berlaku akibat pandemik Covid-19.
Peluang pekerjaan bagi tenaga buruh pakar baharu dan perpindahan tenaga kerja dapat berkembang dengan pelan yang disediakan DNB. Penawaran tinggi ini akan menarik pelaburan teknologi asing untuk bersama mempergiat pembangunan teknologi 5G di Malaysia tanpa mengabaikan kepentingan masyarakat.
Ini sekali gus mewujudkan potensi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai anggaran RM150 bilion. DNB melunaskan lonjakan kepada KDNK jangka panjang dan peluang pekerjaan, manfaat sosioekonomi yang lain.
SYARIKAT BUMIPUTERA
Seperti sedia maklum, DNB akan melantik syarikat bumiputera sebagai pembangun lapisan kedua atau subcon dalam penyediaan infrastruktur 5G. Ini dapat membantu syarikat tempatan untuk terlibat sama dalam projek mega ini.
Tambahan pula, projek ini mampu merangsang permintaan ke atas rantaian bekalan sektor pembekalan barangan, teknologi dan logistik milik syarikat tempatan.
Beberapa industri utama telah dikenal pasti oleh DNB sebagai pengguna awal 5G seperti minyak dan gas, pelabuhan, pelancongan, pendidikan, penjagaan, kesihatan, pertanian, pembuatan, peruncitan serta tenaga dan utiliti.
Pihak-pihak berkepentingan ini termasuklah Ericsson, penyedia perkakasan rangkaian (NEP), pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dan lain-lain pemegang lesen, pemilik tapak, penyedia fiber optik, penyedia kuasa elektrik dan utiliti serta institusi kewangan.
Malah, pembangunan teknologi baharu ini dikongsi oleh perbadanan DNB bersama syarikat operasi lain seperti syarikat telekomunikasi (telco) sedia ada untuk perluasan capaian guna pada masa akan datang.
UTILITI ASAS
DNB akan menjadikan 5G sebagai utiliti asas. Tambahan daripada itu, DNB akan memudahkan pelaksanaan akses tanpa wayar tetap (FWA) terutama untuk kawasan desa dan pedalaman negara.
Dengan teknologi FWA, DNB akan dapat memperluas liputan 5G ke rumah dan perniagaan ke kawasan di mana penggunaan fiber tidak dapat dilaksanakan.
Ini akan meningkatkan inklusiviti digital yang membolehkan masyarakat desa turut serta dalam memanfaatkan ekonomi digital Malaysia yang sedang berkembang.
Seperti syarikat utili air dan elektrik, DNB akan menyediakan perkhidmatan 5G ke seluruh negara. Ia berbeza dengan orientasi teknologi 4G yang diberikan oleh telco lain yang berorientasikan keuntungan dan kepadatan penduduk.
FLIP FLOP
Kerisauan masyarakat terhadap kekurangan pelaburan langsung asing (FDI) akan dipulihkan dengan kejayaan DNB meneroka ruang teknologi baharu 5G.
Negara sudah terpalit dengan ‘lumpur’ keraguan pelabur bila kerajaan lalu membatalkan pelbagai projek gergasi seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) 2 dan MRT 3 walaupun dalam sektor berbeza.
Sebelum ‘lumpur’ ini melemaskan ‘nafas’ ekonomi, kini adalah masa terbaik untuk DNB memulihkan keyakinan pelabur dan memulihkan imej negara tanpa melengahkan lagi pembangunan yang jelas memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Desas-desus yang mengatakan projek ini akan ditender semula mengikut persempadanan adalah tidak wajar. Kerajaan tidak perlu tunduk kepada tekanan telco yang selama ini mengecewakan pengguna. Berapa ramai pelabur asing telah lari meninggalkan Malaysia lantas beralih ke Indonesia dan Singapura? Hyundai, IBM, Shell, CitiGroup, Toyota Motorcorp, TESLA, SpaceX dan UAE Investment membuat keputusan besar meninggalkan Malaysia.
Adakah kita masih berani dengan tindakan flip-flop kita?
Kesimpulannya, projek DNB mampu menjadi katarsis kepada pelaburan asing, namun harus ada ketetapan yang muktamad. Malah, saya percaya projek ini mampu menyelesaikan isu kelembaban internet di Malaysia setelah kita membangunkan 5G.
PENULIS ialah penganalisis politik.










