ALOR SETAR: Pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat sebelum ini tidak menjejaskan jawatannya selaku Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu tetap memegang jawatan tersebut memandangkan beliau bukannya dipecat sebagai ahli Pas sebaliknya hanya digugurkan daripada AJK Pusat.
“Kalau disingkir daripada parti, waktu itu automatik semua jawatannya dalam Pas gugur. Tetapi kini beliau masih ahli Pas dan kami di Majlis Syura Ulama juga tidak pernah membincangkan mengenai perkara itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pada 14 Januari lalu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd. Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas Pusat, tidak sampai dua bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.
Ditanya mengenai keputusan Muzakarah Majlis Syura Ulama sebelum ini yang memutuskan untuk mempertahan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasa Perikatan Nasional (PN), Hashim berkata, sepanjang pengetahuannya tiada dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti yang menolak perkara tersebut.
“Kita konsisten ke arah itu. Kalau seorang dua bersuara, itu kita tak ambil kisah kerana biasanya lebih kepada pandangan peribadi tetapi setahu saya, kepimpinan tertinggi Pas pun tak menolak,” katanya.
Tambahnya, perkara pokok yang perlu difikirkan oleh semua pihak adalah, perpaduan ummah yang cuba dibentuk ketika ini bukanlah idea yang dicetuskan oleh Pas mahu pun UMNO.
“Sebaliknya ini perintah Tuhan dan sebagai umat Islam, wajib perintah itu dilaksanakan. Kalau kita tak suka dengan penyatuan, itu bermakna kita menolak apa yang Tuhan suruh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











