Jumaat bubar DUN Johor? - Utusan Malaysia

Jumaat bubar DUN Johor?

DEWAN Undangan Negeri Johor dikatakan hanya menunggu masa untuk dibubarkan bagi menstabilkan kerajaan negeri yang memiliki majoriti satu kerusi sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hari Jumaat yang dianggap sebagai penuh berkat menjadi pilihan hari pembubaran Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Johor selepas dikatakan sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sehubungan itu, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, pembubaran itu mungkin diadakan hari ini atau Jumaat depan bergantung kepada per­kenan Sultan Johor.

“Tunggu sahajalah. Mungkin esok (hari ini) atau Jumaat ming­gu depan. Mengapa Jumaat? Pi­lih hari yang penuh berkat,” kata sumber dalaman parti.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, PRN kali ini menjadi medan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didesak akar umbi UMNO supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas menarik sokongan daripada kerajaan, sekali gus menyebabkan pentadbiran yang dipimpinnya kurang majoriti.

“Jika UMNO menang PRN Johor, maka kemungkinan PRU diadakan lebih awal. Tidak tunggu sehingga Julai yang sebelum ini perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang menetapkan PRU tidak bo­leh dibuat dalam tempoh itu,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO memberi lampu hijau untuk mengadakan PRN Johor dan ia disambut positif oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini.

Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut berkata, PRN Johor bukan suatu perkara baharu untuk UMNO berhadapan, lantas persediaan sudah pun dibuat sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan setelah Barisan Nasional (BN) tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Namun, jelas beliau, pihak­nya bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada PRN dibenarkan untuk diadakan atau sebaliknya.

Kedudukan parti mentadbir Kerajaan Negeri Johor yang berkelebihan satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 blok pembangkang dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian.

Keyakinan itu juga dilihat berikutan faktor kemenangan besar BN dalam PRN Melaka, November lalu yang me­nguasai majoriti 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) sekali gus me­yakinkan parti itu sokongan rakyat sudah berubah berbanding semasa PRU-14.

Hasni sebelum ini berkata, cepat atau lambat PRN itu diadakan tidak penting sebaliknya justifikasi kenapa ia perlu diadakan adalah lebih mustahak memandangkan kedudukan kerajaan yang memiliki majoriti satu kerusi sahaja.

Dalam keadaan majoriti yang amat tipis itu, beliau perlu lebih sensitif kepada kestabilan kerajaan kerana tidak tidak boleh beranggapan bahawa semua bersetuju ataupun menggunakan bentuk-bentuk kaedah untuk mencapai keputusan.

“Dengan majoriti yang tipis untuk menstabilkan kerajaan ini, memerlukan saya lebih berhati-hati dan perlu lebih sensitif supaya program membangunkan ekonomi negeri dan menjayakan rancangan yang telah disusunkan itu dapat dilaksanakan dengan ja­yanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×