Azza guna media sosial untuk promosi produk sejadah - Utusan Malaysia

Azza guna media sosial untuk promosi produk sejadah

Azza menzahirkan rasa syukur kerana bisnesnya semakin berkembang maju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT saja nama penyanyi dan pelakon ini, siapa yang tidak kenal. Bahkan generasi baharu pun mengenalinya.

Gemerlapan bintang Azza di arena hiburan tempatan menerusi kumpulan Elite, cukup berkilauan. Hatta, lagu dendangan Trauma dan Tamparan Wanita masih malar segar.

Bercakap mengenai malar segar, Azza atau nama penuhnya Noor Azzarima Zawari, 44, mengakui dia sudah puas memegang takhta populariti. Malahan, Azza tidak mensia-siakan peluang keemasan tersebut.

Cerita Azza, sebaik nama sudah kuat atau dikenali di arena hiburan, dia menggunakan media sosial untuk kegunaan berniaga selain perkongsian latar hidup sebagai seorang artis.

“Sejujurnya saya sudah puas glamor. Bagi saya, perkara itu merupakan satu rezeki yang tidak semua orang dapat.

“Ada segelintir yang mencuba tetapi tidak menjadi. Saya bersyukur ketika nama menjadi perhatian khalayak dari dalam dan luar Malaysia.

“Sekarang ini sudah tidak berlumba-lumba lagi. Ini adalah masanya untuk berfikir melakukan kebaikan agar diri menjadi seorang yang lebih baik,” kata Azza dengan harapan dapat mempengaruhi rakan artis dan pengikutnya di media sosial.

Ditanya mengenai tawaran watak di kala usia semakin bertambah, kongsi Azza, dia dihujani dengan watak emak-emak.

“Terus terang saya cakap, saya terima sahaja watak berusia. Tiada masalah, sebab saya tahu sesuai dengan usia.

“Kebanyakan produser daripada kawan-kawan yang tawarkan kepada saya.

“Terima kasih juga sebab ada pengurusan, Dinomay Entertainment (DME), bantu proses tawaran dan sebut harga. Rasa tidak berbaloi, saya percayakan DME, mestilah berbaloi dengan usaha dan apa yang diberikan kepada set,” jelasnya.

Cari gudang untuk letak stok sejadah
Bagi yang mengikuti perkembangan Azza di media sosial, orangnya rajin bekerja. Bukan saja pada bidang bakat menyanyi dan berlakon. Tetapi aktif dalam perniagaan sebagai seorang usahawan.

Melangkah ke tahun ketiga dengan menjual sejadah sahaja. Azza menzahirkan rasa syukur kerana bisnesnya semakin berkembang maju.

“Sebelum ini, saya hanya berniaga dari rumah sahaja, penuh sejadah. Oleh demikian permintaan semakin memberangsangkan, saya perlu gudang untuk letak stok,” kongsi Azza dalam nada gembira.

Tambah Azza, usaha perniagaan yang dilakukan itu kerana mahu melabur saham akhirat.

“Ada infaq sejadah secara tidak langsung menggalakkan khalayak mahu beli sambil beramal.

“Dalam kuantiti bila ramai infaq, saya boleh salurkan ke masjid dan surau.

“Lazimnya saya akan buat pada setiap hari Jumaat. Kalau tidak dapat disebabkan ada tuntutan kerja di lokasi penggambaran, saya akan buat sehari awal atau pun pekerja yang buat program infaq pada hari berkenaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azza baru sahaja habis penggambaran drama bersiri untuk RTM, berjudul, Ilham Ihram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×