Hina sangatkah kerja di restoran mamak? - Utusan Malaysia

Hina sangatkah kerja di restoran mamak?

Warga tempatan didakwa enggan bekerja di kedai-kedai mamak walaupun diberi banyak kemudahan.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami sudah sediakan makan minum sampai tiga atau empat kali sehari dan tempat tinggal, tetapi rakyat tempatan lebih suka bekerja di restoran makanan segera dan jadi penghantar makanan, hina sangatkah kerja di restoran mamak?”

Itu kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, yang juga memberitahu, mereka kini memerlukan kira-kira 10,000 pekerja tempatan berikutan pekerja mereka yang pulang bercuti ke India tidak dapat balik semula ke Malaysia kerana polisi kerajaan yang mengawal pekerja asing ketika ini.

Sedangkan katanya, bila diiklankan dengan meletakkan banner di luar restoran mengenai pengambilan pekerja, yang datang warga asing juga tetapi yang tiada permit.

Dan katanya, bila diambil pekerja tempatan yang mahu bekerja di situ pun kebanyakan bertahan beberapa hari sahaja, kemudian terus `ghaib’.

Justeru katanya, untuk mendapatkan pekerja di restoran India Muslim sekarang ini, agak payah kerana rakyat tempatan lebih suka bekerja di restoran makanan segera.

“ Tak tahulah mahu cakap macam mana, kita tak boleh pukul rata mahu dakwa kata mereka memilih atau malas. Ramai saja rakyat kita rajin bekerja. Tapi dalam soal ini orang tempatan perlu ambil peluang. Malah kami sentiasa terbuka meraikan mana-mana rakyat tempatan menyertai industri ini.

“ Tak semestinya sampai ke sudah mahu bekerja di restoran mamak, tak perlu macam itu. Mungkin satu hari, bila dah timba ilmu, boleh buka restoran sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Menurutnya, ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini, seluruh restoran India Muslim di negara ini setakat ini tidak memberhentikan seorang pun pekerja mereka cuma ada yang balik ke India bercuti tetapi tidak dapat pulang semula ke negara ini.

Menurut Jawahar Ali, ada antara pekerjanya yang dahulunya bekerja sebagai bancuh teh tarik di restoran tetapi sekarang sudah ada lima, enam restoran di Kuala Lumpur.

Tambahnya, ada juga yang menjadi pelayan dahulu, sekarang sudah buka restoran manakala bekas pemandunya sudah menjadi seorang kontraktor.

Katanya lagi, bila beliau memberi kenyataan bahawa pekerja tempatan kita masih kurang berminat untuk bekerja di restoran mamak, ada yang melatah, kata restoran itu memberi gaji kurang dan sebagainya.

“ Kami sebenarnya tidak kurang dari segi apa apa pun, makan sampai tiga empat kali sehari dan ada asrama tetapi tetap tiada sambutan dan bila diletakkan banner mahu cari pekerja yang datang ialah orang asing yang tiada permit pula,” katanya.

Dalam pada itu, susulan polisi kerajaan mengawal kemasukan pekerja restoran mamak yang mahu kembali bekerja selepas pulang bercuti di negara asal, beliau meminta kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing dalam sektor yang memang memerlukan.

“Sekarang pun Covid-19 sudah lebih dua tahun melanda, kebanyakan pekerja yang balik bercuti, mereka tak dapat masuk balik ke Malaysia.

“Memang itu jadi kekangan kepada kami sekarang, sebab bila pekerja kurang, maka kita tak boleh berikan servis yang terbaik. Sekarang ini, kerajaan dengan polisi tak membenarkan kemasukan pekerja asing umpamanya.

“Kalau hujah mahu beri keutamaan kepada pekerja tempatan, kami sekarang boleh memberitahu kementerian, kami di Presma perlukan 10,000 pekerja tempatan,” jelasnya.- UTUSAN

Wawancara penuh di muka surat 12 dan 13.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×