JOHOR BAHRU: Desas desus pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang kononnya diadakan dalam masa terdekat dipercayai turut membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini berbanding tahun depan.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Isham Jalil berkata, terdapat kepentingan untuk melaksanakan pilihan raya dengan segera yang bukan kerana Barisan Nasional (BN) gila kuasa, tetapi ke arah kestabilan politik sekali gus membawa kepada kestabilan ekonomi.
“Kerajaan ini dan terdahulu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat mandat daripada rakyat, jadi adalah penting untuk kerajaan baharu ditubuhkan dengan mandat. Kerajaan yang menerima mandat daripada rakyat lebih stabil sekali gus mampu membawa masuk pelaburan asing yang turut membawa masuk pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Tautan Kasih Eratkan Silaturrahim Menjelang PRU-15 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini, semalam.
- Menyorok lima jam di mahkamah elak dirakam
- Ini baru aktor hebat, tak perlu juta-juta pengikut – Ogy Ahmad Daud
- Lelaki diculik ditemukan mati dibunuh, mayat ditanam dibungkus kanvas
Spekulasi PRN Johor diadakan kembali diperkatakan pelbagai pihak selepas majoriti kerajaan Johor hari ini semakin tipis kepada perbezaan hanya satu kerusi selepas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, Disember lalu.
Mengulas lanjut, Isham berkata, BN dilihat mampu memenangi antara 32 hingga 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekiranya PRN diadakan dengan momentum semasa.
Katanya, pelbagai faktor menyumbang kepada keadaan itu termasuk prestasi semasa Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar kerana beliau lebih menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi negeri berbanding berpolitik.
Dalam pada itu, menurut Isham, BN Selangor optimis mampu menawan semula negeri berkenaan dalam pilihan raya akan datang setelah ia dipegang Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal sebelum ini.
Katanya, keyakinan tersebut bersandarkan kepada beberapa faktor yang menjadi penentu termasuk Undi-18 ekoran pertambahan bilangan pengundi yang signifikan di Selangor dengan sekitar 500,000 daripadanya pengundi muda.
“Jika melihat kepada trend semasa, kita optimis Selangor akan kembali kepada BN, antara faktornya pertambahan pengundi golongan muda. BN ada peluang kerana orang muda dan pengundi baharu tidak suka golongan lompat parti iaitu Perikatan Nasional (PN) dan juga penipu manifesto iaitu PH. Golongan berkenaan lebih peka dan sensitif dengan pelbagai isu semasa melibatkan kos sara hidup, harga kediaman tinggi, kekurangan peluang pekerjaan serta isu berbangkit seperti masalah air dan banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE











