PETALING JAYA: Tindakan mendedahkan maklumat secara terbuka termasuk melalui media sosial bukan sahaja tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 malah tidak boleh dikategorikan sebagai pemberi maklumat atau whistleblower.
Menegaskan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Pensyarah Kriminologi, Universiti Nottingham Trent, Dr. Kassim Noor Mohammed berkata, maklumat yang ada perlu disalurkan mengikut ketetapan undang-undang agar ia tidak menimbulkan sebarang keraguan.
Justeru, ujar Kassim, tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengeluarkan surat tuntutan (Letter of Demand) kepada bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam adalah hak beliau dalam mempertahankan imej dan reputasinya.
Katanya, pihak yang menerima surat berkenaan juga mempunyai hak sama ada untuk menjawab atau berani berhadapan dengan tindakan undang-undang selanjutnya.
“Penulis (Lalitha) dilabelkan sebagai whistleblower dan kononnya beliau tidak wajar diambil apa-apa tindakan. Persoalannya, apakah benar beliau boleh dikategorikan sebagai whistleblower sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang?
“Seseorang whistleblower hanya akan mendapatkan perlindungan sekiranya maklumat atau aduan dibuat kepada pihak berkuasa. Malah, menjadi kewajipan agensi terbabit untuk melindungi identiti dan maklumat yang disampaikan.
“Perlindungan akan terbatal sekiranya whistleblower tersebut sendiri melakukan tindakan tidak wajar termasuk mendedahkan identiti dan maklumat kepada pihak ketiga (apatah lagi media massa),” katanya di sini semalam.
Kata beliau, semua pihak harus memberikan ruang kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat isu berkenaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pula berkata, tindakan memberi maklumat secara terbuka mendedahkan seseorang itu elemen fitnah sekali gus potensi risiko disaman.
“Seorang pemberi maklumat yang mendedahkan kepada media sosial adalah tertakluk di bawah undang-undang fitnah kerana tindakan itu seolah-olah cuba memburukan nama seseorang walaupun tidak mempunyai niat buruk.
“Akta ini bertujuan untuk melindungi seseorang daripada sebarang liabliti undang-undang, namun kegagalan berbuat demikian termasuk pendedahan terbuka boleh menyebabkan maklumat itu tidak diterima,” katanya. -UTUSAN







