PETALING JAYA: Lebih banyak persoalan timbul selagi siasatan secara menyeluruh membabitkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak dilakukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang, Datuk Salleh Buang berkata, kedudukan sekarang terserah kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyiasat kontroversi tersebut setelah Azam membuat kenyataan bahawa akaun saham miliknya didakwa digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham pada 2015.
Menurut beliau, ini kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 menetapkan setiap akaun yang dibuka mestilah di atas nama pemilik benefisial atau nama penama diberi kuasa.
“Daripada orang ramai terus tertanya-tanya, adalah lebih baik siasatan terperinci dilakukan segera. Sekarang ini lebih banyak persoalan timbul selepas penjelasan diberikan oleh Azam,’’ katanya.
Semalam, SC memaklumkan akan mendapatkan penjelasan Azam dengan beliau perlu mengemukakan bukti-bukti berhubung pemilikan saham seperti yang dinyatakan pada sidang akhbar.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, adalah menjadi kesalahan bagi penjawat awam memiliki saham melebihi kadar tertentu seperti ditetapkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 dan individu yang berbuat demikian demikian, wajar dikenakan tindakan tatatertib.
Menurut beliau, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu mengambil tindakan segera menyiasat tohmahan membabitkan Azam.
“Siasatan tidak boleh berlaku sebelah pihak tetapi kena menyeluruh dan membabitkan segala aspek.
“Hanya Peguam Negara boleh menentukan Azam tidak bersalah atau tidak kerana ia merupakan bidang kuasa Peguam Negara dan bukannya kuasa Lembaga Penasiha Pencegahan Rasuah (LPPR),” tegas beliau.
Selain itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, satu jawatankuasa siasatan khas wajar ditubuhkan segera dengan dianggotai wakil semua agensi di bawah seliaan Peguam Negara bagi menyiasat penjelasan Azam.
Menurut beliau, tohmahan dan dakwaan terhadap Azam pada dasarnya menampilkan pelbagai isu peruntukan tidak terhad satu agensi sahaja tetapi melibatkan pihak lain.
“Maka perlu satu siasatan menyeluruh dan lengkap tanpa tindanan kerja yang mewajarkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dianggotai semua agensi berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menyifatkan LPPR sebenarnya badan yang paling layak untuk menyiasat SPRM termasuk Ketua Pesurujayanya.
“Ada lima jawatankuasa dalam SPRM yang bertanggungjawab memantau perjalanan SPRM yang ditubuhkan mengikut Perlembagaan negara. Jawatankuasa yang paling tinggi ialah LPPR.
“Jadi, tidak perlu tubuh jawatankuasa lain atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Ahli LPPR cukup profesional dan adalah anggota masyarakat yang amat tinggi integriti dan taraf mereka,” katanya.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pula mengesa siasatan penuh bukan sahaja perlu dilakukan terhadap Azam tetapi diperluaskan kepada ketua-ketua pesuruhjaya SPRM yang pernah berkhidmat sebelum ini.
Menurut kenyataan Majlis PH, siasatan itu wajar dilakukan badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM di samping mengesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan sekiranya telah berlaku pelanggaran undang-undang seperti yang didakwa pelbagai pihak.
“Ketika tempoh siasatan Azam dan Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang perlu direhatkan sehingga siasatan bebas selesai,” kata kenyataan semala.
Sementara itu, ahli-ahli parlimen PKR bependapat adalah tidak wajar sekiranya siasatan isu pemilikan sejumlah saham oleh Azam dilakukan agensi tersebut.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, ahli-ahli parlimen PKR menggesa siasatan khas perlu dibuat pihak yang bebas sama ada polis, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen.
“SPRM tidak boleh menyiasat SPRM. Perlu ada pihak yang bebas untuk lakukan siasatan. Sama ada PDRM, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau melalui Parlimen itu,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Polis dan Daerah Dang Wangi bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr .Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.- UTUSAN










