Homestay sarang pelacuran - Utusan Malaysia

Homestay sarang pelacuran

Polis memberi amaran kepada tidak membuka premis hiburan dan pelacuran bagi mengelakkan mereka ditahan di bawah POCA.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti pelacuran tidak pernah terkesan walaupun ketika musim pandemik Covid-19.

Malah kegiatan tersebut terus ada penawaran dan permintaan yang konsisten sepanjang masa cuma yang berbeza dari segi modus operandi bagi memastikan `perniagaan’ tersebut sesuai dengan keadaan semasa.

Pada musim Covid-19, sindiket dikesan mengoperasikan rangkaian persundalan mereka dengan memilih hotel dan kediaman disewa melalui perkhidmatan hospitaliti dalam talian.

Bagaimanapun, sindiket tidak memilih satu-satu premis berkenaan terlalu lama dan akan bertukar ke lokasi lain dalam masa 24 jam untuk mengelak curiga orang sekeliling atau dikesan pihak berkuasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam tempoh hampir dua tahun iaitu tahun 2020 hingga November tahun lalu, seramai 10,326 pelacur ditahan di seluruh negara.

Menurut beliau, daripada jumlah tangkapan tersebut ia melibatkan seramai 8,936 wanita warga asing dan 1,390 wanita tempatan.

“Kita mendapati pelacur asing seperti warga Vietnam, Thailand dan Indonesia terus menjadi pelacur paling ramai ditahan dalam tempoh hampir dua tahun ini.

“Ini terbukti apabila seramai 3,654 warga Vietnam ditahan diikuti Thailand (2,295) dan Indonesia (1,324) berjaya ditahan dalam tempoh tersebut,” kata beliau di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor memberitahu, pihaknya mendapati sindiket beroperasi secara dalam talian dengan menawarkan gadis pelayan (GRO) melalui aplikasi WhatsApp, WeChat dan lain-lain.

Menurut beliau, sindiket akan menapis dan memilih pelanggan tertentu sebelum menerima tempahan dan kebanyakan mereka adalah daripada warga tempatan.

“Selepas memilih wanita melalui dalam talian, sindiket akan terus menghantar wanita-wanita tersebut ke lokasi yang disewa.

“Ketika pandemik sindiket dikesan memilih menyewa banglo, hotel atau kediaman dalam tempoh 24 jam sebelum beralih ke premis lain bagi pelanggan seterusnya bagi mengelak dikesan pihak polis,” kata beliau

Jelas Mohamad Noor lagi, sindiket mengupah runner bagi menghantar pelacur ke lokasi yang ditempah dan bapa ayam atau ibu ayam tidak akan menonjolkan diri kecuali menguruskan lokasi serta pergerakan pelacur.

Menurut beliau, selain wanita Asia Tenggara, pihaknya juga mengenal pasti terdapat segelintir pelacur dalam kalangan warga Amerika Syarikat (AS), Rusia, Mongolia dan Perancis `terperangkap’ menjadi pelacur di negara ini bagi mencari ‘wang saku’ ketika pandemik.

“Kadar bayaran pelacur mengikut kelas tertentu hingga boleh mencecah RM3,000 seorang dan kebanyakan mereka berusia antara 19 hingga 40 tahun.

“Pasukan D7 akan menggerakkan lagi operasi bagi mengesan kegiatan sindiket yang sentiasa mengubah modus operandi agar tidak dikesan pihak berkuasa,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×