PETALING JAYA: Bukan sekadar umrah, perjalanan ke luar negara bagi tujuan pelancongan semata-mata perlu dihentikan buat sementara waktu bagi mengelak penularan Covid-19 terutama virus Omicron ke negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar epidemiologi dan biostatistik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, tindakan tersebut selaras dengan usaha kerajaan sebelum ini yang membuat keputusan penangguhan umrah bagi memperlahankan penularan Omicron di negara ini.
Katanya, dengan mengambil kira keadaan semasa, tindakan menangguhkan perjalanan ke negara lain adalah wajar berdasarkan semakan terhadap situasi di negara-negara yang telah dikenal pasti mencatat jangkitan Covid-19 terutama Omicron secara mendadak.
“Saya berpendapat keputusan tersebut wajar dan dalam masa yang sama semakan terhadap kebenaran perjalanan ke negara perlu juga dilakukan berdasarkan risiko semasa.
“Ini perlu untuk mengekang potensi penularan terutama semasa kita berdepan dengan jangkitan akibat Omicron pada masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beberapa negara antaranya United Kingdom (UK), Perancis, Itali dan Portugal mencatatkan peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Omicron, malah Amerika Syarikat setakat ini dilaporkan mencatat peningkatan kes sehingga 1 juta orang.
Di samping itu, Arab Saudi turut mengalami lonjakan kes mendadak berikutan varian Omicron dengan jangkitan lebih dua kali ganda dikesan dalam tempoh seminggu.
Kementerian Kesihatan sebelum ini membuat keputusan menangguhkan perjalanan umrah bermula 8 Januari berikutan situasi di Arab Saudi.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, perjalanan ke luar negara buat sementara waktu perlu dibuat menerusi MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Perjalanan ke luar negara pada masa ini adalah bagi mereka yang ada keperluan sahaja seperti perubatan atau kecemasan. Selain penangguhan bagi tujuan pelancongan, kuarantin wajib di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) juga perlu dibuat.
“Sama ada di hotel atau PKRC, pengembara perlu diwajibkan kuarantin di pusat-pusat (kuarantin) terpilih dengan kos ditanggung oleh mereka sendiri,” ujarnya.
Bagi Pakar kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi jemaah umrah itu perlu diketatkan lagi bagi mengelak penularan varian Omicron.
“Tidak perlu sampai laksanakan penangguhan perjalanan. Cukup sekadar kuarantin di pusat kuarantin bukannya di rumah dan buat ujian saringan Covid-19 sudah memadai,” ujarnya. – UTUSAN










