TAHUN 2021 telah pergi dengan pantas apabila dunia dilengitkan oleh beberapa hal yang tidak terkejar oleh kita. Bahana pandemik Covid-19 masih belum reda. Malah, terkini bersama satu lagi varian baharu bergelar Omicron, terkesan ulung kalinya dari seorang pesakit dari Afrika Selatan. Ia dikatakan lebih mudah menjangkiti khalayak, walaupun gejalanya agak lebih ringan berbanding varian sebelum ini.
Hal ini mengusarkan kerana ia boleh menyebabkan bebanan lebih ke atas ekosistem serta prasarana kesihatan – katil dan ruang, staf, kemudahan rawatan dan sebagainya. Ia tidak ubah seperti tekanan yang dialami pada mula-mula Covid-19 dikenalpasti pada tahun lalu.
Semasa itu tidak terdapat sebarang bentuk suntikan melawan virus tersebut. Kemudahan kesihatan seluruh negara sarat digunakan akibat jangkitan yang tidak terkawal sama sekali baik di seluruh dunia pun.
BERULANG
Kesesakan pusat-pusat kesihatan dan hospital awam sering menyebabkan jutaan insan yang tidak berdosa kehilangan nyawa. Khusus sekali di negara termaju dengan bilangan jangkitan serta kematian antara paling ramai di dunia. Kini kecenderungan yang hampir sama akan berulang semula dengan jangkitan Omicron seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Sedangkan di Malaysia, kes-kes Omicron dari jemaah umrah baru-baru ini membawa berita cemas apabila mengimbas semula apa yang pernah berlaku dengan kumpulan tabligh di sebuah masjid di ibu kota pada awal kemuncak jangkitan ketika itu.
Hal-hal seperti boleh berulang lagi jika masyarakat awam terutama jemaah umrah tidak disantuni dengan rapi sepertimana yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan minggu lalu.
Oleh itu, kita harus lebih bijak dan berwaspada dalam menangani keadaan yang sama di semua peringkat. Mahu atau tidak penggantungan sementara ziarah umrah mulai 8 Januari ini adalah langkah yang sesuai dan tepat pada masanya. Setakat ini keadaan masih terkawal tetapi untuk masa terkehadapan ia belum dapat dijamin.
Begitulah natijahnya dalam mengharungi pandemik sejak tahun 2020 lagi. Pendek kata, langkah berjaga-jaga yang ketat masih diperlukan dalam segala hal selagi rawatan lengkap dan mujarab tidak diperoleh untuk semua dan bukan terhad kepada kelompok tertentu sahaja sepertimana yang sedang berlaku di seantero. Hal ini jika tidak diperbetulkan secepat mungkin akan menjadi antara faktor utama penularan Covid-19 dalam pelbagai bentuk yang ada, termasuk bagi masa-masa mendatang.
BANJIR BERLARUTAN
Jika itu tidak mencukupi, kita berhadapan dengan satu lagi faktor yang luar jangka, yakni banjir yang terburuk dalam jangka masa berdekad-dekad kebelakangan ini. Ia berlarutan sehingga menengelami beberapa kawasan di seluruh negara dan tidak hanya membabitkan daerah-daerah yang lazim umpama di Pantai Timur sahaja.
Kini Selangor dan Kuala Lumpur turut mengalami musibah yang paling teruk sekali. Walhal ini adalah antara kawasan paling maju dan kaya. Tambahan pula, ia dilaporkan antara negeri yang paling kerap mengalami kekurangan air untuk kegunaan para penduduknya.
Namun anehnya kawasan yang sama kian menderita akibat lebihan air membanjiri ratusan rumah serta ribuan keluarga yang terpaksa dipindahkan. Dalam keadaan pandemik yang menuntut
penjagaan kesihatan yang rapi, kepatuhannya sudah tentu lebih merunsingkan lagi.
Tuntutan penjarakan fizikal sukar dijaga apabila khalayak sibuk membersihkan kawasan yang dilanda lumpur. Ataupun menyelamatkan harta benda bernilai daripada dihanyutkan. Pergelutan
seumpama ini akan hanya melumpuhkan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk #Kitajagakita. Ini belum lagi bercerita tentang ancaman keselamatan serta kesihatan lain akibat kekangan makanan, kebersihan apatah lagi kesihatan menyeluruh jasmani, emosi serta mental.
Tidak kurang juga apabila banjir deras meragut harta benda dan nyawa. Malangnya, setakat ini nampaknya belum ada lagi petanda yang cuaca akan pulih sedia kala dalam masa terdekat, malahan
ramalan cuaca menunjukkan sebaliknya.
INSAN BIASA
Jadi apa pilihan penyelesaian yang ada? Teknologi, ekonomi, inovasi ataupun hanya insan biasa sahaja. Jelas teknologi canggih tidak berguna apabila jaringan dan rantaian kuasa elektrik sedia ada terputus dilanda air deras. Masing-masing terpencil dan terpinggir mencari-cari jalan untuk menyelamatkan diri dan keluarga khasnya anak kecil dan warga emas. Bantuan ekonomi tidak pernah mencukupi kerana bekalan keperluan hidup hanya didapati berkala dan tidak dapat disimpan kerana banjir yang tidak putus-putus.
Kisah getir ini bukannya baharu, walaupun tidak sehebat yang dilalui sekarang dimana sahaja. Misalnya, pada pertengahan tahun lalu, negara Jerman sudahpun mengalami kemelut cuaca yang mereka panggil ‘neraka di dunia’.
Begitu dahsyat sekali dalam sejarah Jerman. Begitu juga dengan negara lain yang bersempadan seperti Belgium. Kemudian pada bulan Oktober, AS termasuk New York terpilih dan beberapa buah negeri lain. Di hemisfera selamat, Australia tidak terkecuali termasuk Sydney.
Ringkasan di mana dan siapa – tua, muda ataupun miskin dan kaya tiada bezanya dalam bencana atau pandemik. Semuanya isu kemanusiaan sejagat. Oleh yang demikian, sewajarnya kita kembali kepada fitrah manusia dalam mengenali tujuan sebenarnya kewujudan ini yakni mencari kebenaran dan seimbangan hidup yang sejahtera.
Hidup yang rukun sesama manusia dengan Penciptanya dan persekitaran yang mesra serta saksama adalah mutlak. Perlakuan yang melampaui batas akan menyebabkan kehancuran rukun hidup dan masa hadapan kusut masai. Inilah yang sedang berlaku sekarang dan akan terus berlaku sedemikian selagi manusia tidak sedar batasan apabila memencilkan fitrah.
Maka, 2022 perlu disantuni dengan bijak dengan tidak mengulangi perilaku lama. Pilihan di tangan kita, tepuk dada tanya selera.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










