PETALING JAYA: Semua pihak yang terlibat dengan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 perlu mengambil tanggung jawab sama seperti bekas jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dengan melepaskan jawatan masing-masing.
Kegagalan Harimau Malaya mara ke separuh akhir pada kejohanan itu banyak mendedahkan kepincangan skuad negara, termasuklah faktor kesuntukan menyiapkan pasukan yang mantap di samping projek naturalisasi yang dianggap gagal mencapai matlamat.
Malah, dengan jadual pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, nasib skuad Harimau Malaya masih kabur, malah terumbang-ambing tanpa ada hala tuju jelas selepas peletakan jawatan Cheng Hoe.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemain kebangsaan yang juga penganalisis bola sepak, Serbegeth Singh berkata, pengurus pasukan juga harus meletak jawatan dan tidak lagi diberi tanggungjawab lagi mengurus mana-mana pasukan di negara ini dalam masa akan datang kerana pengurus lebih bertanggungjawab dan tidak boleh diberi peluang kedua.
“Apa guna jika jurulatih meletak jawatan dan pengurus tetap ada, jadi kegagalan ke separuh akhir adalah tanggungjawab bersama.
“Jawatankuasa bahagian yang memilih pemain naturalisasi pun perlu meletak jawatan kerana tidak dapat membuktikan selepas polisi pemilihan pemain naturalisasi yang sekadar tangkap muat. Mereka dilihat tidak menjalankan analisis dan mengkaji pemain-pemain naturalisasi yang dipilih itu,” katanya.
Beliau mengulas peletakan jawatan Cheng Hoe selepas skuad Harimau Malaya tersingkir daripada saingan Piala AFF apabila tewas 1-4 kepada Indonesia dalam saingan peringkat kumpulan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan berkata, pemain yang diturunkan dalam Piala AFF 2020 bukan yang terbaik jika dibandingkan dengan apa yang pernah dihimpunkan oleh Cheng Hoe sebelum ini.
Katanya, ramai tonggak berkualiti tidak beraksi dan beberapa pemain yang digembar-gemburkan memiliki kualiti tetapi tiada minit permainan mencukupi bersama kelab masing-masing menampakkan lagi kepincangan skuad tersebut.
“Kita tak boleh nak salahkan Cheng Hoe 100 peratus, dengan keadaan pasukan beliau semasa itu, barisan pemain semasa Piala AFF 2018, Piala AFF 2020 memang berbeza. Ketiadaan pemain utama dan berkualiti, maka memang terjejas prestasi skuad kita.
“Dalam Piala AFF 2020 dan perlawan persahabatan sebelum ini, kita lihat tiada pemain yang selalunya bermain di tempat itu menggambarkan kepincangan pasukan kebangsan.
“Sebelum ini juga ramai anggap Luqman Hakim Shamsudin seolah-olah ‘super star’ tetapi hanya satu sentuhan apabila bermain bersama Vietnam.
“(Masa) Luqman Hakim belum lagi, dia main di Belgium (KV Kortrijk) ada tak kesebelasan utama? Dia main skuad kedua pun simpanan. Jadi bila main satu minit di Belgium, jadi terpaksa Cheng Hoe pakai Luqman Hakim,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir berkata, kekalahan skuad bola sepak kebangsaan mempunyai rahmat bagi menilai kembali tahap sukan bola sepak negara.
Katanya, banyak perkara terutamanya terutamanya mutu sukan bola sepak tanah air di peringkat bawah perlu dilihat susulan sasaran yang tidak tercapai itu.
“Dari dulu lagi kita sudah bercakap bahawa bola sepak sekarang sangat merudum, maknanya siapa pun yang menjadi jurulatih tidak mampu membawa pasukan Malaysia ke mana-mana.
“Dengan adanya gejala menggunakan lesen jurulatih yang bertauliah untuk kepentingan individu tertentu yang hanya berdasarkan pengalaman bekas pemain, bukan ikuti latihan, jadi ini juga menjadikan mutu bola sepak kita tak meningkat.
“Liga kita pun tak berapa menonjol, hanya berapa kelab yang menonjol manakala yang lain terkait dengan masalah tunggakan gaji dan kewangan.
“Jadi semua perlu bertanggungjawab, tanya diri kita, pasukan dan kelab yang ada ini bagus atau sebaliknya. Jangan salahkan sesiapa, tetapi sama-sama membantu pasukan kebangsaan menjadi lebih baik,” katanya.
Menurut Jamal, pengurusan seharusnya tidak dipersalahkan selepas kegagalan itu.
Katanya, ini kerana mereka hanya merupakan satu organisasi untuk menguruskan pasukan kebangsaan yang pemainnya dipilih daripada kelab-kelab untuk menyediakan pasukan menyertai mana-mana kejohanan.
“Bukan FAM yang melatih pemain itu, sediakan latihan kecergasan, jadi jika (latihan) di Kelab tak betul, macam mana,” soalnya.
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional, Safee Sali berkata, tindakan yang diambil Cheng Hoe sesuatu yang dipuji selepas merasakan bertanggungjawab dengan kegagalan skuad kebangsaan ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2020.
Katanya, ini kerana sukan bola sepak adalah mengenai keputusan dan seseorang harus bertanggungjawab ke atas pasukan sekiranya skuad tidak mempamerkan keputusan dan prestasi yang baik. – UTUSAN










