SETELAH menunggu begitu lama, akhirnya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendapatkan pendaftaran sebagai parti politik daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Menurut Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman, pendaftaran parti itu berkuat kuasa 23 Disember lalu.
Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri membenarkan MUDA didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000. MUDA mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
Kemunculan MUDA bermula 24 Ogos 2020 apabila Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengumumkan beliau berniat untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu bagi golongan belia, mengambil inspirasi daripada parti-parti belia luar negara dan keahliannya pula terbuka kepada golongan belia daripada pelbagai kaum.
Namun setelah berjaya didaftarkan, kini dimaklumkan keahlian parti terbuka kepada semua peringkat usia dan tidak lagi terhad kepada generasi muda semata-mata. Ini satu perubahan strategi yang sangat menarik untuk diamati.
Ironinya, kemunculan satu lagi parti politik baharu dilihat semakin merancakkan senario politik di negara kita khususnya apabila kemungkinan besar banyak memberi fokus kepada golongan belia sebagai pemimpin pelapis dan tidak berasaskan sesuatu kaum tertentu. Menariknya, dilaporkan MUDA setakat kini menerima lebih 60,000 pendaftaran ahli dan dijangka angka tersebut bertambah selepas berita pendaftaran parti.
Maka MUDA kini bakal menjadi tumpuan semua parti politik lain untuk melihat sejauh mana parti baharu ini mampu menarik minat dan penyertaan semua lapisan masyarakat terutama golongan belia daripada pelbagai kaum khususnya kelompok profesional. Sudah tentu jika ramai golongan belia dan profesional menyertai parti ini, ia bakal memberikan cabaran dan persaingan yang hebat kepada parti-parti sedia ada.
Secara logiknya, kita melihat MUDA mempunyai peluang yang cerah untuk menambat hati golongan belia memandangkan parti ini antara lainnya bakal mendukung agenda pemerkasaan golongan belia dalam politik negara di samping komitmen untuk memperbaharui mekanisme politik kepartian.
Malah imej dan perwatakan yang dibawa oleh Syed Saddiq sendiri dilihat terus memperjuangkan prinsip dan amalan politik matang dan adil melalui tadbir urus baik serta proaktif dalam memperjuangkan agenda dan isu yang dekat dengan kehidupan rakyat bakal menjadi kayu ukur penting dalam menarik penyertaan keanggotaan ahli.
Misalnya, kesungguhan Syed Saddiq dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini serta saluran pelbagai bantuan terutamanya peranti kepada anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini juga mendapat pujian banyak pihak.
NADI PENTING
Jadi, kemunculan MUDA tidak boleh dipandang rendah sebaliknya wajar dilihat bakal memberikan persaingan hebat kepada parti lain dan ini adalah satu perkembangan baik dan positif dalam kita menjunjung amalan demokrasi yang sihat. Biarlah MUDA menjadi satu platform dan wadah alternatif kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Dalam konteks sama, kita juga perlu ingat, sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun (Undi18) dan ke atas sudah boleh mengundi dalam PRU15 yang kemungkinan besar akan diadakan pada tahun ini. Ini merupakan satu jumlah cukup besar dan bakal memberikan kesan langsung kepada pola pengundian dan boleh mempengaruhi keputusan di sesuatu kawasan. Ringkasnya, pengundi muda ini bakal menjadi nadi penting yang menentukan pemenang di sesuatu kawasan maka semua parti politik wajar memberi perhatian serius untuk menambat hati orang muda ini bagi menyokong calon dan parti masing-masing.
Golongan muda ini sememangnya sukar diduga tahap literasi, pemahaman dan ideologi politik mereka. Kecenderungan sokongan mereka akan menjadi misteri sekali gus bakal menghantui semua parti politik jika kehendak, keperluan mahupun tuntutan mereka tidak dipedulikan. Oleh itu, semua parti politik perlu ada strategi khusus untuk menangani kelompok ini terutama bagaimana boleh meyakinkan mereka menyokong agenda perjuangan parti masing-masing.
Semestinya kerisauan semua parti adalah bagaimana dengan kedudukan dan status pilihan golongan atas pagar dalam kalangan pengundi muda ini. Kita perlu akui mereka masih muda dan ada yang langsung tidak ambil peduli soal parti mahupun perkembangan politik tanah air kerana lebih fokus kepada soal pendidikan, kerjaya dan kelangsungan hidup.
Oleh itu, parti yang ingin mendapatkan sokongan golongan ini perlu berusaha dari sekarang dengan cara membuktikan parti masing-masing boleh membela nasib dan masa depan kelompok ini dari segala aspek kehidupan.
Salah satu cara terbaik untuk menarik sokongan pengundi muda adalah setiap parti perlu berani menampilkan lebih ramai calon dalam kalangan orang muda pada PRU15.
Tidak salah untuk diketengahkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon muda supaya mereka ini boleh bertindak sebagai penarik sokongan kepada parti sekali gus membolehkan parti juga memahami keperluan generasi muda. Ini juga boleh menjadi faktor penting untuk mendapatkan undi kelompok yang dikategorikan neutral, iaitu tidak suka terikat dengan mana-mana parti sebaliknya akan memilih pemimpin atau parti yang difikirkan terbaik serta mampu membela nasib rakyat selain memenuhi keperluan golongan muda.
Jadi, kemunculan parti baharu seperti MUDA serta 5.8 juta pemilih baharu bakal menarik perhatian semua parti politik sedia ada dan juga pemerhati politik tanah air menjelang PRU15 kerana boleh menjadi antara faktor utama mempengaruhi keputusan pilihan raya sekali gus mengubah landskap politik negara. Semoga perkembangan baharu ini memeriahkan lagi pesta demokrasi di negara kita sekali gus membantu pembentukan sebuah kerajaan yang stabil dan efisien kelak.
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.










