PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan membuat penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah adalah untuk mengekang berlaku mudarat lebih besar di negara ini akibat penularan varian Omicron yang lebih dahsyat.
Jumlah jemaah umrah dikesan positif Covid-19 merekodkan 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada keseluruhan 11,108 jemaah berdasarkan data sehingga 30 Disember lalu iaitu sejak kumpulan pertama berlepas ke tanah suci pada 13 Oktober.
Daripada 64 kes jangkitan melibatkan varian Omicron pula, 32 kes atau 50 peratus daripada jumlah itu dikesan dalam kalangan jemaah umrah, malah terdapat sembilan kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, kerajaan terutama Kementerian Kesihatan sudah menilai dari semua sudut sebelum memutuskan perkara ini dan paling utama adalah melibatkan keselamatan para jemaah semasa berada di Mekah.
Beliau berkata, perkembangan di Arab Saudi sangat membimbangkan bukan sahaja kepada individu, tetapi masyarakat keseluruhannya.
“Kita tidak boleh melihat dari segi sentimen pihak tertentu sahaja, tetapi menilai keseluruhan masyarakat Islam itu yang perlu jaga kepentingan nyawa dan kesihatan pada masa sekarang.
“Jika berterusan dalam keadaan begini (tanpa mengambil apa-apa tindakan), apabila berlaku mudarat lebih besar kita tidak boleh ubah lagi keadaan kerana penyebaran itu tidak boleh dilihat kesannya sekarang,” katanya di sini semalam.
Luqman berkata, tindakan segera dan drastik adalah keutamaan ketika ini dalam mengekang penularan virus supaya negara tidak lagi menerima risiko seperti sebelum ini sehingga mencetuskan gelombang baharu pandemik. – UTUSAN










