Realisasi impian Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

Realisasi impian Sabah, Sarawak

ISU siapakah peribumi Sarawak ditentukan oleh undang-undang negeri Sarawak, bukan lagi isu Perlembagaan Persekutuan. – GAMBAR HIASAN/HARITH AUFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAMIS lalu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan majoriti lebih dua pertiga. Ia mendapat sokongan 49 senator ketika belah bahagian pada bacaan kali kedua dan ketiga.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menyatakan, tiada ahli Dewan itu yang tidak menyokong RUU berkenaan selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan manakala lima senator tidak hadir.

Sebelum itu, pada 14 Disember lalu, RUU ini diluluskan di Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan 200 ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong pada bacaan kali ketiga. Pada bacaan kali kedua, 20 ahli Dewan tidak hadir, manakala pada bacaan kali ketiga, 21 ahli tidak hadir. Tidak ada ahli Dewan yang tidak setuju.

Bercakap kepada media selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelulusan RUU itu adalah satu detik bersejarah kerana ia meletakkan MA63 ke dalam perlembagaan.

Beliau berterima kasih kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana sokongan padu mereka telah merealisasikan harapan dan impian rakyat Sabah dan Sarawak.

MENGUKUHKAN KEDUDUKAN

Junaidi menegaskan, RUU ini dibuat bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia, selain memberi pengiktirafan kepada MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini tiada rujukan dibuat mengenainya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 melibatkan pindaan kepada:
• Perkara 1 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan;
• Tafsiran “the Federation” di bawah Perkara 160 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan;
• Tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Perkara 160 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan; dan
• Perkara 161A Fasal (6) (a) dan Fasal (7) Perlembagaan Persekutuan.

KANDUNGAN RUU

Saya sempat meneliti kandungan RUU ini (dirujuk sebagai D.R.11/2021) minggu lalu yang pendek sahaja (tiga halaman) dan tidak sukar untuk difahami.
Fasal 1 RUU ini menyatakan, tajuk ringkasnya iaitu Akta Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan permulaan kuat kuasa pindaan ini (iaitu pada tarikh yang ditetapkan dalam Warta oleh Yang di-Pertuan Agong).

Fasal 2 RUU ini menggantikan Perkara 1 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan sedia ada dengan satu peruntukan baharu berikut:
“(2) Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:
(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan
(b) Negeri-Negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.”

Dalam versi sedia ada, tarif “Negeri-Negeri Persekutuan” disebutkan dalam satu perenggan sama (iaitu Perkara 1 Fasal 2 yang melambangkan kesamarataan semua 13 negeri dalam negara.

Soalnya, apabila di bawah pindaan RUU sekarang, tafsiran itu disusun semula dengan 11 negeri di Semenanjung diletakkan di bawah perenggan (a), manakala dua negeri lain diletakkan di bawah perenggan (b), apakah ini memberi mesej atau isyarat berbeza?

Fasal 3 RUU ini meminda Perkara 160 sedia ada dengan memasukkan takrif baru “Hari Malaysia”, iaitu 16 September 1963. Selain itu, ia juga menggantikan takrif “Persekutuan” yang sedia (ertinya Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957) dengan tafsiran baharu yang panjang dan lebih terperinci.

Takrif baharu ini menceritakan penubuhan Malaysia dengan kemasukan tiga negeri (Sabah, Sarawak dan Singapura) pada awalnya (9 Julai 1963), kemudian disusuli pemisahan Singapura dari Malaysia (7 Ogos 1965).

Akhir sekali, Fasal 4 dalam RUU ini meminda Perkara 161A sedia ada dengan menggantikan perenggan (a) Fasal (6) dengan satu peruntukan baharu dan memansuhkan Fasal (7).

Perenggan (a) Fasal (6) sedia ada digantikan dengan perenggan (a) baharu yang menyatakan seperti berikut: “Berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu.”

Matlamat pindaan terbaharu ini adalah di Sarawak, ras yang dikira sebagai ras asli bagi Sarawak adalah seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

Dengan lain perkataan, peruntukan baharu ini memudahkan kerajaan Sarawak menentukan siapakah orang dalam negeri itu berstatus peribumi. Sebelum ini, Sarawak terikat dengan Fasal 7 Perkara 161A sedia ada yang menyatakan secara terperinci kaum peribumi Sarawak (seperti Bukitan, Bisayah, Dusun dan sebagainya). Peruntukan ini kini dimansuhkan.

Dengan pindaan kepada perenggan (a) Fasal (6) dan pemansuhan Fasal (7) Perkara 161A perlembagaan, isu siapakah peribumi Sarawak ditentukan oleh undang-undang negeri Sarawak, bukan lagi isu Perlembagaan Persekutuan.

Kesimpulannya, kecuali pindaan kepada Perkara 1 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan (yang menimbulkan tanda tanya), tidak ada apa-apa isu yang kontroversi dalam RUU ini.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×