FENOMENA langit ‘menangis’ sehingga mengakibatkan bergenang air di bumi terus menjadi igauan ngeri buat sebahagian penduduk. Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki bahkan ditenggelami air dan memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Lebih memeritkan, penduduk terjejas turut menanggung kerugian besar akibat kerosakan dan kehilangan harta benda yang sedikit sebanyak menjejaskan kelangsungan hidup mereka. Sudah tentu musibah banjir ini hadir tanpa dipinta dan berharap agar semuanya kembali seperti sediakala.
Namun, di sebalik bencana melanda, di sana pasti tersurat dan tersirat 1,001 hikmah yang perlu dicerna. Apabila ditelusuri perspektif Islam, setidak-tidaknya terdapat dua aspek penyebab berlakunya bencana, iaitu teologi dan ekologi.
Dari aspek teologi, al-Quran menceritakan tentang bencana yang menimpa umat-umat terdahulu akibat kesombongan dan keingkaran mereka terhadap ajaran Tuhan yang disampaikan oleh para nabi. Antaranya peristiwa banjir terbesar sepanjang sejarah manusia pada zaman Nabi Nuh.
Banjir tersebut menenggelamkan semua peradaban manusia pada waktu itu. Dahsyatnya dilukiskan dengan tergenangnya permukaan bumi dan tenggelamnya gunung-ganang berlaku dalam tempoh cukup lama, kesan daripada air yang turun mencurah-curah serta memancar dari dalam bumi.
Sepertimana diabadikan dalam al-Quran: “Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, maka bertemulah air-air itu untuk suatu urusan yang sungguh telah ditetapkan. Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat dari papan dan paku.” (Surah al-Qamar: 11-13)
Semua pada hari itu tenggelam kecuali yang berada di dalam bahtera. Termasuklah yang tenggelam ialah salah seorang anakanda Nabi Nuh yang ingkar dan berkeras tidak mahu mengikuti dakwahnya dan menolak untuk bersama-sama menaiki bahtera.
Hal ini sepertimana diceritakan dalam al-Quran: “Anaknya menjawab: ‘Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!’ Nuh berkata: ‘Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang.’ Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya, maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.” (Surah Hud: 43)
HANCUR
Bencana lain dikisahkan di dalam al-Quran ialah peristiwa banjir besar menimpa kaum Saba’ sehingga mengakibatkan runtuhnya empangan Ma’arib yang digunakan sebagai sumber air dan pengairan tanah pertanian kaum tersebut. Pasca pemerintahan Ratu Balqis, kaum Saba’ kembali ingkar kepada Allah sehingga mereka dihukum dengan banjir besar.
Tanah pertanian mereka yang sebelum itu subur hancur dalam sekelip mata. Bahkan, selepas surutnya banjir, tanah-tanah pertanian tidak dapat lagi ditumbuhi tanaman kecuali tanaman liar tidak berguna.
Kisah mereka ini dipaparkan di dalam al-Quran sepertimana berikut: “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan) ‘Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Athl dan sedikit dari pohon Sidr.” (Surah Saba’: 15-16)
Apabila ditinjau dari aspek ekologi pula, banjir bukanlah dilihat sekadar musibah daripada Allah kepada umat manusia, akan tetapi juga melibatkan ulah atau perilaku manusia itu sendiri dalam mengelola alam sekitar. Sebagai contoh, penebangan pokok dan penarahan bukit secara tidak terkawal, pembangunan di kawasan padat tidak terancang, sistem perparitan dan saliran tidak diselenggara dengan baik dan masalah pencemaran longkang.
Hal ini dibuktikan melalui firman Allah: “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Ruum: 41)
Berdasarkan ayat tersebut, sekiranya aktiviti dan tindakan yang dilaksanakan oleh manusia mengetepikan aspek keseimbangan ekologi serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam, hakikatnya manusia itu sendiri yang mengundang akan hadirnya bencana. Oleh sebab itu, Islam amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan mengelolanya dengan baik supaya dapat mengekalkan kelestarian alam.
Hal ini ditegaskan melalui firman Allah: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya.” (Surah al-A’raaf: 56).
Bahkan sebahagian ulama kontemporari juga menyenaraikan pemeliharaan lingkungan (hifz al-biah) sebagai maqasid syariah keenam.
Tuntasnya, bencana banjir bukan sekadar perlu dihadapi dengan sabar, pada masa sama semua pihak perlu mengambil iktibar di sebalik ujian dan dugaan yang menimpa agar sentiasa memelihara hubungan baik dengan alam mahupun hubungan baik dengan Pencipta alam.
Sebagai orang beriman, perlu diyakini apa jua bencana bukanlah suatu kebetulan, akan tetapi boleh jadi ia suatu teguran agar sentiasa mematuhi ketetapan Tuhan.
Akhirnya, di kala mengharungi tempoh dan detik yang sukar ini, marilah kita sama-sama membidikkan panah-panah doa supaya para mangsa banjir terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan, agensi-agensi penyelamat dipermudahkan urusan dalam menghulurkan bantuan dan bencana banjir ini tidak berlarutan.
Wallahuaklam.
PENULIS ialah calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Pengasas Abu Faqih Centre.










