JOHOR BAHRU: Setelah berjauhan lebih tujuh bulan berikutan penutupan pintu sempadan Malaysia dan Singapura sejak pandemik Covid-19 melanda, sebuah keluarga akhirnya dapat ‘bertemu’ dengan Selat Tebrau yang memisahkan mereka menjadi saksi pertemuan itu.
Menerusi satu hantaran video dalam akaun Facebook milik Mohd. Izwan Sarip, lelaki itu hanya mampu melihat isteri dan anak-anaknya dari satu lokasi di Singapura manakala keluarganya di sini pula berada di sebuah pusat beli-belah di sini berhampiran Tambak Johor.
“Di mana awak, di mana awak,” kata lelaki itu kepada isterinya menerusi satu panggilan video ketika mereka cuba ‘bertemu’ dari lokasi berbeza.
“Saya di sini pakai baju hitam, awak nampak tak? Hai papa!” balas isterinya.

Rakaman video itu juga dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook yang dipercayai mempunyai kaitan persaudaraan dengan lelaki berkenaan.
Hantaran video tersebut yang disaksikan lebih ribuan tontonan menyebabkan ramai netizen sedih dan simpati terhadap situasi berlaku khususnya melibatkan ribuan rakyat Malaysia bekerja di Singapura apabila mereka kini terpaksa meninggalkan keluarga demi mencari sesuap nasi.
Dipercayai kira-kira 100,000 rakyat Malaysia kini tinggal sementara di Singapura ekoran penutupan pintu sempadan antara kedua-dua negara sejak Mac lalu dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak pulang untuk bertemu dengan keluarga disayangi.
Meskipun Kerajaan Malaysia dan Singapura memperkenalkan inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), namun mereka perlu melalui prosedur ketat termasuk ujian saringan dan kuarantin selama 14 hari. – UTUSAN










