Berebut ‘tarikh cantik’ PRU15 - Utusan Malaysia

Berebut ‘tarikh cantik’ PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA agaknya tarikh terbaik untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15)?
Februari 2022? Atau selepas 31 Julai 2022 seperti mana dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pakatan pembangkang diketuai Datuk Anwar Ibrahim?
Jika selepas Julai, bila pula? Adakah melepasi 2023? Kalau begitu kisahnya, biarkanlah kerajaan sedia ada mencukupkan penggal memerintah lima tahun berakhir (16 Julai 2023 dari penggal pertama Parlimen ke-14 bersidang).
Atau adakah mahu mendulukan pemilihan UMNO sebelum memasuki PRU15 kerana tonggak Barisan Nasional itu dikatakan memerlukan “pemimpin yang perlu melepasi piawaian”, sebelum pergi meraih mandat rakyat.
Ada pihak mengamati tarikh PRU15 begini:
“Jangan ulangi kesilapan lepas. Pernah dicadangkan kepada PM (Najib) supaya PRU14 dilangsungkan pada 2017 antara Mac hingga Jun.
“PM bawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, mereka tolak kerana mahukan sempadan baharu untuk menang dua pertiga kononnya. Penangguhan lebih setahun, IMDB dan ‘derma Arab’ jadi isu besar. Kerajaan tak boleh jawab. Akhirnya, 9 Mei 2018, lingkup.”
Mungkinkah keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 malam tadi akan mempercepatkan lagi tarikh PRU ini? Dengan penangan ekonomi suram akibat pandemik Covid-19 untuk Malaysia menyahut cabaran ambang tahun baharu nanti, apakah majoriti tipis terus menjadi percaturan orang politik, sekali gus merencatkan keyakinan pelabur? Maka, adakah haribulan dalam Februari 2022 itu satu-satunya masa terbaik untuk negara menamatkan kemelut ‘majoriti’ berterusan ini, lantas membuka ruang mandat baharu?
Menyusut
Sesuatu yang parti-parti politik Melayu bertelagah hari ini patut tahu adalah undi Melayu berdikit-dikit menyusut. Ada mengatakan serentak itu telah mengangkat pengundi Cina sebagai faktor penentu dalam PRU15.
Ia susulan kaum Melayu terbelah bahagi sokongannya kepada banyak parti kecil. Enam atau tujuh parti Melayu barangkali, hinggakan lenyap parti teras berbanding DAP. Maka pengundi Cina akan menentukan siapa yang bakal membentuk kerajaan baharu, benarkah?
Walaupun pertukaran parti pemerintah tidak berlaku PRU Mei 2013 tetapi sudah terbukti akibat ‘undi Melayu berdikit-dikit menyusut’ ekoran pecahan banyak parti, lantas tidak muncul lagi parti dominan Melayu hari ini.
Jika kita berpijak di bumi nyata, sebenarnya bukan salah siapa pun. Bukan pengundi Cina atau ‘hantu mana’. Melihat bilangan pengundi Cina di Malaysia, adalah mustahil untuk mereka menjadi faktor penentu dalam PRU15.
Biar kita teliti dengan melihat kepada nombor dan bilangan mengapa pengundi Cina tidak boleh menjadi faktor penentu dalam PRU nanti.
Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Sekalipun DAP memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia hanya akan memenuhi 15% kerusi parlimen.
Iaitu 55 kerusi Parlimen di mana pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi. Walaupun Pakatan Harapan (PH) mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan antara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kerusi ini.
Secara keseluruhannya ini bererti hanya ada 89 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi. Andai kata PH memenangi kesemua kerusi parlimen ini, ia hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi parlimen. Sekali gus yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen.

Kuasa PM
Ternyata kita sukar mencongak mana satu bulan atau tahun terbaik untuk ruang PRU15 ini kerana segalanya terserah kepada Perdana Menteri yang mempunyai kuasa membubarkan parlimen.
Meskipun ada cakap-cakap antara Februari hingga sebelum 3 April 2022 umat Islam menyambut Ramadan adalah ‘masa cukup cantik’ untuk BN menang selesa, namun ‘perkiraan politik’ menjadi percaturan. Walaupun keputusan PRN Melaka 20 November lalu termasuk PRN Sarawak malam tadi konon memberi impak berentet kepada BN, tetapi jika Yang di-Pertuan Agong tidak dipersembahkan tarikh PRU nya pun tak ke mana jua.
Apa lagi saingan UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sedang membuat post mortem kekalahan, malah mengasah lagi taringnya.
Dan tentu sekali kekangan PRU awal bertitik tolak dari syarat ditetapkan pembangkang yang akur menandatangani MoU berkenaan – hanya setelah mendapat jaminan kerajaan tidak membuat pilihan raya mengejut sebelum 31 Julai 2022.
Sekali gus adakah membolehkan PH mempunyai masa setahun setengah lagi (2022++) lagi untuk memperbaiki jentera berdepan ibu segala pilihan raya? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×