BAGAN DATUK: UMNO khuatir kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan berulang jika PRU-15 lewat diadakan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika tarikh PRU-15 dilewatkan sehingga akhir penggal Mei 2023, dibimbangi lebih banyak isu baharu akan timbul yang tidak memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.
Beliau bagaimanapun menegaskan parti itu tidak menuntut PRU-15 diadakan serta-merta sebaliknya mahu ia diadakan sebelum pemilihan UMNO yang wajib diadakan sebelum 29 Disember tahun depan.
Pada masa sama, tegasnya lagi, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bersama Pakatan Harapan (PH) agar PRU-15 diadakan hanya selepas Julai tahun depan, harus dihormati.
Ketika ini, jelasnya, sentimen sama turut diluahkan oleh pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di peringkat akar umbi apabila usul 176 bahagian Pemuda dan 171 bahagian Puteri daripada keseluruhan 191 Bahagian seluruh negara, mahu PRU-15 diadakan sebelum pemilihan parti.
“Sekarang, kita tunggu usul daripada Pergerakan Wanita dan Bahagian yang sedang bersidang.
“Di peringkat rakyat, usul itu datang daripada Cawangan parti, Cawangan itu adalah datang daripada rakyat walaupun tidak semua rakyat jadi ahli UMNO, tapi parti berpandangan pendirian rakyat itu harus dihormati,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Sayap Bahagian UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan pendirian muktamad mengenai perkara itu hanya akan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan bulan depan sebagai perlembagaan tertinggi parti itu, jika ada usul dibuat mengenainya.
Justeru, beliau berharap segala perbezaan pendapat mengenai isu itu dapat diselesaikan apabila PAU membuat ketetapan dan tidak ada pihak dalam parti yang membuat penentangan terhadap keputusan itu sehingga memecah belahkan parti.
Mengulas lanjut peluang BN dan UMNO pada PRU-15, beliau berpendapat mana-mana kerajaan biasanya akan mengadakan PRU ketika rakyat berada dalam keadaan ‘feel good factor’.
“Pada PRU-14, ramai berpandangan ia patut dilakukan selepas selesai temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) pada Ogos 2017 kerana Malaysia memenangi banyak pingat emas.
“Tetapi, ia diadakan lama selepas itu (Mei 2018) atas permintaan sebuah negeri bagi menyelesaikan isu persempadanan kawasan pilihan raya dan seorang Ahli Parlimen bagi menyelesaikan isu pengundi awal,” jelasnya.
Menurutnya, apabila PRU diadakan agak lewat, maka banyak isu ‘diberi percuma’ kepada pembangkang untuk melakukan serangan bertubi-tubi dan diulang sepanjang masa sehingga rakyat terpengaruh dan hilang kepercayaan kepada kerajaan BN ketika itu. – UTUSAN ONLINE











