PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menggunakan strategi berbeza bagi setiap Pilihan Raya Umum (PRU), sesuai dengan keperluan semasa ketika itu.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini berikutan pilihan raya yang berbeza memerlukan strataegi dan pendekatan berbeza.
“Misalnya PRU 2018, latar belakangnya adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang tinggi.
“Tetapi, latar belakang PRU akan datang mungkin pandemik Covid-19, kesan kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
“Oleh kerana PRU berbeza, PH sebagai sebuah pakatan politik akan sentiasa melakukan strategi dan pendekatan politik yang sesuai dengan keperluan semasa,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, media melaporkan, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, PH dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu perlu bersatu menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang.
Beliau berkata, pihaknya percaya PH memerlukan “faktor wow” untuk memenangi PRU15.
“Kena ada satu faktor wow, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.
“Jadi saya melihat faktor wow itu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula,” katanya
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pihaknya akan menghormati pandangan Idris dan beliau bebas untuk memberikan pendapat.
“Saya menghormati, tetapi pimpinan PH akan sentiasa mengamalkan strategi politik yang anjal dan fleksibel sesuai dengan keadaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan cadangan Idris tersebut satu cadangan yang baik.
“Tetapi jika mahu campurkan air laut dengan air tawar untuk membela ikan, ia bukan satu tindakan bijak
“Sebagai kawan lama, selepas saya menjadi Menteri Besar Perak, saya cuti selama lapan bulan, ketika itu saya belajar mengaji, saya belajar betulkan bacaan dalam bacaan sembahyang. Sudah tentu Idris banyak masa sekarang ini, elok buat benda tu,” katanya.- UTUSAN











