PETALING JAYA: Sanggup bayar sehingga RM3,000 malah bergadai nyawa merempuh ombak besar di laut yang bergelora ketika musim tengkujuh untuk memasuki negara ini secara haram.
Bagaimanapun, malang nasib kira-kira 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia apabila bot dinaiki mereka karam dipukul ombak sebelum mendarat di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor, kelmarin.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, setiap penumpang dipercayai dikenakan caj RM500 hingga RM3,000 yang dibayar kepada ejen sindiket sebagai upah untuk menguruskan kemasukan.

Katanya, modus operandi sindiket dengan menggunakan bot pancung yang telah diubah suai bagi melalui laluan laut untuk menyeludup masuk dan keluar ke negara ini.
“Kita telah mengenal pasti ketua dan ahli sindiket yang terlibat. Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, siasatan mendapati kebanyakan PATI dalam bot tersebut dipercayai kali pertama datang ke negara ini.
Ujarnya, sehingga kini jumlah mangsa yang terlibat dianggarkan 50 hingga 60 orang.
“Hasil soal siasat mereka yang selamat mendakwa tidak mengenali sindiket atau dalang menguruskan kemasukan.
“Mereka hanya berurusan dengan orang tengah malah tekong juga disyaki melarikan diri dalam kejadian itu,” ujar beliau.
Terdahulu, tujuh lagi mayat terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita ditemukan berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi hingga 10 pagi semalam.
Penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa ditemukan setakat pukul 4 petang ini adalah 32 orang iaitu 14 mangsa selamat, dan 18 mangsa meninggal dunia.
Kelmarin, media melaporkan sebuah bot membawa kira-kira 50 penumpang warga Indonesia karam selepas dipukul ombak akibat cuaca buruk berhampiran Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Dalam pada itu, satu sumber memberitahu, bot tersebut dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Batam, Indonesia untuk diseludup masuk.
Kata sumber, bot itu sepatutnya mendaratkan kesemua penumpang di Kampung Tengah namun, kehadiran mereka dipercayai disedari pihak berkuasa.
“Tekong mengubah laluan untuk mendarat di Tanjung Balau sebelum karam,” katanya. – UTUSAN










