Gagasan MN tidak harus 'dibunuh' demi Bersatu - Utusan Malaysia

Gagasan MN tidak harus ‘dibunuh’ demi Bersatu

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Gagasan Muafakat Nasional (MN) yang didukung oleh UMNO dan Pas selama ini tidak seharusnya ‘dibunuh’ semata-mata demi kelangsungan hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, langkah itu adalah sesuatu yang tidak wajar setelah kewujudan MN sebelum ini disambut dengan penuh pengharapan oleh umat Melayu dan Islam di negara ini.

Sebaliknya kata beliau, MN sewajarnya diangkat dengan idealisme lebih besar sebagai hala tuju baharu untuk melihat Malaysia kembali berjaya dalam pelbagai aspek pada masa akan datang.

“Oleh itu Pas tidak sepatutnya menjadikan MN mangsa demi kelangsungan hidup Bersatu dengan menyalahkan UMNO.

“Penyatuan MN telah disambut dengan penuh pengharapan umat. Jangan kita bunuh harapan itu hanya kerana kepentingan survival kelompok kecil yang tiada prinsip,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari kelmarin bahawa UMNO dan Bersatu perlu belajar untuk saling menerima bagi memastikan permuafakatan ummah dapat dijayakan.

Sementara itu Syed Johan turut mengingatkan Ahmad Fadhli bahawa penolakan kerjasama dengan Bersatu telah dibuat oleh lebih dua per tiga bahagian UMNO serta diabsahkan melalui Perhimpunan Agung UMNO 2020, sebelum dimuktamadkan pembuat dasar tertinggi parti tersebut iaitu Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Menurutnya, asas penubuhan Bersatu sendiri adalah untuk menggantikan UMNO melalui muslihat ‘scheme of things‘ ciptaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keadaan itu sama sekali menyebabkan UMNO tidak boleh menjalin kerjasama dengan parti tersebut yang dianggap penuh muslihat.

“Justeru Fadhli diharap menghormati pendirian parti ini dan tidak perlulah Pas cuba-cuba mengajar UMNO. Sebaiknya Fadhli juga tidak perlu berhikayat, bertindak seperti ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN) namun pada akhirnya, ternampak seperti budak suruhan Bersatu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Pemuda UMNO tetap reda dengan apa jua keputusan Pas dan menghormati mereka selaku rakan dalam gagasan MN.

“Namun jika Pas menolak untuk bersama MN hanya kerana Bersatu, maka biarlah kami terus komited membawa agenda ini demi ummah dan rakyat Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×