DI Ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, Kuching kelmarin, raut wajah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg terserlah cukup yakin dan teruja.
Kesemua 82 calon GPS diberi watikah, tiga hari sebelum hari penamaan calon esok.
Nampaknya tiada kompromi Abang Jo terhadap terhadap pesaingnya khususnya buat Parti Sarawak Bersatu (PSB). Tidak seperti pemimpin PBB sebelum ini menggunakan calon langsung (direct candidate) untuk membawa cabaran Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) 2016, Abang Jo tidak gusar.
“Saya yakin GPS boleh menang termasuk melalui muka baharu yang ditampilkan,” tegasnya kepada Utusan Malaysia selepas majlis serah watikah itu.
PSB yang ditubuhkan pada 2014 adalah pecahan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) – salah sebuah komponen BN waktu itu – akibat perbalahan antara pemimpin parti.
Seminggu yang lepas, Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh percaya mampu menyaingi GPS untuk mentadbir Sarawak dalam pengundian 18 Disember ini.
Pada PRN11, BN Sarawak dilihat tidak mempunyai pilihan selain mengambil keputusan menggunakan calon langsung BN bagi mengisi beberapa kerusi panas.
Tindakan itu dibuat kerana mahu perdamaian antara komponen BN yang bersengketa sejak dua tahun lalu.
Calon langsung BN itu bagaimanapun tidak dibenar menggunakan simbol parti lain kecuali lambang dacing. Calon langsung yang menang akan diberi peluang untuk memilih mana-mana parti BN, mengikut kehendak masing–masing.
Daripada 82 calon BN pada PRN11, sebanyak 40 dari PBB, 13 dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), 11 dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), 5 dari Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan baki 13 calon adalah calon langsung BN.
Daripada 13 calon langsung, tujuh merupakan bekas ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP), 3 bekas ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan 3 bekas ahli PBB.
Hasil kaedah calon langsung itu, BN menang besar 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN 7 Mei 2016 itu. – UTUSAN ONLINE










