Mukadimah
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang melabuhkan tirai baru-baru ini, mengundang beberapa teka-teki. Pertama, ketika pilihan raya itu, berlaku ‘perang mulut’ antara sayap pemuda UMNO dengan Pas, sehingga mengundang persoalan apakah ia isyarat hubungan kedua-dua parti utama Melayu-Islam ini akan kembali dingin?
Pada masa sama, kemenangan besar UMNO secara solo di negeri bersejarah itu juga mendorong rakyat bertanya, apakah itu isyarat bahawa gabungan UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional (MN) akan bernoktah? Sejauh mana kemungkinan UMNO akan terus tampil solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15? Bolehkah kemenangan Barisan Nasional (BN) di Melaka diterjemah di persada nasional pula, tanpa sokongan parti-parti Melayu-Islam lain?
Mendepani persoalan penting membabitkan dua parti utama Melayu-Islam ini, wartawan Mingguan Malaysia FAHMI FAIZ mendengar penjelasan dan kupasan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), AHMAD FADHLI SHAARI.
Dalam wawancara sama, beliau turut menerangkan soal pelantikan kembali beberapa tokoh pemimpin Pas yang pro MN ke dalam pucuk pimpinan parti itu. Beliau turut menyentuh polisi kerajaan Pas negeri Kedah berhubung lesen judi yang hangat diperdebatkan sejak kebelakangan ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam PRN Melaka memalapkan jalan perpaduan ummah yang dirintis bersama Pas?
AHMAD FADHLI: Saya kira masih ada lagi sinar penyatuan ummah, dan kita tidak boleh berputus asa. Saya sentiasa optimis semua pihak ini insya-Allah akan kembali semula ke meja rundingan apabila menyedari bahawa kita ini berada dalam satu ikatan sahaja. Kerana apa jua yang berlaku, harus fikirkan kesan terhadap Melayu-Islam itu sendiri, dan ini boleh disaksikan melihat kepada senario 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah. Dasar-dasar mereka, kita boleh saksikan memberi ancaman terhadap Islam dan juga Melayu.
Di mana kedudukan Pas dalam Perikatan Nasional, adakah tindakan menjadi jururunding UMNO-Bersatu ini didorong faktor mahu menjadi pemain utama politik Melayu-Islam?
Pas tidak ingin menjadi pemain utama dalam koalisi ini, tidak perlu menjadi pemain utama. Cukup sekadar menjadi jambatan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua ini. Agar dapat duduk semeja dan berbincang dengan cara baik, macam mana mahu pergi ke depan.
Ada suara nakal dakwa, Pas ‘main dua kolam’ sebab mahu kekal selesa dengan jawatan dalam kerajaan?
Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah, demi memastikan PH tidak berkuasa kembali. Kami boleh main banyak kolam, tiada masalah. Yang penting, semua ini akhirnya mengalir ke lautan, menjadi lautan. Tak timbul isu dua kolam pun, dan tiada isu selesa dengan jawatan pun sebenarnya. Yang selesa dengan jawatan ini, siapa? Pas hanya ada tiga menteri saja dalam kerajaan hari ini. Siapa yang ada jawatan banyak sekarang ini?
Jadi kalau hendak soalkan kami mahukan jawatan, ia tak timbul. Zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sama-sama ada 18 kerusi Parlimen, GPS ada menteri kanan, Pas tiada menteri kanan pun. Adakah kami boikot? Tidak. Cuma saya mahu ingatkan, kalau mahu bincang soal jawatan, maka jangan tuju kepada Pas. Ini bukan soal jawatan, tapi soal penyatuan dan survival ummah.
IBARAT PISAU DI LEHER
Secara hipotesis, jika UMNO terlalu keras dengan Bersatu dan pembangkang menangguk di air keruh menyerap kembali Bersatu untuk memenangkan semula PH dalam PRU15, apa kesannya?
Itulah realitinya, sebab itulah kita harus menjaga kawan-kawan kita dalam Bersatu, dan Bersatu kena menjaga kawan kita dalam UMNO. Kalau sejarah PRU14 yang mana PH dan DAP berkuasa diubah balik, kita harus ingat DAP dan PKR sekarang sudah cukup sedar bahawa beberapa langkah mereka ketika mentadbir negara 22 bulan itu, telah mengakibatkan mereka dipandang serong rakyat. Jadi sudah pasti mereka akan mengambil itu sebagai pengajaran, tak mungkin mereka akan mengulangi sejarah itu. Jadi memberikan semula mereka peluang untuk membetulkan kembali persepsi di mata rakyat, umpama meletakkan pisau di leher kita sendiri. Dan saya fikir, seolah-olah kita tidak menghargai peluang kedua yang diberikan Allah SWT.
Boleh ulas lanjut?
Kita telah kalah dalam PRU14, itu satu fakta yang kita kena terima. Allah SWT telah mentakdirkan agar menggerakkan hati sahabat-sahabat kita dalam Bersatu untuk menerima tangan kita, dan membentuk kerajaan. Ini satu benda yang tak pernah berlaku dalam dunia demokrasi di Malaysia. Perubahan sebuah kerajaan Persekutuan berlaku dengan cara peralihan sokongan Ahli Parlimen, itu tak pernah berlaku di Malaysia. Jadi kenapa kita tak menghargainya, dan seolah-olah kita membangkitkan perkara-perkara yang saya kira, ini bukan masanya untuk kita bangkitkan.
Reaksi terhadap pihak yang melihat Pas sekarang terlalu pro Bersatu?
Ya lah, kalau kita sebut perkara-perkara seperti ini, maka orang akan kata Pas ini cenderung kepada Bersatu, Pas nak jilat Bersatu, Pas itu dan ini. Sedangkan kalau kita tinggalkan terus MN sekalipun, dan berada dengan Bersatu sekalipun, juga ia adalah satu langkah bahaya walaupun ia mungkin disenangi oleh beberapa pihak dalam Bersatu. Sebab itu, saya kira kedua-dua perlu berlapang dada dan berunding semeja. Kadang-kadang semua ini akibat tak bertegur sapa, tak senyum, kecil hati dan sebagainya. Sebenarnya itu saja, namun ia membawa kepada pertembungan.
ISYARAT SEBALIK PERANG MULUT
Apa isyarat di sebalik tindakan Ketua Pemuda UMNO yang dilihat sering mengkritik Pas? Adakah petanda hubungan Pas-UMNO akan kembali dingin?
Saya ada ramai sahabat dalam Pemuda UMNO. Saya yakin tidak semua yang bersikap seperti yang ditunjukkan oleh Ketua Pemuda UMNO. Saya juga agak kesal dengan apa yang berlaku, sepatutnya beliau lebih kepada kenyataan untuk membina jambatan, memperkukuhkan MN, bukan dengan cara mendedahkan rahsia-rahsia ataupun perbincangan-perbincangan yang mengguris hati rakan. Saya hanya respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan. Jadi apabila berlaku serangan demi serangan, maka menjadi tanggungjawab Pemuda Pas memberikan pencerahan, bukan bererti untuk menyerang balas. Namun saya masih optimis dalam Pemuda UMNO masih ramai tokoh yang lebih objektif dan jujur dalam membina hubungan Pas dengan UMNO.
Kenapa membalas kenyataan Ketua Pemuda UMNO secara terbuka, dan tidak menghubungi beliau berbincang secara tertutup untuk elak masyarakat bersangka buruk, seolah-olah sayap pemuda kedua-dua parti sudah retak dan sering tikam lidah?
Isunya adalah kerana kenyataan yang dikeluarkan terhadap saya secara peribadi, ataupun terhadap Pemuda Pas itu, dibuat secara terbuka. Maka pencerahan juga perlu dibuat secara terbuka untuk menjernihkan dulu pandangan umum. Soal hendak jumpa dan sebagainya, kita boleh jumpa tiada masalah. Tapi pada akhirnya, hubungan antara Pas dengan UMNO dalam MN ini bergantung kepada rundingan antara kedua-dua parti.
PERLU JUJUR DENGAN ANGKA
Sewaktu PRN Melaka, adakah Pas selesa bertembung dengan UMNO?
Saya mahu sebutkan, Pas tidak selesa dengan situasi sekarang apabila terpaksa bersama dengan PN dan terpaksa menentang UMNO dalam PRN Melaka. Tapi apa lagi pilihan yang kita ada? Adakah kita mahu mengetepikan Bersatu yang jelas telah berjasa sehingga menjatuhkan PH, dalam keadaan UMNO begitu tekal menolak Bersatu. Kalau kita buat langkah demikian, saya yakin Bersatu akan semakin jauh dan tidak mustahil Bersatu akan bersama PH kembali. Berbanding dengan kalau Pas bersama dengan Bersatu pada hari ini dalam PN.
Boleh ulas lanjut?
UMNO saya fikir agak sukar untuk berada sejajar dengan PH dan DAP. Jadi antara kedua-dua ini, dalam pendekatan politik sebegini, Pas memilih untuk berada dalam PN terlebih dahulu, setidak-tidaknya sebagai satu zon penampan untuk kita berunding bagi menghadapi PRU15 nanti. Itulah pertarungan sebenar.
Bila BN kembali kuat di Melaka, apa kesan terhadap MN dan PN?
Saya kira, UMNO perlu jujur. Kalau UMNO kata mereka telah kembali kuat, BN telah kembali kuat, mereka perlu jujur dengan angka dan juga peratus pengundi dalam PRN Melaka. Kalau angka itu diterjemah di peringkat nasional, BN masih belum kuat untuk mentadbir negara. Kena lihat kepada bagaimana dalam situasi peratus pengundi semakin turun, 60 peratus saja mengundi, maka kenapa undi Pas bertambah mendadak? Dan kenapa undi UMNO turun dengan signifikan?
Tapi segelintir berpandangan, ia diakibatkan jumlah peratusan pengundi yang rendah?
UMNO boleh buat alasan, menurunnya undi ini kerana peratusan mengundi yang rendah, tapi Timbalan Presiden UMNO sendiri mengakui 60 peratus pengundi yang keluar itulah yang telah menyelamatkan UMNO. Kalau pengundi ini sampai 70 peratus, UMNO tak selamat, dan misalnya kalau 75 peratus yang keluar mengundi, UMNO dalam keadaan bahaya.
Siapa boleh bagi jaminan, dalam PRU15 akan datang, bilangan pengundi tak boleh capai 75 peratus? Jadi UMNO perlu jujur dengan angka. Kalau mereka kata apa yang berlaku di Melaka ini adalah satu tanda aras mereka sudah cukup kuat, silakan. Tapi saya fikir itu tidak jujur dengan angka.
PRU15
Dalam pada PRU15 yang dengarnya semakin hampir, bersediakah Pas andai terpaksa bertembung tiga penjuru dengan UMNO dan pembangkang?
Ia bergantung kepada bagaimana kita berunding. Kalau kita gagal berunding dengan baik, tiga penjuru akan berlaku dalam PRU15 dan situasi Parlimen tergantung akan berlaku kembali. Sebab undi bukan Melayu solid bersama PH, itu sudah pasti. Di Melaka, tiada swing pun undi bukan Melayu kepada PH, di Kota Laksamana, mereka menang majoriti 11,000.
Jika diandaikan semua bukan Melayu akan bersama PH dalam PRU15, itu sudah pasti. Dan peratusan pengundi, Pas ada undi hard core tersendiri. Kalau kadar peratusan undi kita ambil kira dalam PRU15 nanti, dijangka berlaku Parlimen tergantung kalau berlaku pertembungan tiga penjuru yang menjejaskan undi Melayu-Islam.
Macam mana unjuran dibuat bilik perang Pas, bolehkah PH berkuasa kembali dalam PRU akan datang kalau undi Melayu berpecah?
Boleh jadi, kalau ambil kira rakyat yang muak dengan senario hari ini. Kita juga ambil kira faktor kemungkinan pengundi Melayu ambil keputusan tidak keluar mengundi, maka akan biarkan supaya kerusi-kerusi ini diambil kembali PH. Ya, kalau berlaku tiga penjuru dalam PRU-15 nanti, kita ada buat analisa, PH mungkin berkuasa kembali walaupun sekadar majoriti mudah.
BUKAN MN SAJA YANG TUMBANGKAN PH
Komen terhadap pelantikan tiga tokoh Pas pro MN yang dilantik semula ke pucuk pimpinan, sejurus PRN Melaka? Apa isyarat di sebaliknya?
Saya melihat kita tiada masalah dengan ketiga-tiga mereka ini, termasuk Mohd. Zuhdi Marzuki, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Khairuddin Aman Razali. Mereka ini lebih dilihat cenderung kepada MN, tapi itu adalah label yang diletakkan oleh orang luar.
Sebenarnya, semua pemimpin Pas cenderung kepada MN, saya pun cenderung kepada MN, cuma soal pendekatan saja. Bahkan Presiden Pas sendiri cenderung kepada MN, jadi ini soal pendekatan saja. Cuma kadang-kadang, ada sedikit sebanyak perbezaan pendekatan. Kalaulah mereka ini dilihat memberi ancaman, sudah pastilah mereka tidak akan dilantik semula, dan akan ditolak oleh perwakilan. Tapi tidak, bagi Presiden Pas, pandangan mereka ini menjadi aset untuk memperkasa gagasan Melayu-Islam.
Macam mana pandangan terhadap kenyataan terbaru Nik Abduh Nik Abdul Aziz, menyatakan MN perjanjian politik terbaik bagi Melayu-Islam?
Saya setuju dengan apa yang disebut beliau. Sebab MN merupakan satu perjanjian politik yang terbaik pada masa itu, kemudian diikuti pula dengan perjanjian-perjanjian politik yang lain selepas daripada itu. Soal MN itu terbaik dan tiada lagi perjanjian lebih baik, itu soal kedua. Sebab MN pada masa itu dibina untuk membina kembali naratif Melayu-Islam sewaktu PH memerintah, itulah yang terbaik. Selepas itu pula, kita menjadi kerajaan dan dibentuk PN, maka tak mungkin PN ini perjanjian yang tidak baik. Kalau PN ini perjanjian yang tak baik, buat apa kita berada di dalamnya, dan kalau ia tak baik, maka tak tumbanglah PH. Yang menumbangkan PH bukan MN semata-mata, tapi perjanjian dengan Bersatu yang kita namakan kemudiannya sebagai Perikatan Nasional.
JUDI
Reaksi Pemuda Pas susulan kenyataan Menteri Agama, Idris Ahmad terhadap wartawan yang berbahasa Inggeris sewaktu bersoal jawab isu judi di Kedah, sehingga ramai mendakwa pemimpin Pas mudah sentap?
Soalan Menteri Agama itu soalan mudah, sepatutnya boleh dijawab, dan ia bukanlah satu bentuk serangan. Sebaliknya ia supaya semua pihak boleh merasai mengapa Pas melaksanakan polisi tersebut (iaitu tidak memberi kelulusan lesen perjudian di Kedah). Jadi saya fikir ia langsung tiada masalah, bahkan kalau saya berada di tempat menteri, saya bukan sekadar akan tanya dua kali, tapi berkali-kali supaya wartawan itu menjawab soalan tersebut.
Boleh perjelaskan reaksi DPPM terhadap tindakan kerajaan negeri Kedah berhubung isu sekatan lesen judi?
DPPM menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan negeri Kedah, dan ia bertepatan dengan nilai murni masyarakat Malaysia. Kerana kita tahu judi itu tidak dibenarkan oleh semua agama. Ada orang kata, tindakan Kedah ini melanggar prinsip Rukun Negara. Sedangkan prinsip pertama adalah percaya kepada Tuhan. Saya mahu tanya, agama mana yang membenarkan judi dalam masyarakat?
PRN SARAWAK
Betulkah Pas mahu bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sarawak kali ini?
Soal 11 kerusi DUN di Sarawak ini hanyalah kehendak akar umbi, iaitu Pas di Sarawak. Tapi keputusan akhir nanti akan ditentukan Pas Pusat setelah berunding dengan GPS nanti.
Sudah adakah rundingan dibuat?
Sudah tentulah Pas akan sama-sama berunding dengan GPS, sebab kami sama-sama dalam kerajaan Persekutuan. Saya dimaklumkan, rundingan sedang dibuat, jadi kita tunggu keputusannya. Saya pasti, apa juga keputusan dibuat oleh kepimpinan Pusat, Pas di Sarawak tiada masalah untuk patuh. Cuma, kehendaknya untuk bertanding, yang kita raikan. Tapi pada akhirnya, kesepakatan dan perpaduan itulah lebih penting. – Mingguan Malaysia










