PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) melanjutkan tempoh penukaran status akaun kanak-kanak kepada dewasa dari 1 Disember 2021 kepada 1 Mei 2022.
Pengurus Besar Digitalisasi Perniagaan Menanggung Tugas Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abd. Wahab berkata, TH amat peka dengan maklum balas pendeposit yang masih memerlukan masa untuk penukaran status akaun berkenaan.
Beliau berkata, pelanjutan tempoh itu bagi memberi peluang kepada para pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas dan penjaga yang tidak berkesempatan sebelum ini, untuk melakukan proses tersebut di cawangan-cawangan TH berdekatan.
“Pertukaran akaun kanak-kanak ke akaun dewasa perlu dilaksanakan seperti yang termaktub dalam terma dan syarat pembukaan akaun TH, di mana penjaga hanya boleh mentadbir akaun kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun sahaja.
“Penjaga hendaklah menukar akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa apabila kanak-kanak tersebut mencapai umur 18 tahun.
“Langkah penukaran ini diambil bagi memastikan semua akaun pendeposit yang mencapai 18 tahun diuruskan oleh pendeposit itu sendiri dan rekod maklumat serta biometrik pendeposit berumur 18 tahun tersebut dikemaskini,” katanya dalam kenyataan.
Mohamed Ameen berkata, TH akan melaksanakan proses pembekuan transaksi pengeluaran sekiranya pendeposit gagal menukar status akaun pada 1 Mei 2022.
“Status link akaun di antara akaun penjaga di bank dan akaun kanak-kanak di TH akan terbatal serta pendaftaran haji juga tidak dapat dilakukan,” jelasnya.
Tambah beliau, para pendeposit perlu memastikan akaun TH kekal berstatus aktif, untuk terus menikmati manfaat menyimpan di TH seperti simpanan dijamin kerajaan, menerima agihan keuntungan, zakat ditunaikan, patuh syariah, dikecualikan cukai pendapatan dan boleh juga turut serta dalam pelbagai kempen yang dijalankan TH. – UTUSAN











