Empat pakatan berebut Sarawak - Utusan Malaysia

Empat pakatan berebut Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Empat pakatan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pa­katan Harapan (PH), Parti Sa­rawak Bersatu (PSB) dan Gabungan Anak Sarawak (Gasak) bakal berentap dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang dijadual pada 18 Disember depan.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Gasak pula sebuah perikatan terdiri daripada parti-parti tempatan iaitu Parti Aspirasi Rakyat (Aspirasi), Parti Pekerja Sarawak (SWP), Parti Bansa Da­yak Sarawak Baru (PBDSB), Pemimpin-pemimpin Sarawak for Sarawakians (S4S) dan Pakatan Kebebasan Sarawak (SIA).

PSB, sebuah parti baharu yang diketuai bekas anggota Kabinet Sarawak dan juga bekas pemimpin kanan SUPP pula sudah awal-awal menyatakan hasrat bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehinggakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan ke Sarawak baru-baru ini berkata, pihaknya masih berunding dengan PSB.

Pemimpin-pemimpin PSB sudah berulang kali menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti dari Semenanjung, kenyataan yang menyebabkan DAP dan PKR tidak senang hati.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, penganalisis politik, Datuk Peter Minos berkata, PRN Sa­rawak bakal menyaksikan per­tarungan sengit antara empat parti dominan tersebut selain beberapa parti lain mungkin sekadar ‘mencelah’.
Menurutnya, pembahagian kerusi antara anggota GPS bukan masalah besar, sebalik­nya perkara itu akan menjadi masalah bagi gabungan lain.

Ia sekali gus menampakkan seolah-olah GPS mampu menang besar.

Berbeza dengan PH, meskipun pakatan itu mempunyai bilangan rakan komponen sama melibatkan DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO), struktur kekuatan PH di Sarawak hanya bersandar kepada DAP dengan majoriti adalah pengundi Cina manakala nasib PKR di negeri ini sudah terumbang-ambing menyorot kegagalan memenangi sebarang menang kerusi pada PRN di Melaka.

Penganalisis politik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir pula berkata, tiada sebarang keraguan terhadap peluang ‘boleh menang’ GPS di Sarawak kerana gabungan itu sudah lama bergerak mentadbir kerajaan negeri sejak dibentuk pada 2018.

Beliau menjangkakan, pola undi pilihan raya di Sarawak akan berpecah menyaksikan PH dan PSB akan berdepan situasi getir untuk meraih undi lebih banyak memandangkan terdapat lebih kurang 12 parti politik tempatan (termasuk rakan komponen GPS) akan berentap di 82 DUN Sarawak.

“Adalah sangat mudah GPS mempertahankan sokongan majoriti dua pertiga atau le­bih kerana keyakinan rakyat Sarawak sendiri berdasarkan pelbagai inisiatif dan pakej bantuan seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), tumpuan pembangunan di luar bandar berjumlah RM10 bilion selama hampir empat tahun mentadbir dan isu-isu bekalan elektrik, bekalan air bersih, jalan raya dan jambatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Senada dengan Jeniri, Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Perikatan Nasional (PN) yang merupakan ‘rakan mesra’ GPS tidak perlu bertan­ding manakala Barisan Nasional (BN) tidak akan bertindak sedemikian.

Sekiranya kedua-dua parti yang berpusat di Semenanjung itu tetap bertanding, dibimba­ngi akan menjejaskan keharmonian ketika jalinan persefahaman dan kerjasama dengan GPS di peringkat Persekutuan sudah lama terbina.

“Difahamkan Pas akan meletak calon dan bertanding, walaupun tidak melibatkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), ia tetap memburukkan imej PN. UMNO tidak pernah bertanding dalam pilihan raya Sarawak kerana menghormati hubungan antara kepimpinan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Awang Azman, GPS dan PH perlu melihat PSB sebagai cabaran utama kerana parti itu dilihat berpotensi memberi ancaman dalam konteks perolehan kerusi-kerusi masyarakat Dayak.

“Hal ini kerana, PSB dipim­pin oleh Presiden Datuk Seri Wong Soon Koh yang sudah berpuluhan tahun dalam Kabinet Sarawak dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh selain memfokuskan beberapa tempat berpotensi untuk menang.

“Untuk terus menguasai Sarawak, GPS perlu pastikan penyokong mereka turun me­ngundi ramai-ramai dan tidak terperangkap dengan keyakinan GPS pasti menang.

“Ini kerana sikap ini akan menyebabkan ramai penyokong GPS berada dalam zon selesa dan kurang terdorong untuk pergi mengundi pada hari me­ngundi. Lebih-lebih lagi turut dipengaruh kebimbangan risiko wabak covid,” katanya.

Selain itu, Awang Azman berkata, GPS juga perlu memastikan tidak ada perpecahan dalaman yang boleh mengakibatkan berlakunya protes, sabo­taj, kekecewaan, kemarahan akar umbi seperti perebutan menjadi calon, berlakunya lobi-melobi, pertembungan fraksi atau kumpulan tertentu.

“Sekiranya itu berlaku sudah tentu ia akan membawa budaya politik yang tidak sihat yang boleh mengakibatkan undi berkurangan pada PRN-12 ini,” tambahnya.

Ditanya prestasi gabungan pembangkang seperti PH dan PBS, beliau berkata, GPS perlu terus berusaha menangkis secara besar-besaran melalui kempen politik.

“Di Sarawak jika diperhatikan, parti pembangkang seperti PH tertumpu kepada kawasan bandar yang mempunyai majoriti populasi etnik Cina, manakala PSB pula tertumpu di kawasan bumiputera.

“Sememangnya, PH dan PSB adalah ancaman besar kepada GPS, tetapi sekiranya GPS mempunyai usaha dalam berkempen, saya yakin GPS akan terus mampu pertahan kerusi di DUN masing-masing,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×