Dekorasi klasik Restoran Kukus - Utusan Malaysia

Dekorasi klasik Restoran Kukus

Mohd. Hanif bersama sajian istimewa di Restoran Kukus miliknya di Jalan Tepi Sungai, Taman Wangi, Klang. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI imbas restoran di Jalan Tepi Sungai Taman Wangi di bandar Klang ini persis sebuah kedai makan era 1950-an yang kita biasa tonton di dalam filem klasik.

Setelah dihampiri sememangnya restoran yang asalnya tiga lot kedai papan adalah kedai makan yang sengaja diubahsuai menjadi restoran berkonsep adegan zaman filem Melayu klasik di Studio Jalan Ampas.

Menurut pemilik Restoran Kukus, Mohd. Hanif Bihauddin, 41, semasa kedai berdinding papan tiga pintu tersebut mula disewa, konsep restoran klasik masih belum terlintas di mindanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah berbincang dengan isteri, Naila Sari Ismail, 39, kami bercadang menjadikan Kukus sebuah restoran berkonsep klasik dan penuh nostalgia kepada para pengunjung.

“Tiga pintu kedai ini saya jadikan satu lot restoran sahaja yang mana kerusi dan meja makan dibuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Roti cicah kari kaki ayam.

Mohd. Hanif yang berperanan sebagai tukang masak berkata, memori seperti radio lama, alat permainan tradisional, majalah, tin kopi, serta mesin taip lama menghiasi rak di dalam restoran dikumpul sedikit demi sedikit sejak lima tahun lalu secara pembelian sendiri dan pemberian pelanggan.

Katanya, selain itu dia turut memasang lagu-lagu klasik dan dialog-dialog dari filem Melayu lama seperti Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Pendekar Bujang Lapok, Seri Mersing dan sebagainya.

“Dialog dan lagu klasik sengaja saya jadikan muzik dan halwa telinga pengunjung bagi memastikan mereka merasa suasana sebagaimana dalam adegan filem Seniman Bujang Lapok.

“Adegan tersebut adalah di mana watak trio Bujang Lapok melepak dan berbual tentang masalah hidup mereka seakan sama keadaan pelanggan makan dan minum di dalam Restoran Kukus ini,” katanya.

Jelasnya lagi, kekuatan utama restorannya bukan setakat kerana hiasan dalaman klasik semata-mata, malahan makanan yang dihidang juga unik dan melalui inovasi bertahun-tahun.

Sejak dibuka pada tahun 2016, Kukus yang mempunyai 15 pekerja katanya, melalui pelbagai inovasi menu masakan yang pasti disesuaikan dengan selera rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.

Antara menu yang laku keras adalah Nasi Ayam Kukus yang menjadi signature restoran tersebut.

Patin Tempoyak Temerloh

Restoran tersebut kata Mohd. Hanif, turut menyajikan menu masakan Patin Tempoyak Temerloh kampung kelahirannya.

“Pada asalnya selepas berhenti kerja dalam bidang grafik saya terlebih dahulu membuka kedai makan di Temerloh bersama keluarga.

“Kini operasi kedai makan tersebut dijalankan oleh kakak saya setelah saya membuka Restoran Kukus di sini,” katanya.

Mohd. Hanif yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 12 tahun berkata, selain masak tempoyak, ikan patin dari Temerloh juga dimasak asam pedas.

Selain sajian makanan tengah hari, Kukus turut menyaji masakan yang sesuai menjadi sajian pembuka selera dari pagi hingga ke petang.

“Kita ada ubi rebus cicah kelapa parut dan sambal bilis, roti telur goyang. Paling menarik kita ada makanan masyarakat Kemboja, Tong Mo.

Tong Mo.

“Selain sajian itu kami turut menghidangkan pelbagai jenis minuman yang mempunyai pelbagai perisa tetapi diolah hingga menjadi minuman istimewa yang digemari seperti teh tarik, air bandung dan lain-lain,” katanya.

Ubi rebus cicah kelapa parut dan sambal bilis.

Orang ramai yang ingin merasai makanan dalam suasana dekorasi klasik dengan barang-barang antik seakan-akan kembali ke zaman silam, bolehlah berkunjung ke Restoran Kukus.

Restoran yang ditutup setiap Rabu boleh dihubungi di talian 018-3173325 atau mengunjungi laman media sosial Facebook, Kukus untuk maklumat lanjut.

Harga berpatutan, sedap jadi tarikan

Kata pujangga tak kenal maka tak cinta, sudah cinta rasa untuk selalu hadir ibarat meronta-ronta.

Menurut seorang pelanggan Restoran Kukus, Dalbir Singh a/l Manjit Singh, 44, dia telah beberapa tahun makan tengah hari di restoran tersebut.

“Nasi Kukus Ayamnya memang terbaik dan sedap. Selain itu harganya berpatutan.

“Dekorasi klasik di dalam restoran ini menyebabkan saya terkenang zaman saya di bangku sekolah. Cukup membangkitkan nostalgia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DALBIR Singh dan Mohd. Rafiuddin Ahmad Termizi adalah antara pelanggan setia Restoran Kukus.

Dalbir Singh yang bekerja di kawasan tersebut berkata, dia turut meminati filem Melayu lama dan tidak kisah menjamu selera dalam suasana sedutan audio dari filem Ibu Mertuaku dan Bujang Lapok berkumandang dalam restoran.

Bagi Mohd.Raffiuddin Ahmad Termizi, 26, pula, sebagai orang muda suasana di dalam Restoran Kukus cukup unik bagi dirinya.

Katanya, orang ramai perlu mencuba pelbagai makanan yang lazat di restoran tersebut.

“Selain Patin Tempoyak Temerloh dan Nasi Kukus Ayam, pengunjung harus mencuba Tong Mo yang dipanggang di dapur khas. Sungguh lazat dan menyelerakan,” katanya.

Jelasnya, suasana dalam restoran yang terdapat pelbagai barang lama seperti telefon lama dan barang mainan menyebabkan dia terkenang zaman kanak-kanak.

Beliau menambah, Kukus bukan sahaja sebuah restoran tetapi boleh menjadi gedung ilmu kerana terdapat gajet dan perkakas lama selain buku lama yang amat menggamit memori.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini