Anwar ada sokongan - Ahmad Fahmi - Utusan Malaysia

Anwar ada sokongan – Ahmad Fahmi

Sesi wawancara bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil secara atas talian di Ibu Pejabat Utusan di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. MINGGUAN- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
BARU-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila mendakwa mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk menamatkan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ia membuatkan suhu sosiopolitik negara yang sedia panas, menjadi semakin mendidih.
Untuk merungkai banyak persoalan mengenainya, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan jurugambar Amir Khalid, menemu bual Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bagi mendapatkan penjelasan dan bayangan tentang kebenaran itu.
Pertemuan yang sepatutnya berlangsung enam mata secara bersemuka itu terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu.namun diteruskan secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom.
“Ada staf di pejabat dijangkiti Covid sekembali dari Sabah, saya kena kuarantin,” jelasnya.

KESAN KEKALAHAN WARISAN

MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana kekalahan Warisan mempengaruhi blok pembangkang pusat dan apa faktor kekalahan PH dan Warisan di Sabah?
AHMAD FAHMI: Mungkin kekalahan UPKO itu satu faktor yang agak besar menyebabkan kehilangan sejumlah kerusi. Selain itu, suasana Covid-19 turut menyumbang, yang mana orang sukar dan takut hendak balik mengundi.

Adakah faktor penolakan warga Sabah terhadap PH menyumbang kekalahan?
Tak sangat, sebab di Sabah kempen lebih berteraskan kepada Warisan. Cuma saya lihat, mungkin salah satu faktor adalah apa yang disebut, isu periuk nasi atau bread and butter issues.
Isu ini yang paling menekan. Kita nampak gambar dalam media sosial, ada aspal (jalan tar) ada undi, ada jambatan ada undi. Jadi itu menunjukkan mungkin satu keadaan, satu faktor yang mana di luar kawasan bandar, mungkin mereka lihat politik ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat bagi mereka. Mereka berpendirian – “kami mahu apa yang kami boleh lihat, apa yang kami boleh rasa, siapa yang boleh sampaikan perkara itu, maka kami akan undi”.

ISU SOKONGAN AHLI PARLIMEN TERHADAP ANWAR

Komen YB mengenai tindakan Anwar umum ada sokongan?
Kita kena tunggu (beliau) menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Tapi saya lebih kurang tahu serba sedikit, angka dimaksudkan. Saya tak boleh nak beri komen, tapi bila saya dengar saya rasa ini satu angka yang cukup sihat. Ia hampir kepada jumlah dua pertiga majoriti di Parlimen, seperti yang Anwar sebut dalam sidang media.

Adakah komponen dalam PH khususnya DAP sokong ‘Langkah Anwar’ kali ini?
Bila saya lihat, mungkin isu pada waktu ini ialah kita tidak tahu Ahli Parlimen mana yang menyokong. Oleh itu, angka dan jumlah tersebut hanya akan diketahui selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Bagi saya, untuk kita layan spekulasi, bayangan atau andaian, itu kurang wajar. Jadi pada waktu ini yang saya lihat, kenapa langkah ini amat diperlukan. Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya lihat beberapa rencana terutama pakej rangsangan oleh Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin di blok PN, angka suntikan fiskal RM45 bilion saya lihat tidak memadai.

RAHSIA 22 SEPTEMBER

Kalau benar ada sokongan, kenapa tidak umum kepada khalayak ramai?
Anwar ada berkata, beliau akan serahkan (bukti sokongan) kepada Yang di-Pertuan Agong. Apa yang berlaku sebenarnya dan ini hanya jangkaan saya ya, pada hari Selasa 22 September, pukul 11 pagi, sepatutnya Anwar dan isteri, Datin Seri Wan Azizah menghadap Tuanku dan mempersembahkan warkah dalam sesi menghadap itu. Malangnya, pada 21 September, Anwar difahamkan, dan kita terima berita bahawa Tuanku gering dan dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan.

Jadi kenapa buat sidang media pada 23 September?
Kerana pada waktu itu setelah diketahui, ataupun dimasukkan ke dalam jadual Tuanku bahawa Anwar akan menghadap, maka untuk mengelakkan apa-apa perkara yang tidak diingini daripada pihak tertentu, maka Anwar memaklumkan bahawa beliau perlu mengadakan satu sidang media. Dalam sidang media itu juga ada menyatakan, beliau menelefon dan ada bercakap dengan Tuanku untuk menyatakan hasrat Anwar mengadakan sidang media tersebut.

Tidakkah kekalahan PH di Sabah beri kesan sokongan Ahli Parlimen?
Tiada, malah bertambah (jumlah Ahli Parlimen yang menyokong) ada lah.

UMNO SOKONG ANWAR IBRAHIM?

Sejauh mana dakwaan ada Ahli Parlimen UMNO yang sokong Anwar?
Itu kena lihat pada penafian, biasanya dalam penafian itu kadangkala ada kebenaran. Satu titik temu diperlukan dan ia perlu menonjolkan satu semangat dan ikhtiar baru. Kalau sebelum ini kita terlalu tajam dalam isu politik, untuk mengendurkan keadaan, saya lihat ada beberapa kemungkinan.

Apa kemungkinan itu?
Ramai berkata ada yang mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) sekarang. Bagi saya PRN Sabah dan kesan kesihatan awam itu adalah hujah paling jelas bahawa jika dilakukan PRU sekarang, maka risikonya terlalu besar.
Kedua, merujuk kepada apa yang disebut sebagai gencatan senjata ataupun gencatan politik. Saya rasa sebelum ini YB Anthony Loke ada sebut di Parlimen (istilah ini). Cari titik temu untuk bekerjasama demi negara.
Ketiga adalah satu konsep reset and reconfiguration. Jadi konfigurasi baru ini bagi saya, yang memungkinkan hala tuju politik yang mungkin lebih lestari atau mampan, yang mana kita perlu mengendurkan ketajaman retorik politik selama ini.

Mungkinkah tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi umum ada ahli UMNO sokong Anwar, hanya untuk pancing Perdana Menteri bubar Parlimen?

Ya kah? Tapi politik ini ia seperti peperangan jugalah. Bila dekat, kena nampak jauh. Bila jauh, kena nampak dekat. Bila ramai, kena nampak sedikit, bila sedikit kena nampak ramai.

BUKAN NUJUM PAK BELALANG

Bagaimana persediaan PKR jika Parlimen dibubar dan diadakan pilihan raya mengejut?
Pada pandangan saya, PRN Sabah beri peluang kepada PKR untuk memantapkan jentera pilihan raya peringkat pusat.
Saya lihat kalau trend Sabah, kita lihat sebagai trend yang lebih besar, bagi saya kita tak boleh mengharapkan penyelesaian administratif atau pilihan raya ini sebagai satu cara untuk menyelesaikan masalah politik. Masalah asas di sini adalah masalah politik.

Jadi, kalau pilihan raya tidak boleh selesaikan masalah politik, apa kaedah bagi selesaikannya?
Masalah politik perlu diselesaikan secara politik. Itu yang saya sebut tiga perkara tadi. Pilihan raya, di bawah kaedah administratif. Tapi sama ada satu gencatan politik itu adalah penyelesaian politik, dan reorientation, konfigurasi baru itu adalah penyelesaian politik.

Jadi kalau berlaku snap election dan bukan reconfiguration, berapa ramalan kerusi Parlimen disasarkan PH?
Oh, susah, saya bukan Nujum Pak Belalang. Namun setidak-tidaknya kami jangkakan kekal, lebih kurang apa yang kami menangi dahulu. Yang saya lihat contohnya, sewaktu PRN Sabah, formula kerusi yang menjadi masalah pada blok kerajaan sekarang iaitu BN/PN.
Itu mungkin jadi lebih bermasalah di peringkat Persekutuan dan bacaan saya antara yang akan terima padah dan hadapi kesukaran besar ialah Bersatu.

FAKTOR TUN MAHATHIR?

Adakah PH akan jemput Tun Mahathir menyertai blok politik yang sama?
Ya, kami terbuka bekerjasama dan bagi saya kita perlu satu persefahaman, bahawa kita perlu bersama untuk bukan sahaja menstabilkan keadaan politik negara, tapi juga maju ke hadapan.

Bukankah tindakan tindakan Tun Mahathir tubuhkan Pejuang akan pecahkan undi tradisi PH?

Biasanya sukar nak ramal kerana orang kata, seminggu dalam politik ini sebulan. Jadi jangka masa itu sehingga sampai ke waktu pilihan raya, tak tentu. Macam-macam boleh berubah, macam-macam boleh berlaku.
Tapi saya lihat, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan, beliau tidak akan bertanding dalam PRU-15. Sama ada beliau bertanding atau tidak, yang penting untuk pembangkang, adalah isu kerusi-kerusi yang pada waktu ini dipegang oleh blok Bersatu dan bagaimana kita boleh bertanding di situ.

Tapi bukankah Tun faktor utama yang memenangkan PH sewaktu PRU-14?
Dalam politik ini saya lihat ruang dan peluang wujud. Kalau kita lihat sama ada kerjasama baharu atau konfigurasi baharu yang memungkinkan pengundi mendapat pilihan yang lebih banyak atau lebih baik.

AGENDA SEBENAR PKR

ADA KAWAN LAMA
‘BANTUTKAN’ PH

PKR terkenal dengan agenda reformasi bererti ubah. Apa sebenarnya yang ingin diubah?
Ia berteraskan kepada keadilan sosial, menambahbaik sama ada dari segi undang-undang, hubungan sosial dan ekonomi. Saya beri contoh, kalau di Lembah Pantai, sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, fokus saya isu kemiskinan bandar. Malah sejak PH menang PRU-14 dan saya dilantik, saya berikrar akan menjadi Ahli Parlimen kepada semua warga Lembah Pantai tanpa mengira kaum mahupun ideologi politik.

Ada melihat 22 bulan PH memerintah, keadaan jadi lebih buruk dan tiada reformasi?
Sukar nak kata, sebab waktu itu Anwar tidak terlibat (sebagai Perdana Menteri). Saya sendiri berpandangan, dalam 22 bulan itu mungkin setengah perkara perlu kita awalkan, setengah yang lain kita lewatkan atau tangguh dahulu. Cuma selepas Langkah Sheraton, baru saya tahu kawan-kawan yang saya anggap membantu, sebenarnya membantut pergerakan usaha reformasi itu sendiri.

INI BUKAN KUDETA!

Kalau lihat sejarah, semua agenda reformasi sejak 1997, berkisar kepada ‘regime change’ iaitu menjatuhkan kerajaan?
Saya lihat tukar kerajaan dalam kerangka demokrasi itu, dan Perlembagaan itu, serta melalui aspek undang-undang, adalah sah. Ini bukan satu kudeta, ini juga bukan yang diusahakan kerajaan pintu belakang ke, pintu tepi ke, bukan. Tapi ia berpandu kepada yang disebut dalam Perlembagaan sebagai Perdana Menteri, atau dalam konteks Dewan Rakyat, Ketua Majlis adalah seorang ahli dewan yang mempunyai sokongan majoriti ahli dewan lain.

Kenapa nak jatuhkan PN, sedangkan terbukti bantu rakyat harungi pandemik dengan berkesan?
Bagi saya ada perbezaan dari segi Muhyiddin yang mungkin popular sebab dia belum ada satu soalan pun daripada mana-mana wartawan yang bukan daripada pihak kerajaan.
Jadi komunikasi beliau melalui media hanya satu hala. Jadi dari situ kita nampak beliau dapat control mesej-mesej beliau, mungkin baik pada waktu ini. Tapi pada masa sama, realitinya ramai hilang kerja.

Tapi bukankah ini pandemik global dan satu dunia hadapi masalah ekonomi?
Betul, tapi masalahnya pada masa sama, seperti dibicarakan mengenai isu suntikan fiskal di bawah Kabinet Muhyiddin, tanggapan kami Muhyiddin tidak mempunyai majoriti di Parlimen.
Maka beliau amat berhati-hati dan terpaksa mengerah seluruh tenaga untuk pastikan setiap seorang yang menyokong datang hadir mengundi (Rang Undang-Undang). Beliau pada ketika meluluskan RM45 bilion, ada yang beranggapan jumlah itu tidak cukup.

Jadi, pandangan PKR berapakah jumlah suntikan yang cukup?
Kita beranggapan jumlahnya perlu ditambah dalam beberapa perkara khusus. Anwar telah memberikan angka pertambahan RM45 bilion lagi. Maksudnya, jumlah adalah RM90 bilion suntikan fiskal.

PERTEMUAN SULIT BARU-BARU INI?

Apa inti pati pertemuan pembangkang baru-baru ini yang dikhabarkan sulit?
Saya rasa, kita tunggu Anwar menghadap Tuanku. Tapi untuk menjawab teka-teki yang berlegar, angka (Ahli Parlimen yang sokong Anwar) itu wujud.

ANWAR SINONIM DENGAN TURUN KE JALANAN?

Mengapa PKR berpendapat, Anwar layak jadi Perdana Menteri?
Dia seorang tokoh yang lama berkecimpung dalam politik tanah air. Pada 1998, yang mana waktu itu saya berumur 17 tahun, baru nak habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi pada waktu itu saya pun belum lagi memahami, tapi saya lihat ada berlaku sesuatu perubahan besar, ramai yang turun ke jalan raya. Jadi sinonim.
Tapi selepas itu saya melihat apa yang diperjuangkan ialah pengagihan yang lebih adil kepada semua rakyat Malaysia. Beliau juga ambil berat isu akar umbi, sebagai contoh Projek Perumahan Rakyat (PPR) dirintis sewaktu beliau jadi Menteri Kewangan.

Apakah PKR amalkan nepotisme kerana dibayangi dinasti Anwar?
Nama saya Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, saya bukan berbinkan Anwar Ibrahim. Cuba bayangkan dalam parti lain, adakah seorang yang secara relatifnya agak muda diberikan peluang serupa apa yang diberikan kepada saya dan rakan lain dalam Keadilan? Kecuali Nurul Izzah, yang muda-muda dalam PKR semua bukan berbinkan atau berbintikan Anwar. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×