SEJAK melepaskan jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), nama DATUK HANS ISAAC agak sepi dalam dunia hiburan.
Kini, pelakon dan pengarah berusia 50 tahun itu beralih angin dengan giat melakukan kerja amal dan menceburi dunia politik melalui PKR.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, beliau menceritakan perkembangan terbaharu, perancangan sekiranya menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan berkongsi pandangan tentang penglibatan selebriti dalam politik.
Ikuti temu bual di pejabatnya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.
UTUSAN: Nama Datuk kian sunyi dalam dunia hiburan. Di mana dan apa Datuk buat sekarang?
HANS: Saya dalam proses membina beberapa pawagam berkonsep komuniti di Sabah. Untuk fasa seterusnya akan dibina di Sarawak dan Semenanjung. Perancangan ini sudah setahun lebih tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.
Ia akan membawa pelaburan selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Apabila dibuka nanti, kita akan utamakan anak muda berusia 18 hingga 28 tahun untuk bekerja kerana menyedari ramai khususnya lepasan universiti masih belum bekerja. Kami juga bakal tawarkan gaji lebih besar daripada gaji minimum yang diumumkan kerajaan kerana bagi saya, RM1,200 itu terlalu rendah jika mahu dibandingkan dengan kos sara hidup.
Pada masa sama, kami beri peluang kepada anak muda untuk menayangkan filem sendiri atau indie. Kita akan bagi slot sehari sekali bagi memberi peluang kawan-kawan atau orang sekeliling menilai karya mereka.
Benarkah Datuk aktif dalam kerja amal sekarang sebab kerap kemas kini di Instagram?
Saya tubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kita Budak Ampang yang sudah bergerak sejak dua tahun lalu untuk memberi bantuan kepada golongan memerlukan di sekitar Ampang. Sejak Covid-19 melanda, saya cuba lakukan sesuatu walaupun berdepan kekurangan seperti kewangan. Saya fokus di Ampang, kawasan saya membesar. Sudah lebih 40 tahun saya tinggal di Ampang. Jadi, saya rasa bertanggungjawab untuk menolong orang sekeliling.
Ramai yang saya tak kenal tapi saya pergi berjumpa, pergi ke akar umbi dan turun padang. Saya bantu mereka yang susah bukannya nak promosi.
Dulu saya tak promosi sedangkan benda ni saya dah buat lama. Dah 20 tahun saya buat kerja ni tapi tak pernah beritahu, tak pernah uar-uarkan. Namun, apabila Covid-19 melanda, ramai kawan cakap, “Hans, you kena jadi contoh kepada anak muda, kena jadi contoh kepada orang lain tapi kalau buat senyap, orang tak tahu.” Kalau saya tak cuba jadi contoh kepada orang untuk menyalurkan bantuan, saya rasa hilang peluang untuk tunjuk pada orang lain yang kamu pun boleh buat apa yang saya buat.
Bukan uar-uarkan kerana politik?
Bukan nak tunjuk saya bagus. I don’t care, orang nak cakap saya bagus atau tidak. Saya hanya akan buat apa yang saya rasa baik. Itu sebabnya di media sosial, saya berbeza dengan dulu. Dulu promosi filem, shooting, benda-benda macam itu. Sekarang, saya kurangkan.
SEDIA LAWAN ZURAIDA
Nama Datuk masih disebut-sebut bakal jadi calon pilihan raya di Parlimen Ampang? Apa perkembangan terbaharu?
Setiap hari orang akan cakap perkara itu sebab kita buat kerja amal untuk membantu akar umbi, selain orang ramai sudah tahu saya berkhidmat untuk PKR. Ketika berkhidmat, saya tidak pilih mereka dari mana. Saya beri bantuan tanpa mengira siapa dan secara menyeluruh. Jika orang yang memerlukan bantuan beras itu penyokong Barisan Nasional (BN) sekalipun, saya tetap bagi bantuan. Itu satu syarat yang saya tetapkan.
Tidak gentar berlawan dengan Datuk Zuraida Kamaruddin?
Saya kagum dengan beliau. Saya pun tak pasti siapa jadi calon nanti. Saya cuma bergerak, ikut arahan dan hanya buat kerja yang sepatutnya. Kalau diberi peluang, saya akan fikir betul-betul sama ada akar umbi nak saya di sini untuk saya bantu dengan cara terbaik. Saya juga perlu berbincang dengan keluarga, kawan-kawan dan mentor kerana ia merupakan tanggungjawab yang sangat berat dan tak boleh dinafikan ahli politik sebelum ini di mana-mana kawasan, semua pernah buat kerja walaupun ada sesetengahnya tak buat kerja. Dalam politik, ada yang bagus, ada yang tak bagus.
Jika jadi ahli Parlimen, perubahan bagaimana yang akan Datuk lakukan?
Ada dua isu besar, iaitu perumahan tidak diselenggara dan masalah sosial yang perlu penyelesaian segera. Kita lihat kualiti flat di sini sangat mengecewakan. Kenapa nak bina banyak sangat rumah baharu? Kita baikilah yang lama dulu. Kita beri kualiti hidup yang baik buat penghuni Ampang.
Beberapa kali selepas turun padang, saya menangis apabila melihat keadaan flat yang uzur sebab tak sangka keadaan rumah macam itu dan kita tengok ada pembangunan baharu yang gah untuk orang kaya tetapi untuk akar umbi, kita tak tolong untuk atasi masalah sampah, lif tergendala yang sudah bertahun dihadapi penghuni.
Fikirlah macam mana pakcik, makcik nak turun-naik? Jangan bagi alasan mereka boleh bersenam. Itu kata budak-budak. Apa yang penting adalah bagi mereka keadaan yang selesa.
Saya cakap ini sebab saya turun padang dan lihat dengan mata sendiri, bukannya reka cerita dari kepala atau mahu tunjuk pandai. Masalah ini tak pernah selesai. Saya kecewa. Bagi saya, Ampang ini banyak pilihan tempat makan tetapi keadaan gerai tidak bersih dan tidak teratur selain masalah parkir.
Sekarang saya nampak mereka bina tapak untuk gerai-gerai yang baharu dan itu bagus. Cuma soalan saya, mana nak letak kenderaan? Jadi, orang akan pilih letak kereta di tepi jalan yang akhirnya menjadi punca kepada kesesakan. Buat lebuh raya konon untuk kurangkan trafik tetapi masalah kesesakan tak pernah diatasi. Ramai orang tak nak beli rumah di sini sebab anggap Ampang sesak.
Dengan bawa isu sebegini, Datuk yakin boleh menang?
Ini semua terpulang kepada rakyat tapi apa yang paling utama adalah saya bukan calon tetapi terpulang kepada barisan kepimpinan dan presiden parti untuk tentukan siapa bakal bertanding.
Saya akan menyokong apa jua keputusan parti selagi nama itu (calon) yang boleh bekerja. Jangan bila sudah dapat jawatan, lepas itu tak buat kerja. Jika terjadi, saya akan lawan sebab gaji yang diberi adalah untuk menguruskan isu-isu rakyat di kawasan.
Sebelum dapat jawatan, semua janjikan yang baik-baik sahaja tapi bila sudah pegang jawatan, terus sombong. Hanya mahu dengar cakap dia dan pengurusannya, bukan nak dengar suara rakyat.
SELEBRITI DAN POLITIK
Mampukah pengaruh artis ubah pandangan rakyat?
Ramai artis mempunyai pengaruh dan integriti yang bagus, ada juga jumpa artis yang tak boleh pakai. Kena pilih artis yang layak masuk politik. Jangan sebab artis saja, kita sokong. Saya pun tak sempurna. Dari segi prinsip, result, etika kerja, integriti, semua itu perlu ada jika mahu masuk politik. Dan kalau ada media sosial untuk back up, baguslah.
Ada halangan untuk selebriti ceburi politik?
Di Indonesia, ada artis terjun politik. Di Amerika Syarikat ada Ronald Reagan, Arnold Schwarzenegger, sementara pemain kriket pernah menceburi politik di India. Dulu takut filem tak boleh jual kerana adanya pemikiran yang ahli parti politik lain tidak akan menyokong filem dia. Mereka takut sebab itu satu-satunya sumber rezeki mereka (jadi artis).
Sumber rezeki saya bukan menjadi artis. Saya suka berlakon tetapi hanya sebagai hobi. Kadang-kadang saya berlakon percuma, duit bayaran saya bagi pada krew, belanja makan. Banyak kali saya buat begitu dan tiada siapa tahu. Saya tak pernah pakai duit menjadi artis untuk develop hidup sebaliknya cari perniagaan lain. Saya tak paksa diri untuk berlakon dalam filem yang tidak berkualiti semata-mata duit.
Tak takut hilang peminat atau dikecam?
Terpulang pada diri sendiri. Kalau kamu baru nak mula dan takut orang kecam, jadi, tak bolehlah. Bagi saya senang. Jika dengan PKR, sudah tentu orang BN akan kecam saya. Kiri kanan akan kena juga. Kena terimalah sebab bukan semua akan sokong.
Kalau ada artis rasa dia ada sesuatu atau kelainan yang boleh diberikan kepada rakyat dengan tidak berfikir tentang poket sendiri, tentang apa dia dapat dan jawatan, saya rasa okay, kenapa tidak?
Artis hip-hop, Joe Flizzow pernah kata, artis yang mahu terlibat dalam politik perlu meninggalkan industri hiburan. Komen?
Itu yang saya buat. Sebelum Joe buat komen, saya sudah buat lama. Saya rasa Joe ini intelligent, smart, hard working, good guy and friendly. Dia baik tapi saya rasa dia patut benarkan artis yang mahu jadi ahli politik.
Saya setuju dengan Joe. Kalau nak jadi ahli politik yang mendapat mandat daripada rakyat adalah kerjaya sepenuh masa. Tak boleh melompat, sekejap artis, sekejap politik.
Kamu kena pilih dan lepaskan salah satu.
Joe mungkin cakap begitu sebab dia pilih untuk jadi artis tapi kalau suatu hari nanti berubah fikiran, nak tolong orang, dia akan buat juga.
GULA-GULA PKR
PKR banyak terima muka baharu sebagai ahli. Adakah itu strategi untuk menang PRU-15?
Semua parti buat begitu sebab Undi18 dan ia penting kerana 7.2 juta anak muda dapat peluang untuk mengundi. Ia suatu perkara yang bagus kerana mereka boleh tukar dinamik politik di Malaysia.
Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) pernah beritahu, orang muda ada hak untuk keluarkan warlord yang tidak bekerja dan dapat ahli politik seperti yang mereka nak. Itulah hak rakyat untuk mengundi.
Kita ambil contoh ‘Langkah Sheraton’ yang menjadi bukti utama kenapa seseorang perlu keluar mengundi. Bukannya untuk cakap kecewalah, bazir undi sebelum ini sebab kerajaan bertukar. Kalau mahu majoriti dan mahu sesebuah parti itu mentadbir, maka undi kamu amat berharga.
Tak rasa dipergunakan oleh PKR untuk pancing undi orang muda?
Semua parti nak penjenamaan untuk anak muda. Nak muka baharu dan orang cakap, ia bagus. Namun, jika muka baharu tetapi merupakan kroni kepada warlord, buat apa, samalah masih dikawal. Contohnya, kalau saya pegang 19 anak muda bawah ketiak, saya masih kawal mereka. Tak guna juga.
Mampukah selebriti bertahan dalam politik?
Niat perlu jelas. Jangan gunakan platform ini untuk berniaga. Ia sudah banyak berlaku tetapi kalau dalam sesuatu industri dan kamu tahu tentang industri itu, maka perlu ada beri dan terima (tolak ansur). Kita tidak boleh tutup periuk nasi orang tetapi perlu ada batasan. Apabila ahli politik ada bisnes, takkan nak tutup bisnes, takkan nak buang pekerja? Jadi, perlu sokongan ekosistem. Ia tidak jadi masalah. Namun, sekiranya mereka memegang kerajaan, maka perlu adil dalam pemberian kontrak tanpa mengikut parti. Tidak bolehlah ada stigma kita parti ini dan kena bagi orang kita sahaja. Inilah masa untuk berkongsi kekayaan.
ANWAR PM KE-10?
Siapa layak jadi Perdana Menteri (PM) selepas ini?
Sudah tentu Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pertama, beliau tidak pernah pegang jawatan itu. Kedua, kad laporannya semasa jadi Menteri Kewangan sangat bagus dan ketiga, sebagai orang lama dalam kerajaan sudah pasti beliau mengetahui struktur pentadbiran negara.
Kenapa nak tahan Anwar? Bagilah beliau peluang untuk buktikan kemampuan. Kalau beliau tak boleh deliver, sudah pasti rakyat akan senyap. Saya percaya Malaysia boleh membangun dengan idea-idea beliau.
Kenapa agaknya orang takut bagi Anwar jadi PM? Adakah kerana sejarah silamnya?
Siapa nak lepaskan kuasa? Orang tak nak lepaskan kuasa dan bukannya sebab kisah silamnya. Ini politiklah, segalanya boleh set up untuk menjatuhkan seseorang.










