MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, VP. Shanmugam meletakkan masalah banjir, pemerkasaan belia dan perumahan mampu milik sebagai agenda utamanya jika diberi mandat menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shanmugam yang juga Ketua MIC Bahagian Kota Melaka berkata, banjir adalah masalah utama di Gadek yang sudah berlarutan sejak sekian lama dan belum diselesaikan sehingga hari ini.
“Walaupun peruntukan sebanyak RM30 juta diluluskan pada 2017 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengatasi masalah banjir, tetapi pertukaran kerajaan menyebabkan peruntukan ini tidak diteruskan.
“Akibatnya projek tersebut tergendala walhal projek inilah yang sangat diminta oleh penduduk Gadek untuk dilaksanakan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui.
DUN Gadek menyaksikan pertembungan sengit enam penjuru antara Shanmugam dengan penyandang kerusi yang juga calon Pakatan Harapan (PH), G. Saminathan; calon Perikatan Nasional (PN), Amir Muharam; calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Laila Norinda Maon serta dua calon Bebas, Mohan dan Azafen.
Tambah Shanmugam, pemerkasaan belia turut menarik perhatiannya selepas melihat pelbagai potensi dan peluang perniagaan seperti pertanian dan kolam air panas.
Jelasnya, tanah-tanah yang belum diusahakan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para belia, sekali gus mampu melahirkan usahawan tani berjaya.
“Saya turut mencadangkan penubuhan sebuah yayasan atau koperasi yang dapat menarik minat orang muda menyertainya. Peluang memang banyak di Gadek, contohnya kolam air panas yang mana jika diusahakan secara serius ia mampu menjadi tarikan baharu di Melaka seperti Jonker Walk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shanmugam mengakui sedikit kecewa dengan kempen cara norma baharu, memandangkan calon di kawasan luar bandar sukar menonjolkan diri melalui platform media sosial kerana capaian internet yang lemah.
“Sampai hari ini, masih ada lagi yang bertanya siapa calon di Gadek. Isyarat internet tanpa wayar (WiFi) di bilik gerakan kami pun perlahan. Bagaimana saya hendak berkempen jika hendak kemas kini di aktiviti di media sosial pun mengambil masa yang lama?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE










