Selepas pusingan pertama kempen, apa pilihan pengundi? - Utusan Malaysia

Selepas pusingan pertama kempen, apa pilihan pengundi?

Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Putatan, Suzieyana Mohamad Sha mempromosikan calon Barisan Nasional (BN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem, semalam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Isu-isu melibatkan UMNO dan pengalaman 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dikatakan turut mempengaruhi pengundi untuk cenderung memilih Perikatan Nasional (PN) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang melepasi pusingan pertama semalam.

Walaupun sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan, kecenderungan rakyat dilihat mahukan Barisan Nasional (BN), namun tindakan dua bekas ahli UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri mendorong pengundi mencari alternatif parti lain.

Pengaruh ‘Abah’, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepanjang menjadi Perdana Menteri turut menjadi tarikan kepada pengundi.

Namun perkara itu tidak menafikan kelebihan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang pilihan raya tersebut walaupun terdapat beberapa isu dikaitkan dengan kedua-dua parti tersebut terutamanya membabitkan calon.

Malah mereka juga menganggap PH terpalit isu penerimaan dua ‘katak politik’ sebagai calon PRN Melaka sehingga boleh menyebabkan mereka muak dengan percaturan ahli politik tertentu.

Bagi peniaga, Mohamad Khairul Anwar, 28, dia akan memilih seorang pemimpin yang mempunyai integriti di samping tidak hanya janji kosong pada hari pengundian pilihan raya itu pada minggu depan.

Katanya lagi, pengundi negeri ini sudah serik dengan pertukaran kerajaan sekali gus memerlukan satu kepemimpinan yang hanya memfokuskan isu membela rakyat dan tidak sibuk budaya politik pada setiap masa.

“Kalau tanya saya parti akan dipilih? Saya tunggu dan lihat sahaja kerana masih memerhati pihak manakah yang sesuai untuk memimpin Melaka.

“Satu undi amat berharga. Jadi kena juga keluar mengundi, kalau tidak kita akan rugi kerana dapat kerajaan tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Seorang lagi pengundi, Zulkiple Omar, 62, pula berkata masih terlalu awal untuk dia memilih parti yang sesuai kerana masih mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal tersebut menjelang 20 November ini.

Jelasnya, dia antara rakyat yang tidak menantikan janji-janji daripada bakal pemimpin, namun apa yang diharapkan adalah wakil rakyat mampu menyelesaikan satu per satu masalah dengan lebih fokus dan sempurna.

Menurutnya, manifesto yang berjela pada hari berkempen tidak lagi mampu ‘menyedapkan’ hati rakyat kerana masalah sama tetap berulang termasuk isu banjir yang melanda negeri ini dengan kekerapan paling kurang dua kali setahun.

“Tidak perlu perancangan berlebihan sehingga apa sepatutnya dilaksanakan akhirnya hanya separuh jalan atau menyimpang daripada objektif sebenar,” katanya.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, masih terlalu awal untuk membayangkan parti mana berpotensi cerah menang dalam pilihan raya kerana tempoh kempen berbaki seminggu lebih lagi.

“Walaupun PN masih baharu dalam pentas politik tanah air, namun calon yang diketengahkan bukan sahaja muda, malah berintegriti dan ini boleh menarik sokongan undi rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×