BUAT julung kali, perkhidmatan kesihatan mental di negara ini melalui Kementerian Kesihatan menerima peruntukan amat besar dari segi perbekalan bajet dan pembiayaan dana tahunan. Nilai ini lebih besar dari tahun-tahun sebelumnya bagi perkhidmatan kesihatan mental.
Jumlah sebanyak RM70 juta seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 sudah tentu akan mencetuskan satu lonjakan paradigma perkhidmatan kesihatan mental negara kelak. Ungkapan syabas dan tahniah kerana ada langkah awal dalam usaha mendepani dan memartabatkan perkhidmatan kesihatan mental negara ke tahap lebih tinggi dan dihormati.
Secara umumnya, kesihatan mental digambarkan sebagai satu keadaan yang sejahtera. Individu sentiasa menyedari tentang keupayaan diri serta mampu mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Jika sebelum ini perkhidmatan kesihatan mental merupakan sektor kesihatan awam yang sering dipandang sebelah mata, berkedudukan terkebelakang dan sering bergelumang dengan stigma, namun situasi yang ada ketika pandemik menyerang menjadikannya sebagai sektor perubatan dan kesihatan penting dan perlu sentiasa berada di hadapan. Hakikatnya, bidang inilah yang membantu menjaga petugas barisan hadapan, pemimpin masyarakat dan rakyat untuk terus bertahan ketika berdepan serangan pandemik atau apa jua halangan yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.
Sejak sekian lama, perkhidmatan ini diasaskan daripada dua bidang utama penjagaan dan rawatan kesihatan, iaitu perubatan psikiatri dan psikologi klinikal. Kedua-dua bidang sains gunaan ini merupakan teras kepada perkhidmatan tersebut dalam menyediakan kaedah terbaik berkaitan rawatan dan penjagaan kesihatan mental manusia.
Namun sejak akhir-akhir ini, bidang kaunseling mula mendapat tempat dalam memberi nilai tambah kepada perkhidmatan kesihatan mental.
WHO
Jika melihat kepada perkhidmatan kesihatan mental ini secara lebih telus, hakikatnya ketika ini negara sedang mengalami kekurangan pakar psikiatri dan profesional psikologi klinikal.
Justeru, perkhidmatan ini tidak dapat memenuhi nisbah antara pakar dengan pesakit seperti diunjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sememangnya diakui sehingga 2018, hanya terdapat kira-kira 400 pakar psikiatri yang berkhidmat di seluruh negara.
Secara nisbahnya, ia dapat digambarkan sebagai 1:100,000 (psikiatri:pesakit). Walhal, nisbah yang diunjurkan WHO ialah 1:5,000.
Menurut daftar keahlian psikologi klinikal pula, di negara ini ada 300 orang, namun tidak semua aktif dalam pengamalan profesion mereka.
Jumlah terbesar ahli psikologi klinikal berkhidmat di pusat perubatan dan hospital swasta berbanding di fasiliti kesihatan sektor awam. Situasi ini dilihat sebagai tidak membantu memandangkan masyarakat tidak mempunyai pilihan rawatan kesihatan mental yang menyeluruh dan ia menjadi terhad. Tambahan pula, perkhidmatan perubatan swasta bukanlah pilihan popular dalam kalangan mereka akibat belenggu kos rawatan di samping tiada tanggungan rawatan oleh syarikat insurans.
REBAT
Kebanyakan isu yang ada ini akhirnya sudah pasti akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan mental apabila tidak dapat menyediakan perkhidmatan itu secara sewajarnya kepada setiap individu yang terdesak dan memerlukan. Namun, apa yang menarik ialah rebat dan pelepasan cukai pendapatan diberikan oleh kerajaan kepada individu dan tanggungan yang mendapatkan rawatan kesihatan mental. Sudah pasti ia akan mendorong lebih ramai majikan serta syarikat insurans untuk berlumba-lumba memelihara kesejahteraan mental pekerja kerana tidak mahu terlepas imbuhan daripada rebat cukai tersebut.
Seterusnya, perkhidmatan kesihatan mental perlu difahami secara lebih holistik. Di samping menyediakan perkhidmatan penjagaan dan rawatan, ia juga terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan. Hasil dan dapatan kajian inilah yang akan membantu pengamal dan pakar klinikal dalam sesi rawatan dan pemulihan pesakit secara lebih berkesan.
Adalah diharapkan sejumlah peruntukan dalam bajet tersebut akan dapat digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan kesihatan mental. Dalam erti kata lain, perkhidmatan kesihatan mental di negara ini amat memerlukan penambahbaikan dan pembangunan dari pelbagai sudut meliputi aspek rawatan dan pemulihan, penyelidikan dan pembangunan serta latihan kepakaran klinikal kesihatan mental.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam amanat yang disampaikan sehari selepas kempen Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 11 Oktober lalu, turut melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental bagi Penggal 2020-2025. Apa yang pasti, pelan tersebut turut mengandungi objektif untuk membangunkan perkhidmatan kesihatan ini ke tahap yang lebih baik lagi.
Pada masa sama, idea beliau berkaitan cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental adalah amat baik dan perlu diteruskan memandangkan negara belum lagi memiliki sebuah institut khusus kesihatan mental.
Kebanyakan negara maju memiliki institut kesihatan mental mereka sendiri. Sebagai contoh, Amerika Syarikat menubuhkan Institut Kesihatan Mental Kebangsaan mereka pada 1946 oleh Presiden Harry Truman. Dalam kalangan negara-negara Asia, Singapura turut memilikinya sejak 1928 yang lebih menjurus kepada fungsi sebuah hospital. India pula menubuhkan Institut Kesihatan Mental dan Neurosains pada 1983 di Kerala dengan fungsinya yang tersendiri.
PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










