KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) memberi amaran jangan ada yang lompat parti demi kepentingan sendiri.
Jelasnya, perkara itu penting bagi menstabilkan politik negara, seterusnya ramai pelabur yang akan masuk ke Malaysia.
“Saya tidak suka orang lompat-lompat. Waktu orang lompat di Sabah, saya adalah yang terakhir masih berdiri dan tidak lompat. Jadi, oleh kerana mungkin kerajaan lompat-lompat itu maka Shah Alam pun gugur sebab harapan tinggal harapan, tiada hala tuju.
“Sebab itu nak adakan pilihan raya, jangan lompat-lompat. Ahli Parlimen Pengerang pun sedang merangka usul akta anti lompat parti, saya memang sokong. Kita tidak mahu lompat, kalau menang menanglah, kalau kalah, kalahlah, apa mahu takut? Lawan sahaja lah.
“Kalau kalah, tidak ada masalah, itu sebab rakyat tidak suka kita. Pastikan negara ini stabil demi kemakmuran rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.
Perbahasan Bung itu turut disokong Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) dengan menjelaskan tindakan wakil rakyat yang lompat parti itulah yang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) jatuh, sekali gus ekonomi negara tidak stabil sehingga hari ini.
“Menjatuhkan kerajaan PH dan menghasilkan suasana politik yang tidak stabil dan kerajaan PN mempunyai majoriti tipis sehingga berlaku pertukaran kerajaan selepas setahun kemudian. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh golongan yang lompat dan jatuhkan kerajaan PH yang ada majoriti besar, tapi bila berlaku pengkhianatan kestidakstabilan politik terhasil untuk Malaysia sehingga sekarang.
“Ini merupakan sebab utama menngapa ekonomi merudum sehingga hari ini, minta maaf lah pada dunia, minta maaf lah kepada rakyat atas pengkhianatan yang dilakukan,” katanya ketika mencelah perbahasan tersebut.











