Pegawai kerajaan bocor rahsia - Utusan Malaysia

Pegawai kerajaan bocor rahsia

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat segelintir penjawat awam yang mempunyai rangkaian dengan pihak tertentu bertindak me­nyalurkan maklumat dan membocorkan rahsia-rahsia sulit kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhid­matan Awam (CUEPACS), Da­tuk Adnan Mat mendakwa, kegia­tan itu dilakukan segelintir ‘pe­gawai-pegawai peringkat ter­ting­gi’ bertujuan menyebarkan propaganda terhadap kerajaan pemerintah, sekali gus membentuk persepsi buruk dalam minda rakyat.

Dakwanya, kumpulan itu yang dahulu dikenali sebagai ‘Napoleon Kecil’ adakala bertindak menyalurkan rahsia-rahsia ter­tentu atas alasan ia adalah tanggungjawab moral mereka untuk ‘menyelamatkan Malaysia’.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat segelintir penjawat awam menjadikan alasan tidak berpuas hati dengan menteri-menteri tertentu sebagai justifikasi untuk bertindak membocorkan rahsia kerajaan.

“Kalau dulu zaman Tun Abdullah Badawi selaku Perdana Menteri, kumpulan daulah terpendam ini disebut ‘Napoleon Kecil’. Jadi bagi kami, mereka tak patut wujud. Sebab itulah ada satu ketika, kita perlu ambil tindakan drastik kepada pegawai-pegawai di peringkat tertinggi yang sentiasa memberi rahsia-rahsia tertentu di luar sana.

“Sama ada tindakan itu kononnya bersifat mahu selamatkan Malaysia, selamatkan itu atau ini, apapun hakikatnya itu tindakan yang salah. Sama ada mereka masih wujud atau tidak, ia bergantung kepada jaringan yang wujud antara mereka. Jadi mereka ini, kadangkala mereka tak selesa dengan menteri-menteri tertentu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau menambah, sebagai penjawat awam yang mempunyai ketua di jabatan masing-masing, tidak wajar mana-mana kakitangan membuat onar dengan membocorkan kerahsiaan ‘tuan’ mereka, apatah lagi jika membabitkan soal keselamatan dan kerahsiaan negara.

“Kita haruslah beri perkhidmatan kepada siapa yang kita berkhidmat sekarang. Janganlah kita kata setia kepada ketua kita sekarang, namun pada masa sama kita membuat sesuatu onar di belakangnya dengan membocorkan kerahsiaan tuan kita.

“Jadi itu adalah satu yang tak patut berlaku. Kalau kita tak bersetuju dengan tuan kita, kita tak setuju dengan ketua perkhidmatan kita, maka letaklah jawatan, tiada masalah. Negara ini adalah negara demokrasi. Mereka boleh letak jawatan, tiada isu. Ini lebih baik daripada mereka membocorkan segala rahsia di tempat di bekerja. Itu amat tidak baik,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mendakwa, tohmahan yang dilempar kononnya jabatan-jabatan kerajaan dikuasai kartel di peringkat dalaman bagi memonopoli sesebuah tender, hakikatnya bertujuan mengaburi tindakan pihak swasta yang lebih ketara mengamalkan budaya monopoli ke atas sektor ekonomi negara.

Katanya, sektor swastalah sebenarnya yang paling agresif memonopoli tender dan projek pembangunan, malah mereka juga didakwa memonopoli kedudukan dalam jawatan-jawatan tertinggi syarikat mereka.

“Kalau kita tengok di peringkat swasta yang dimonopoli oleh kumpulan tertentu, tiada pula isu itu dibangkitkan. Kalau kita tengok jawatan-jawatan di syarikat-syarikat swasta mega, yang dimonopoli oleh kaum tertentu, tiada isu pun.

“Tapi perkara ini menjadi isu apabila berlaku kepada kita. Jadi istilah kartel ini sebenarnya wujud di swasta, bukan di jabatan kerajaan. Kartel penjawatan misalnya, dan kartel dari segi tender ini, sebenarnya mereka yang lebih memonopoli.

“Kita tengok syarikat-syarikat perumahan, siapa yang mereka lantik untuk buat pembinaan? Siapa yang mereka lantik untuk bekalkan bahan? Siapa yang mereka lantik buat pendawaian dan sebagainya? Semua adalah kumpulan itu saja. Tapi mereka itu tidak dianggap kartel pula?

“Jadi slogan ‘kartel’ ini hanya mereka tujukan untuk penjawat awam yang berkhidmat untuk negara saja. Yang tak berkhidmat untuk negara, slogan mereka adalah ‘bukan kartel’,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×