KUALA TERENGGANU: Pintu rundingan antara Pas dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara rasminya sudah tertutup susulan tindakan Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan kekecewaannya dengan menyifatkan, segala usaha penyatuan ummah yang digerakkan sejak dari awal, akhirnya menemukan kegagalan.
Katanya, Pas sebagai komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai pilihan melainkan menyahut cabaran bertanding dan melawan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) itu.
“Perbincangan kita mengambil masa panjang, bahkan jika saya boleh sebutkan, inisiatif dibuat Perdana Menteri dan sebagainya sangat positif di peringkat permulaan, tetapi di hujungnya usaha itu gagal hingga membuatkan kita sedikit kecewa.
“Keputusan pembahagian kerusi dalam PN dibuat lebih awal tanpa melihat siapa lawan kita, jadi kita akan hadapinya dan saya kira semua parti sudah bekerja serta bersedia untuk PRN Melaka dengan calon hadir serta menerima watikah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar ketika Muktamar Pas Ke-67 di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.
Pas akan bertanding di lapan kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November ini iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam, Kelebang dan Merlimau, sekali gus berdepan cabaran UMNO.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menolak dakwaan pertembungan di Melaka adalah bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya menjadi indikator kepada beberapa perancangan di masa depan.
“Kita ada PRN Sarawak selepas ini dan bagi Pas serta PN kita mempunyai banyak ruang untuk berbincang sebelum PRU-15.
“Kita bersedia berbincang dengan semua parti-parti politik bukan sahaja UMNO tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pas sebagai komponen dalam Keluarga Malaysia berperanan ke arah masa pembentukan masa depan lebih harmoni,” katanya. – UTUSAN











